TAWAU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan lebih 30,000 tempat
kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM) untuk mengikuti pelbagai peringkat pengajian di Institut
Pendidikan Mara (IPMa) di seluruh negara bagi pengambilan Julai tahun ini.
Ketua Pengarah MARA, Datuk
Ibrahim Ahmad, berkata tahun ini juga pihaknya menawarkan peluang pendidikan
kepada 2,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian di luar negara dalam pelbagai
bidang strategik.
"Kira-kira 2,000 tempat
untuk pendidikan luar negara dalam pelbagai bidang terutama bidang strategik
seperti kejuruteraan, ekonomi dan perakaunan ditawarkan," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2013 peringkat Negeri
Sabah di sini hari ini.
Ibrahim berkata, IPMa seperti
Universiti Kuala Lumpur, German Malaysian Institut, Kolej Mara, Kolej
Profesional Mara dan Kolej Poly-Tech Mara, Maktab Rendah Sains Mara, Giatmara,
Institut Kemahiran Mara (IKM) menerima sehingga 60,000 permohonan untuk
memasuki IPMa setiap tahun.
Katanya, jika IPMa yang
menawarkan pengajian daripada peringkat sijil sehingga ijazah tidak dapat
menampung semua permohonan berkenaan, pemohon yang layak akan ditawarkan tempat
di institut pengajian swasta yang bekerjasama dengan MARA. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan