KUALA LUMPUR: Tarikh akhir
untuk mengembalikan borang penyata cukai pendapatan bagi punca pendapatan bukan
perniagaan (Borang BE) dan bayaran baki cukai kena dibayar melalui sistem
e-Filing dilanjutkan sehingga 15 Mei ini.
Pegawai Perhubungan Awam Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) Masrun Maslim berkata ini bagi menggalakkan lebih
ramai orang menggunakan sistem elektronik itu yang lebih mudah dan cepat.
"Bagaimanapun, bagi mereka
yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada Selasa ini dan kita
galakkan mereka menghantar melalui pos di mana borang-borang itu akan diterima
LHDN selewat-lewatnya 3 Mei," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di
sini, Sabtu.
Ketika ditanya mengenai aduan
orang ramai mengenai kesukaran menghantar borang penyata cukai secara manual,
Masrun berkata setakat ini LHDN tidak menerima aduan sedemikian dan mengakui ia
kes terpencil.
"Semakan kami di beberapa
cawangan seperti di Cheras, Wangsa Maju dan Kota Baharu (Kelantan) masih
menerima borang-borang itu. Ada kotak khas disediakan bagi mereka yang ingin
menghantarnya," katanya.
Beliau berkata LHDN sentiasa
menggalakkan pembayar cukai mengisi borang melalui e-Filing kerana ia bukan
sahaja dapat menjimatkan kos, malah memastikan keselamatan data sampai terus ke
LHDN serta dapat memelihara alam sekitar dengan kurangnya penggunaan kertas.
Sehingga kini, Masrun berkata
sebanyak 1.5 juta pelbagai borang penyata cukai pendapatan telah diterima
melalui e-Filing berbanding 1.4 juta pada tempoh sama tahun lepas.
Sambutan terhadap e-Filing amat
menggalakkan iaitu merangkumi 70 peratus daripada jumlah borang penyata
cukai pendapatan yang diterima pada tahun lepas, katanya.
Selain itu, cukai terlebih bayar
juga boleh diproses dengan cepat bagi mereka yang menghantar borang taksiran
melalui e-Filing.
"Justeru, kami menasihatkan
kepada semua pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab dengan menghantar
borang pada saat akhir supaya beralih kepada kaedah e-Filing. "Kami pasti
masalah penghantaran borang lewat dari tarikh ditetapkan akan selesai kerana
e-Filing ternyata mudah, tepat dan selamat," katanya.
Menurut laman web LHDN, tarikh
akhir permohonan baru pin untuk e-Filing melalui e-mel bagi penghantaran Borang
BE ialah 30 April 2013. -BERNAMA
info yang bermanfaat
BalasPadam