Selasa, 2 April 2013

ISU PENDIDIKAN : Biasiswa Nasional 2013 Suntik Semangat Pelajar Untuk Terus Cemerlang


KUALA LUMPUR : Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013 menyifatkan pemberian itu sebagai penyuntik semangat untuk terus berjaya pada masa depan.

Pemberian itu turut dirasai pelajar jurusan sains Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Terengganu, Wan Hashedah Wan Haron, 18, yang kehilangan bapa dan terpaksa bergantung harap kepada ibunya untuk membiayai persekolahan.

"Meskipun hidup susah dan hanya ibu yang bekerja sejak kematian ayah sebelas tahun lalu namun saya tetap cekal kerana mahu membalas jasa ibu," katanya.

Beliau merupakan antara 50 penerima Biasiswa Nasional 2013 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, Isnin.

Menerusi biasiswa tersebut, Wan Hashedah yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik akan menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan dan berazam untuk memiliki klinik sendiri kelak.

Sementara itu ibunya, Rahimah Ismail, 49, menyifatkan Wan Hashedah yang mendapat 9A+ dalam SPM 2012, seorang anak yang rajin sehingga membolehkan beliau mendapat tempat pertama di dalam kelas bagi setiap peperiksaan sejak dari darjah satu hingga tingkatan lima.

Pelajar Sekolah Sri Tenby Shah Alam, Elaine Tan Sue May, 18, yang mendapat 9A+ dalam SPM 2012 pula berasa bangga menerima biasiswa itu.

"Saya gembira dan terkejut semasa mendapat tahu saya menerima biasiswa kerana antara ribuan pelajar di Malaysia, saya terpilih," katanya.

Biarpun subjek Bahasa Melayu agak sukar baginya, beliau tetap menerimanya sebagai satu cabaran dan berusaha mencapai keputusan terbaik dalam subjek itu.

Di bawah program biasiswa itu, pelajar akan ditaja dari peringkat persediaan hingga ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka di universiti yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara. Program yang diperkenalkan pada 2010 itu pada mulanya menetapkan pemberian biasiswa kepada 30 pelajar cemerlang SPM.

Bagaimanapun, bermula tahun lalu, kerajaan bersetuju menambah bilangan penerima biasiswa nasional kepada 50 orang.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Connaught Kuala Lumpur, Keshov Kumar Lal Asokan pula berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang ekonomi di universiti Amerika Syarikat.

Meskipun bapanya bekerja sebagai pakar sakit puan, namun anak ketiga daripada empat adik-beradik itu tidak pernah menerima desakan keluarga untuk menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran.

"Keluarga faham minat saya dalam bidang ekonomi kerana sejak kecil lagi saya amat meminati subjek matematik," katanya yang mendapat 11A+. -BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan