Oleh : Jumiati Rosly
Pertahan status Olahragawan dan
Olahragawati Kebangsaan
Kuala Lumpur: Seperti dijangka
pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei dan ratu terjun Pandelela Rinong
dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2012 sekali gus
mempertahankan trofi yang dimenangi pada 2011 di majlis Anugerah Sukan Negara
2012, malam tadi.
Kedua-dua atlet itu,
masing-masing menyumbang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London menerima
trofi dan wang tunai RM20,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku
Abdul Halim Mu'adzam Shah di Subang Jaya, dekat sini.
Baru memperoleh cahaya mata
sulungnya Jumaat lalu, Chong Wei yang menyumbang pingat perak keduanya di
Olimpik London menewaskan enam atlet lain yang turut tercalon termasuk jaguh
bina badan Sazali Abdul Samad, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek (boling),
Leong Tze Wai (karate), Khairul Anuar Muhamad (memanah), Yu Peng Kean (lawan
pedang) dan Bryan Nickson Lomas (terjun).
Tuah anak saya
“Kelahiran anak lelaki diharap
menjadi tuah buat saya terutama menjelang Kejohanan Dunia, tahun ini.
“Anugerah ini juga diharap
menjadi dorongan untuk saya cipta lebih banyak kejayaan,” kata Chong Wei yang
memenangi anugerah berprestij ini buat kali keempat (2005, 2008, 2011 dan
2012), sekali gus menyamai rekod kemenangan jurulatihnya, Rashid Sidek.
Kejayaan Pandelela membawa pulang
gangsa acara 10m platform di London sekali gus melakar namanya sebagai atlet
wanita pertama menyumbang pingat di pentas berprestij itu memberi kelebihan
kepada atlet kelahiran Sarawak itu untuk dipilih pemenang.
“Walaupun saya menang atau tidak,
saya tetap akan buat yang terbaik dalam kejohanan yang disertai,” kata
Pandelela.
Dia menewaskan juara dunia skuasy
tujuh kali Nicol David, Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak), Esther Cheah
(boling), Chai Fong Ying (wushu), Fatehah Mustapa (berbasikal) dan Quzandria
Nur Muhamad Fathil (ekuestrian) yang turut tercalon.
Senarai Pemenang Anugerah Sukan
Negara 2012 :
Olahragawan Kebangsaan: Lee Chong
Wei (Badminton)
Olahragawati Kebangsaan:
Pandelela Rinong (Terjun)
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Skuad
hoki remaja
Pasukan Wanita Kebangsaan: Skuad
skuasy wanita
Olahragawan Paralimpik
Kebangsaan: Hasihin Sanawi (Memanah)
Olahragawati Paralimpik
Kebangsaan: Tiada pemenang
Jurulatih Lelaki Kebangsaan:
Rashid Sidek (Badminton)
Jurulatih Wanita Kebangsaan:
Tiada pemenang
Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk
Seri Paul Mony Samuel (Bola sepak) dan Datuk Abu Samah Wahab (Berbasikal)
Anugerah Tokoh Sukan: Tan Sri
Elyas Omar
Anugerah Khas: Ng Chow Seng
(Angkat berat) dan Zulfahmi Khairuddin (Permotoran)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan