Oleh : DATUK NOOR AZAM
APABILA saya tulis "Mengapa
Pendatang Haram Myanmar Tuju Langkawi" (Utusan Malaysia 20 Februari 2013)
ada empat mesej yang ingin saya sampaikan:
(1) Pendatang asing telah
'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis
hingga ke Sabah. Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka pun,
ramai sudah ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Pendatang bangsa lain
jangan dikata lagi. Bebas di mana-mana. Bahkan ada syarikat yang menggunakan
pendatang haram sebagai "Pengawal Keselamatan".
(2) 'Menawan' bermakna mereka
sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tak begitu berkesan
lagi menangani pelbagai kerenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya,
Datuk Bandar mengaku penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak
mampu mengambil tindakan terhadap pendatang yang berniaga di gerai. Ini
kesalahan yang sangat kecil. Apa lagi jenayah besar dan sofistikated.
(3) Negara kita yang aman makmur
dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang
macam-macam jenis pendatang dari seluruh dunia. Makin ramai, tak terkira
jumlahnya. Pelbagai berita jenayah pendatang - yang serius - tersiar dalam
televisyen dan akhbar hampir setiap hari - dah jadi macam cerita hiburan.
(4) Semakin banyak koloni haram
orang asing didirikan, terutama di sekitar Lembah Klang hingga ke Pulau
Langkawi - termasuk mendirikan rumah batu - di atas tanah milik kerajaan, di
pinggir pantai dan malah di atas tanah milik peribadi. Tidak nampak penguat
kuasa, termasuk polis yang bertindak. Koloni ini dipercayai menjadi tempat
persembunyian dan penampungan pendatang haram. Contohnya, "kampung orang
Burma" di Pulau Langkawi - jelas terpampang di depan mata. Dah jadi
perkara biasa. Kita tak perlu buat apa-apa!
Jadi Syurga Pendatang Haram
Tragedi yang tak pernah terduga
di Lahad Datu dan Semporna - jelas membuktikan bahawa pendatang yang kita
sambut dan beri layanan istimewa, boleh membawa gerombolan pengganas
bersenjata, menggugat kedaulatan dan keselamatan kita. Nyatalah, persamaan
rumpun bangsa dan agama bukan suatu jaminan.
Kita terlupa pesan nenek moyang:
"Buat baik berpada-pada. Ada musuh dalam selimut. Ada gunting dalam
lipatan".
Kata Johan Jaafar: Sudah terlalu
lama we have taken things for granted. Kita terlalu bermurah hati;
membenarkan mereka datang ke bandar-bandar, pulau-pulau dan wilayah kita. Ada
kes-kes pencolekan dan pembunuhan. Masih juga kita menutup mata.
Mereka mendirikan kampung air dan
kita tak buat apa-apa tindakan. Tanpa kita sedar mereka sudah berada di
mana-mana. Bandar-bandar di sempadan (termasuk di Semenanjung) jadi syurga
orang asing. Kita terkejut melihat jutaan pendatang haram di keliling kita.
(New Straits Times 16 Mac 2013).
Sebenarnya "kita" tak
terkejut kerana "kita" tak pernah ambil kisah dan belum terasa ada
bahaya. Walaupun Utusan Malaysia sering mengingatkan kita. Tiba-tiba Lahad Datu
dan Semporna menyebabkan kita menangis tak berlagu. Berkempenlah kita memungut
derma untuk anak-isteri perajurit yang terkorban. Lagu-lagu patriotik pun
berkumandang semula di radio dan televisyen.
Menurut banci penduduk 2010,
sebanyak 27.7 peratus (%) penduduk Sabah adalah bukan warganegara. Sekarang
2013 - sudah berapa peratus? Mana-mana negara pun yang mempunyai penduduk bukan
warga negara begini ramai - apa lagi pendatang haram - lambat laun pasti akan
ditimpa mala petaka bencana politik yang serius.
Beberapa tahun terakhir ini kita
mengalami masalah sosial-politik yang semakin serius - akibat terlalu ramai
rakyat yang asalnya pendatang - berjuang untuk mendapat lebih banyak kuasa
politik. Pemimpin-pemimpin mereka juga masih kuat mempertahankan budaya, bahasa
dan identiti asal mereka. Di Sabah, lebih serius lagi apabila ada pendatang yang
menuntut Sabah adalah pusaka milik mereka.
Kata Presiden Benigno Aquino,
terdapat 800,000 pekerja Filipina di Malaysia (sebahagian besar pastilah di
Sabah). Di samping itu, menurut Mohd. Zaki Harry Susanto, Setiausaha Persatuan
Rumpun Etnik Suluk, ada 300,000 orang Suluk yang terdaftar sebagai warganegara
Malaysia. Tiada yang pasti berapa ratus ribu pula pendatang haram, termasuk
yang mendirikan koloni dan hidup bebas di pulau-pulau di perairan timur Sabah.
Wartawan NST, Desmond Davidson
yang membuat tinjauan di Pulau Bum Bum menulis cerita yang menarik mengenai
pendatang haram dari Sulu. Di pulau ini terdapat 50 kampung, dua daripadanya
didiami pendatang Sulu. Jumlah mereka sekitar 200 orang, tetapi merekalah yang
paling banyak menimbulkan kacau-bilau.
Suku Bajau - majoriti penduduk
daerah Pantau Pantau - tidak senang hati kerana Sulu Filipina ini menduduki
kampung itu tanpa mempedulikan undang-undang.
Kata Ketua Kampung, Bhogo Abad,
"Mereka menanam jagung dan ubi kayu di atas tanah milik orang dan menganggap
tanah itu milik mereka. Mereka membina surau sendiri. Tidak mematuhi peraturan
agama yang ada dan tidak mengakui saya sebagai ketua kampung. Di pulau ini
seperti di selatan Filipina - tidak ada undang-undang. Tidak ada polis."
Tragedi pencerobohan di Sabah
ini, bukan lagi sekadar isu keselamatan tetapi telah menjadi masalah politik
yang sensitif dan amat sulit ditangani. Di belakangnya ada persaingan merebut
kuasa politik. Membabitkan pula hubungan dengan negara jiran tetangga.
Menyukarkan pula kita membezakan antara orang "Sulu" dan
"Suluk" - antara generasi Tun Datu Mustapha dan anak cucu mereka
dengan generasi yang baharu tiba. Kesetiaan mereka masih di selatan Filipina,
tetapi mahu terus menetap di Malaysia. Inilah akibat membiarkan pendatang 'menawan'
kita.
Salah Kita Sendiri
Salah satu kesalahan besar kita
ialah melunakkan panggilan "pendatang haram" sebagai "pendatang
tanpa izin". Terlalu berbudi bahasa bukan pada tempatnya. Akibatnya kita
merasa pendatang haram bolelah kita terima - bukan suatu kesalahan besar. Tiada
membawa apa-apa bahaya. Sekarang kita lihat padahnya.
Kata bekas, Ketua Polis Negara,
Tan Sri Musa Hassan: "Pekerja asing terutama PATI (pendatang haram), tidak
mempunyai ketaatan kepada Malaysia. Kalau terlalu banyak pekerja asing - kalau
berlaku apa-apa - terdapat 'askar tersedia' di sini. Justeru kita perlu
perketat penguatkuasaan untuk memastikan tiada lagi PATI (pendatang haram)
masuk ke negara ini."
(Benarlah pemerhatian Musa,
'askar tersedia' sudah ada di Lahad Datu dan Semporna.)
Kata Musa, " Kalau tak silap
saya, kita ada dua juta PATI, sedangkan polis 100,000 dan tentera 150,000.
Cukupkah polis dan tentera hendak menghadapi mereka?" Jawab Musa,
"Tak cukup!"
Tegasnya: "Kemasukan
pelancong dan pelajar asing juga perlu dipantau dengan lebih ketat bagi
memastikan mereka tidak menyalahgunakan kebenaran yang diberikan, untuk
aktiviti jenayah. Kita mahukan pelancong bukan pelacur. Kita mahukan negara
jadi hab pendidikan, bukan hab pengedar dadah." (Utusan Malaysia 19 Mac
2013).
Pesan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak, insiden di Sabah ini "is a wake-up call for us, not
only for the government but also the rakyat". Tidak saja di Sabah,
tetapi di seluruh negara. Mesti bangun dan bertindak tegas macam "Ops
Daulat".
Peristiwa hitam - ganas - kejam
di Sabah ini sepatutnya benar-benar menyedarkan kita daripada terlena oleh
kesenangan: Bahawa "pendatang haram" - dari mana juga - adalah
"musuh kita". Mestilah ditangani dengan tegas - bersepadu dan sungguh-sungguh.
Perdana Menteri sudah melancarkan tindakan tegas di Sabah. Tidak boleh lagi ada
tindakan sambil lewa.
Penulis ialah pemerhati sosio
politik.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan