BERIKUT ialah teks ucapan penuh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen
Malaysia ke-12 pada Rabu.
Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Rakyat Malaysia yang
dikasihi,
1. Pertama-tamanya marilah kita
memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya
saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama
secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.
2. Saya ingin memaklumkan kepada
rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka
Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon
perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013.
Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan
baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa
hari ini.
3. Sehubungan dengan itu saya
menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap
Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan
Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak
di seluruh negara.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
4. Hari ini, 4 tahun yang lalu,
pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul
amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang
tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri,
anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala
ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan
berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.
5. Dalam tempoh empat tahun yang
lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana
fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program
Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya
membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran
negara.
6. Kerajaan yang ada pada hari
ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang
meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas
segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji,
kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan
memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti
komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record”
kami sepanjang empat tahun yang lalu.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
7. Pembubaran ini akan membuka
laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas
untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan
raya umum pertama pasca merdeka.
8. Malaysia ialah sebuah negara
yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai
asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.
9. Sejarah telah menunjukkan
bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur
untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini
selama lebih lima dekad.
10. Amalan demokrasi di Malaysia
kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun
pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan
keputusannya.
11. Saya ingin menyeru agar
tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua
parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini
perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat
terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak
wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan
raya yang bakal diadakan.
12. Insaflah dan ambillah iktibar
dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba
diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara
tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari
parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya
menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan
akhirnya rakyat menderita.
13. Sejarah selama ini telah
membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang
diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil
pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri
ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai
dengan amalan demokrasi sarwajagat.
14. Amalan demokrasi sebagai
teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia.
Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka
atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah
menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan
memajukan negara.
15. Marilah kita sama ada parti
kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara
keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh
rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan
dengan lancar, aman dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
16. Saya ingin memberi jaminan
bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai
dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga
selesai proses pilihan raya. 17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi
jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa
jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun
di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib.
Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam
menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara
dan mendahulukan kepentingan rakyat.
18. Kepada semua rakyat Malaysia
terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut.
Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai
warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk
memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
19. Setiap undi tuan-tuan dan
puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa
depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya
sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan
bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu
kita semua.
20. Dalam pilihan raya ini
tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan
saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga
memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
21. Saya berdiri di sini dengan
penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati
tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan
menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan
memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.
22. Di sini saya selaku Ketua
Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih
kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan
Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang
lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu
rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN
perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.
23. Kami akan menggunakan mandat
kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar
masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk
saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan
kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan
berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia
memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan
yang ada.
24. Marilah kita bersama-sama
berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia
yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi
semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan