Forum Berkaitan Isu Rasuah Yang Dianjurkan Sebuah Akhbar Harian |
Oleh : Akhbar Satar
Tuduhan tanpa bukti kukuh boleh
cetus kebencian, perpecahan rakyat
Demam pilihan raya semakin
dirasai. Hampir setiap hari muka depan akhbar utama di Malaysia panas
membicarakan isu pilihan raya. Yang uniknya di Malaysia, hampir semua kejadian
berlaku dikaitkan dengan pilihan raya dan dijadikan modal untuk menyerang satu
sama lain.
Lihat saja isu pencerobohan
pengganas di Lahad Datu. Biarpun ia suatu jenayah serius yang membabitkan nyawa
anggota keselamatan dan kedaulatan negara, ia turut dipolitikkan dengan
menuduhnya sebagai sandiwara yang diada-adakan.
Telah menjadi resam politik di
seluruh dunia, ketika musim pilihan raya serangan bersifat peribadi bagi
menjatuhkan imej dan kredibiliti calon bertanding semakin menjadi-jadi. Apa
yang membezakan senario politik di Malaysia berbanding negara maju ialah kempen
dan serangan bermotifkan politik ini tiada musimnya. Dalam erti kata lain, ia
berlaku hampir sepanjang masa tidak kira pilihan raya atau hari raya.
Hari ini rasuah dan politik
ibarat isi dengan kuku. Sudah menjadi kelaziman apabila menyebut politik pasti
dirantai dan dikaitkan dengan rasuah. Sehubungan itu, menyentuh isu imej dan
kredibiliti pemimpin atau parti politik pula, rasuah adalah senjata bahaya yang
mampu meragut pemimpin dan kepemimpinan yang ada.
Ada tiga strategi yang digunakan
oleh ahli politik dalam penggunaan isu rasuah ini. Pertama, merekayasa fitnah
yang berbentuk tohmahan dengan menuduh seseorang calon, pemimpin atau parti
politik mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai senjata menjatuhkan
kredibiliti pihak lawan.
Kedua, menjadikan usaha memerangi
rasuah sebagai manifesto perjuangan bagi meraih simpati dan undi rakyat.
Kononnya, merekalah yang terbaik untuk mengubah kehidupan rakyat dan
menghapuskan rasuah.
Ketidakstabilan politik
Ketiga, menyerang agensi kerajaan
tertentu sebagai lemah, tidak berfungsi dan di bawah telunjuk pemerintah
bertujuan untuk meruntuhkan dan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap
sistem perundangan dan kehakiman yang sedia ada.
Sejarah membuktikan kepada kita,
jika isu rasuah ini dipolitikkan, ia bukan saja dapat meruntuhkan kerajaan,
malah menimbulkan kebencian serta perpecahan dalam kalangan rakyat yang
akhirnya mewujudkan ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial. Kita harus
sedar dan belajar daripada pengalaman negara jiran seperti di Filipina,
Indonesia dan Thailand.
Isu rasuah dimanipulasi sehingga
berjaya meruntuhkan kepemimpinan Presiden Ferdinand Marcos. Senjata yang sama
digunakan oleh Fidel V Ramos untuk menjatuhkan Corazon Aquino (yang sebelum ini
menggunakan isu rasuah bagi menjatuhkan Marcos). Joseph Estrada, seorang
pelakon yang turut menggunakan isu rasuah dan penyelewengan untuk mengambil
alih kepemimpinan Ramos turut tersungkur atas isu rasuah yang diperjuangkan
oleh seorang wanita bertubuh kecil bernama Gloria Macapagal Arroyo.
Lapor kepada SPRM
Lihat apa yang terjadi pada
penghujung kerjaya politik Arroyo. Beliau turut disiasat dan dikenakan hukuman
penjara atas isu rasuah oleh Presiden Benigno Aquino III. Isu rasuah menjadi
manifesto utama Aquino III dalam meraih undi dan simpati rakyat dengan menegaskan
akan memberi keutamaan untuk membanteras rasuah di dalam pentadbiran kerajaan
yang sedia ada. Begitu juga dengan Pengerusi Parti Komunis China, Xi Jinping
yang menegaskan bahawa masalah utama beliau ialah membersihkan rasuah termasuk
ahli politik dan pegawai kerajaan.
Senario politik jatuh dan
menjatuhkan kepemimpinan dengan menggunakan isu rasuah tidak membawa sebarang
faedah kepada rakyat. Apatah lagi, jika isu rasuah yang dibangkitkan merupakan
tohmahan liar dan fitnah yang sengaja diada-adakan bagi menjatuhkan seseorang
pemimpin. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan
ke atas semua aduan rasuah tetapi ada kes rasuah yang telah disiasat dan tidak
didakwa di mahkamah oleh pejabat Peguam Negara kerana tiada bukti.
Apa yang mustahak untuk sesuatu
kes berjaya disiasat dengan baik pemberi maklumat hendaklah memastikan agar
sebarang kes perlu dilaporkan terlebih dulu kepada SPRM sebelum membuat apa-apa
hebahan di blog atau sidang media. Dengan cara ini siasatan dapat dijalankan
dengan cara profesional dan untuk mengelakkan bukti dihapuskan.
Pengajaran yang diperoleh hasil
daripada pengalaman yang dilalui rakyat Filipina, kegemilangan Filipina sebagai
salah satu anggota ASEAN yang maju dan membangun pada era pemerintahan Marcos
tidak berterusan dan jatuh merudum selepas itu. Selalunya pertukaran
kepemimpinan dan kerajaan yang lemah tidak menjanjikan kemakmuran dan
kestabilan ekonomi, politik dan sosial di Filipina. Hari ini, Filipina jauh
lebih mundur berbanding dengan kemajuan Malaysia atau negara ASEAN yang lain.
Penulis ialah peguam dan pakar
kriminologi
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan