Setiap ibu
bapa mahukan zuriat yang dapat berbakti kepada mereka pada hari tua kelak
|
Anak adalah kurniaan ALLAH SWT yang tiada nilai tandingnya. Betapa beruntung pula ibu bapa yang dikurniakan zuriat sebagai penyambung dan kekuatan sesebuah rumah tangga.
Anak yang cemerlang tidak terjadi begitu saja. Ini bergantung sejauh mana kesedaran dan tanggungjawab ibu
bapa dalam mendidik anak. Terdapat kisah dalam al-Quran mengenai Nabi Ibrahim,
Nabi Yaakub dan Nabi Zakaria yang tidak putus-putus berdoa agar dikurniakan anak yang
taat kepada ALLAH SWT.
Demikianlah ibu bapa juga perlu
berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah dan memohon agar tidak
diuji dengan anak derhaka seperti yang dialami Nabi Nuh AS. Hakikatnya, anak
juga menjadi ujian kepada setiap ibu bapa. Dan merekalah yang berkewajipan
untuk mendidik anak agar tidak terjerumus ke lembah kesesatan dunia dan
kemelaratan akhirat.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi
ujian, dan di sisi ALLAH jualah pahala yang besar." (Surah At-Taghabun:
15)
Ada segelintir ibu bapa yang
gagal membentuk anak menjadi generasi yang unggul. Orang yang malang dan gagal
dalam ujian ialah mereka yang mempunyai anak, tetapi tidak membawa kebaikan
kepadanya di akhirat.
Kesilapan bagaimanakah dilakukan
ibu bapa dalam membentuk anak hingga dikatakan gagal dalam ujian ALLAH ini?
Antara kesilapan dalam mendidik
anak adalah seperti berikut:
1. Kurang mengambil perhatian dan
menitikberatkan mengenai berdoa kepada ALLAH SWT. Oleh itu, ibu bapa digalakkan
berdoa agar dikurniakan zuriat yang baik pada saat kehamilan. Antara amalan doa
ketika mengandung adalah memohon rahmat, zuriat yang baik, mengerjakan solat
dan mendoakan ibu bapa apabila tiada di dunia kelak. Setelah anak dilahirkan,
ibu bapa perlu terus lebih banyak berdoa seiring dengan anak yang semakin
membesar.
2. Anak tidak dibesarkan dengan
belaian kasih sayang. Suasana rumah yang tidak aman dan penuh ancaman, hanya
akan membantutkan proses pembelajaran kerana emosi mereka yang tidak stabil.
Diriwayatkan Aisyah RA: "Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan
dan Al-Husain bin Ali RA. Ketika itu Aqra’ bin Habis At-Tamimiy sedang berada
di rumah baginda. Berkata Aqra’: “Ya Rasulullah! Aku mempunyai 10 anak, tetapi
aku belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” Rasulullah melihat
kepada Aqra’ kemudian berkata: “Siapa yang tidak mengasihi tidak akan
dikasihi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Ibu bapa menunjukkan contoh
yang tidak baik di hadapan anak. Sedarilah bahawa, anak akan senang meniru
perbuatan orang yang lebih rapat dengannya, khususnya ibu bapa mereka. Apabila
diperhatikan, anak yang sering bercakap kasar dan menipu lahir daripada
keluarga yang mempunyai tingkah laku yang sama. Selain daripada itu, ibu bapa
turut membenarkan orang yang tidak elok sahsiahnya masuk ke rumah sama ada dari
kalangan sahabat sendiri ataupun anak. Wujudnya anasir yang tidak baik di dalam
rumah akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak yang sedang meningkat
dewasa.
Seeloknya, mereka perlu
didedahkan dengan model yang cemerlang seperti golongan ulama, orang yang
berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Mereka juga perlu digalakkan untuk solat
berjemaah, mengikuti kuliah agama dan aktiviti yang bersesuaian dengan nilai
murni Islam.
4. Mendidik anak dengan memberi
ancaman dan menakut-nakutkan (tarhib) berbanding penghargaan, pujian dan hadiah
(targhib).
5. Tidak tegas dalam mendidik
anak. Ibu bapa perlu tegur dan hukum anak apabila menunjukkan tingkah laku
negatif seperti malas atau enggan melaksanakan perintah ALLAH SWT. Ketegasan
juga perlu selari antara ibu dan bapa supaya anak tidak keliru untuk membentuk
tingkah laku yang betul.
Selain mendidik dengan belaian
kasih sayang, ibu bapa juga perlu memberi amaran dan teguran apabila mereka
melakukan kesalahan dalam tingkah laku. Ibu bapa perlu menggantung rotan di rumah
sebagai amaran kerana merotan mereka dengan tujuan mendidik (bukan untuk
menyakiti) sebagai satu sunnah.
6. Menjadualkan kegiatan harian
anak tanpa menurut kemahuan dan kemampuan mereka. Ibu bapa juga terlalu
memfokuskan sesuatu aktiviti tanpa mengambil kira perasaan dan bakat yang
mereka miliki. Bagi yang mempunyai bakat melukis, mungkin akan memberontak
apabila ibu bapanya memaksa memasuki kelas seni mempertahankan diri. Kesilapan
lebih besar berlaku apabila ibu bapa tidak memberi pendidikan yang seimbang
antara jasmani, rohani, emosi dan mental. Ini kerana ibu bapa hanya
mementingkan kemajuan mental hingga melahirkan anak yang cerdas tetapi
mempunyai akhlak yang buruk.
7. Memaki hamun dan menegur anak
dengan mengeluarkan kata-kata kesat terutama ketika sedang marah. Kesilapan
juga berlaku apabila ibu bapa mendoakan keburukan si anak setiap kali mereka
melakukan perkara yang menyalahi norma. Perbuatan mendoakan kejelikan anak
perlu dielakkan kerana dikhuatiri doa itu akan dimakbulkan ALLAH.
8. Tidak menghidupkan keluarga
yang sakinah, mawadah dan rahmah. Apabila diperhatikan, walaupun kehidupan
sesebuah keluarga itu terasnya adalah Islam, tetapi gaya hidup yang dilalui
persis orang bukan Islam. Inilah hasilnya apabila hidup yang tidak
bertunjangkan Islam, tidak berteraskan al-Quran dan tidak berpaksikan hadis.
Pastinya hari-hari yang dilalui mereka akan berterusan tanpa mengamalkan norma
dan nilai Islam yang digariskan.
Ibu bapa yang sebegini akan
melahirkan anak yang tidak islamik dan akan menimbulkan pelbagai konflik
keluarga yang akhirnya akan merosakkan masa hadapan anak itu sendiri. Kurang
menghidupkan sunnah di dalam rumah seperti memberi salam, makan bersama, solat
berjemaah dan seumpamanya, hanya membuatkan anak semakin jauh daripada ibu
bapa. Pertengkaran juga akan berlaku antara suami isteri dalam sebuah rumah
tangga yang tidak dirahmati. Keadaan menjadi lebih keruh lagi apabila
pergaduhan berlaku di hadapan anak-anak. Hasilnya, akan menyebabkan anak berasa
tertekan dan membenci kedua ibu bapanya.
9. Tidak mengambil berat
kepentingan rumah tangga yang memerlukan suasana kondusif, bersih, kemas dan
teratur. Suasana rumah tangga yang berselerak dan kotor akibat ibu bapa yang
malas dan pengotor hanya akan melahirkan anak yang pemalas dan selekeh. Rumah
tangga yang tidak kondusif juga akan menutup ruang untuk anak mengembangkan
potensi dan bakat sedia ada.
10. Kurang mengawasi aktiviti
anak sama ada di dalam ataupun di luar rumah. Misalnya, ibu bapa kurang
mengawasi rancangan yang ditonton sama ada melalui pawagam, televisyen, video
ataupun internet, menjadikan peluang untuk mereka terdedah kepada budaya kuning
atau liar menjadi lebih besar.
Ini kerana, rancangan daripada
pelbagai media ini banyak menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan
bebas antara lelaki dan perempuan dan memakai pakaian yang tidak menepati
syarak. Kesilapan akan berterusan apabila ibu bapa menyerahkan tugas mendidik
anak kepada pembantu rumah yang tidak membesarkan mereka dengan nilai-nilai
Islam (jika dia tidak beragama Islam). Oleh itu, ibu bapa harus memastikan anak
benar-benar terdidik dengan didikan Islam kerana hal inilah yang akan
menentukan hala tuju kehidupan mereka kelak.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan