Kemudahan untuk penuntut OKU sentiasa ditmbah baik |
Oleh : NOOR AINUL YAKIN MOHAMAD ISHAK
PELUANG golongan orang kurang
upaya (OKU) untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi kini terbuka luas dengan
kemudahan yang semakin dinaiktarafkan oleh institut pengajian tinggi (IPT)
termasuk Universiti Malaya (UM).
Sinonim dengan panggilan
universiti mesra OKU di negara ini, kemudahan dan kebajikan yang dilakukan
untuk golongan ini sentiasa ditambah baik melalui bantuan Seksyen Kaunseling,
Kerjaya & OKU universiti berkenaan.
Justeru, kini semakin ramai yang
memohon untuk menyambung pengajian di universiti ini kerana mengetahui UM
antara universiti yang mengambil berat akan penuntutnya dan memastikan bakal
graduan OKU mendapat pekerjaan diimpikan.
“Dengan kecacatan yang aku miliki
ini, ada atau tidak universiti yang menyediakan kemudahan dan kursus sesuai
untuk golongan seperti aku ini, nampak luaran mungkin agak payah tetapi dalam
hati ini berkobar-kobar untuk terus belajar mengejar impian.”
Itu antara monolog dalaman yang
sering menghantui golongan orang kurang upaya (OKU) apabila mahu menyambung
pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kerisauan demi kerisauan mula
menerjah mereka apabila berhasrat untuk belajar lagi dan terlintas di fikiran,
sama ada kebajikan mereka akan terjaga apabila ke institut pengajian tinggi
(IPT).
Realitinya kini, pelajar OKU
tidak lagi perlu risau akan kemudahan mereka di IPT nanti kerana kebanyakan
universiti telah menyediakan kemudahan khas kepada penuntut OKU baik dari segi
alat bantu pembelajaran, bilik kuliah, asrama dan kemudahan pengangkutan.
Pegawai Psikologi Seksyen
Kaunseling, Kerjaya & OKU, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya
(UM), Maznah Azis berkata, di universiti itu, kemudahan untuk golongan OKU
lengkap disediakan.
Menurutnya, tugas seksyen itu
juga untuk membantu perkembangan OKU, menyalurkan ke bahagian sepatutnya dan
khidmat kaunseling di mana OKU memerlukan bantuan kemudahan.
“Sebenarnya penuntut OKU yang
mendaftar masuk ke universiti ini ramai tetapi yang mendaftar di bawah seksyen
ini hanya 44 penuntut semester ini iaitu 26 buta, 12 cacat fizikal, tiga cacat
anggota dan tiga masalah pendengaran.
“Kita faham ada antara mereka
malu untuk menonjolkan diri dan tidak memerlukan bantuan, namun sekiranya
mereka mendaftar, kita dapat kenal pasti permasalahan mereka.
Misalnya ketika waktu
peperiksaan, sekiranya penuntut OKU berdaftar dengan kami, masa peperiksaan
mereka lebih panjang daripada penuntut lain. Jika tidak berdaftar mungkin
mereka mengalami kesulitan untuk menjawab dengan cepat seperti yang lain,”
katanya kepada Kampus.
Di bawah HEP juga ada menubuhkan
Jawatankuasa Penasihat Kebajikan OKU, melibatkan pertubuhan bukan kerajaan luar
untuk membantu menasihati segala perkhidmatan OKU.
UM yang terkenal sebagai
universiti mesra OKU turut menyediakan kediaman khas. Mereka ditempatkan di
Kolej Kediaman Za'ba di mana segala kemudahan untuk OKU ada disediakan di sana
dan kedudukan lebih sesuai untuk golongan ini.
Namun, jika ada penuntut OKU yang
mahu tinggal di kolej kediaman lain, pihak pengurusan tidak halang.
Kemudahan lain yang disediakan di
UM seperti tempat letak kereta khas, kerusi roda automatik, alat bantu
pembelajaran, bilik khas (karel) di perpustakaan, laluan pejalan kaki bagi
penuntut buta dan seni bina bangunan yang lebih mesra OKU.
Bebas memilih kursus
Ia diakui sendiri Yang Dipertua
Persatuan Mahasiswa Istimewa UM (Permium), Nurul ‘Adilah Nazri, 23, yang kini
memasuki tahun ketiga di UM mengenai penyediaan kemudahan OKU oleh pihak
universiti dilihat sangat diambil berat.
“Kebanyakan kemudahan sepanjang
pengajian bagi OKU tidak ada masalah, jika ada masalah pun kami akan berbincang
dengan pihak pengurusan untuk ditambah baik.
“Pemilihan kursus bagi penuntut
baru OKU juga tidak banyak masalah kerana kebanyakan bilik kuliah dan kursus
ditawarkan sememangnya mesra OKU,” katanya yang mengalami masalah tulang kaki.
Kemudahan lif memang terhad
disediakan, tetapi rata-rata OKU jika mahu ke tingkat atas sesebuah bangunan
akan dibantu rakan normal lain sekiranya kelas di adakan di tingkat atas
bangunan fakulti.
Tambah penuntut Sains Guaman dan
Pengajian Islam ini, rata-rata pensyarah faham dengan situasi penuntut OKU yang
mempunyai masalah untuk bergerak seperti penuntut normal, justeru mereka sering
mengadakan kelas di tingkat bawah.
Tolak ansur dan sikap mengambil
berat akan kekurangan yang dialami penuntut OKU ini menjadi penyebab UM dipilih
antara universiti pilihan bagi golongan ini.
Peluang kerjaya
Satu lagi kerisauan yang sering
dialami graduan OKU adalah apabila memikirkan syarikat sesuai untuk mendapatkan
pekerjaan.
Ia dihadapi sendiri penuntut
cacat penglihatan, Muhamad Nadhir Abdul Nasir, 22, yang agak risau mengenangkan
masa hadapan untuk mendapatkan kerja.
“Pernah saya bertanya kepada
abang senior yang cuba memohon pekerjaan, ada yang telah menghadiri 50 temu
duga pelbagai syarikat untuk mendapatkan pekerjaan.
“Kerisauan berkenaan semakin lama
semakin berkurangan apabila mengetahui kini kebanyakan syarikat telah
menyediakan kemudahan untuk kakitangan OKU dan kaunseling yang diberikan
seksyen ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada golongan seperti kami
untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Demi membuka ruang lebih luas
akan kerjaya OKU, Bahagian HEP UM baru-baru ini mengadakan karnival kerjaya OKU
yang dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah apabila jemputan beberapa syarikat di karnival itu membolehkan penuntut OKU
berinteraksi mengenai peluang pekerjaan di syarikat terpilih.
Segala program dan kemudahan yang
disediakan oleh UM ini dilihat sangat baik untuk penuntut OKU dan masa hadapan
mereka kerana mereka juga layak menerima kehidupan lebih baik sama seperti
insan normal.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan