Sabtu, 27 April 2013

ISU EKONOMI : Tarikh Akhir Hantar Borang BE Melalui E-Filing Dilanjutkan Hingga 15 Mei


KUALA LUMPUR: Tarikh akhir untuk mengembalikan borang penyata cukai pendapatan bagi punca pendapatan bukan perniagaan (Borang BE) dan bayaran baki cukai kena dibayar melalui sistem e-Filing dilanjutkan sehingga 15 Mei ini.

Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Masrun Maslim berkata ini bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan sistem elektronik itu yang lebih mudah dan cepat.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang mengisi borang secara manual, tarikh akhir kekal pada Selasa ini dan kita galakkan mereka menghantar melalui pos di mana borang-borang itu akan diterima LHDN selewat-lewatnya 3 Mei," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Ketika ditanya mengenai aduan orang ramai mengenai kesukaran menghantar borang penyata cukai secara manual, Masrun berkata setakat ini LHDN tidak menerima aduan sedemikian dan mengakui ia kes terpencil.

"Semakan kami di beberapa cawangan seperti di Cheras, Wangsa Maju dan Kota Baharu (Kelantan) masih menerima borang-borang itu. Ada kotak khas disediakan bagi mereka yang ingin menghantarnya," katanya.

Beliau berkata LHDN sentiasa menggalakkan pembayar cukai mengisi borang melalui e-Filing kerana ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah memastikan keselamatan data sampai terus ke LHDN serta dapat memelihara alam sekitar dengan kurangnya penggunaan kertas.

Sehingga kini, Masrun berkata sebanyak 1.5 juta pelbagai borang penyata cukai pendapatan telah diterima melalui e-Filing berbanding 1.4 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Sambutan terhadap e-Filing amat menggalakkan iaitu merangkumi 70 peratus daripada jumlah borang penyata cukai pendapatan yang diterima pada tahun lepas, katanya.

Selain itu, cukai terlebih bayar juga boleh diproses dengan cepat bagi mereka yang menghantar borang taksiran melalui e-Filing.

"Justeru, kami menasihatkan kepada semua pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab dengan menghantar borang pada saat akhir supaya beralih kepada kaedah e-Filing. "Kami pasti masalah penghantaran borang lewat dari tarikh ditetapkan akan selesai kerana e-Filing ternyata mudah, tepat dan selamat," katanya.

Menurut laman web LHDN, tarikh akhir permohonan baru pin untuk e-Filing melalui e-mel bagi penghantaran Borang BE ialah 30 April 2013. -BERNAMA

1 ulasan: