Jumaat, 5 April 2013

ISU KENEGARAAN : Melayu perlu perkasa tahap politik

Islam Elemen Utama Pemersatu Ummah

Oleh : Profesor Dr Sidek Baba
 
Krisis dan konflik adalah sesuatu yang lumrah bagi umat yang sentiasa bergerak ke arah maju dan berwibawa. Krisis dan konflik menjadikan umat menyedari bahawa cabaran dalam kepemimpinan dan kepengikutan adalah sesuatu yang tidak boleh diremehkan. Dalam konteks umat Melayu, krisis dan konflik boleh membawa kepada natijah positif dan juga natijah negatif. Ia menuntut kebijaksanaan tinggi bagaimana akar sebab konflik dikenal pasti kemudian strategi perawatan dilakukan. Ia menuntut kesabaran luar biasa bagaimana krisis dapat dirungkai dengan baik dan usaha pemulihan dapat dikerjakan.

Umat Melayu di Malaysia hari ini menuntut faktor pemersatu wujud dalam pembangunan politik, ekonomi, pendidikan , agama, pembudayaan dan lain-lain. Ternyata perkembangan politik umat Melayu kini amat merimaskan. Tapak politik Melayu semakin berpecah. Ini memungkinkan tawar-menawar politik di luar lingkungan Melayu menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Dalam bahasa demokrasi, Melayu berada dalam tahap yang agak kritikal untuk tampil memberikan kepemimpinan bermakna dalam kalangan masyarakat yang berbilang.

Oleh itu amat penting tapak politik diperkasakan supaya ia memberi titik-keseimbangan yang lebih baik ke arah politik teras yang menaungi faktor masyarakat berbilang. Umat Melayu bukanlah umat majoriti mutlak. Ia memerlukan muafakat bijaksana daripada kelompok lain. Politik Malaysia memerlukan asas kestabilan dilihat dari sejarah pembentukan masyarakatnya, tradisi budaya dan sejarah yang ada kerana tanpa asas teras yang memberikan titik keseimbangan ini, konflik mudah terjadi.


Kesatuan agenda utama

Tanpa kekuatan teras ini proses peminggiran boleh berlaku. Arus globalisasi yang sedang melanda, boleh menyebabkan daya saing umat beransur-ansur hilang dan akibatnya umat Melayu akan mengalami kecairan dan ketirisan dalam semua lapangan. Umat Melayu masih memerlukan masa untuk membangun faktor pendidikan, keilmuan dan daya saing yang tinggi. Ia memerlukan daya kepemimpinan Melayu yang berpandangan jauh, menghidupkan kembali tradisi muzakarah yang serius dan melihat proses wehdah atau kesatuan sebagai agenda utama.

Kepemimpinan adalah isu pokok dalam proses memperkasa umat Melayu. Ia berkait dengan amanah tinggi tidak saja dalam pendekatan dasar tetapi juga menuntut ketelusan dan kebijaksanaan dalam strategi pelaksanaan. Pada masa yang lalu wujud dasar yang baik untuk memperkukuh umat Melayu dalam semua bidang, tetapi di tahap pelaksanaan wujud ketirisan akibat kepemimpinan di banyak peringkat alpa mengenai amanah kepemimpinan dan menyebabkan tahap kepengikutan menjadi longgar.

Jihad ekonomi

Hal yang sama juga berlaku dalam proses pemerkasaan partisipasi ekonomi yang menuntut bukan saja ilmu urus niaga dan muamalah yang baik tetapi pada masa yang sama suntikan jiwa mandiri perlu diperkukuh. Mentaliti subsidi bukanlah jawapan terbaik untuk menghasilkan daya saing akibat ekonomi terbuka.

Menjadikan jihad ekonomi sebagai suatu lonjakan adalah amat perlu. Johor Corporation, umpamanya adalah satu contoh keupayaan kepemimpinan ekonomi umat Melayu yang patut dijadikan model bagaimana disiplin kepemimpinan dan landasan pengurusan yang berasaskan Islam mampu menempatkan diri mereka antara kepemimpinan korporat yang disegani di Malaysia.

Begitu juga mobiliti umat Melayu dalam dunia pendidikan adalah sesuatu yang amat utama. Transformasi pendidikan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat membangun insan yang harmonis dan seimbang menuntut upaya pelaksanaan yang kreatif dan strategik. Sifat ilmu yang berkembang dan strategik, pendidikan dunia yang cepat berubah jangan sampai menyebabkan kita melenyapkan asas fundamental seperti kepentingan pendidikan menggunakan bahasa Melayu dan kepentingan pendidikan diolah secara integratif supaya pendidikan nilai dan agama mampu mengangkat pemikiran generasi muda ke arah tamadun tinggi.

Orientasi pendidikan ke arah peperiksaan harus diubah kerana keperluan kepemimpinan dan kepengikutan umat Melayu hari ini dan masa depan tidak saja dalam batasan teknologi tinggi tetapi kepentingan ‘soft skill’ seperti keterampilan keinsanan adalah sesuatu yang amat dituntut. Membangun sistem pendidikan secara mekanistik dan robotik boleh menyebabkan generasi muda hilang sentuhan keinsanannya dan amat terdedah dengan proses pembudayaan Barat popular dan menyebabkan kecairan dan ketirisan jati diri umat Melayunya.

Memperkasa bahasa asing yang memiliki faedah berbanding yang tinggi seperti bahasa Inggeris dan Mandarin tidaklah menjadi suatu kesalahan. Ia boleh menjadi alat untuk menimba ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan melengkapkan umat Melayu dalam memperkasa dirinya tanpa meremehkan kepentingan bahasa ibundanya.

Penulis ialah Profesor Pendidikan di UIAM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan