Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW
POLIS merujuk kepada organisasi
kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan dan kestabilan
masyarakat menurut undang-undang negara. Polis adalah satu pekerjaan yang mulia
atau setengahnya memanggil mata-mata. Jika kita melihat kelibatnya sahaja maka
terus menjadikan kita rasa selamat dan terjamin, kerana adanya pengawasan
mereka.
Tetapi bagi pemandu kenderaan,
apabila ternampak polis trafik terus menggelabah, memastikan tidak menggunakan
telefon bimbit, memakai tali pinggang dan tidak melanggar undang-undang di
jalan raya.
Pada masa kini terdapat banyak
isu semasa yang menggugat keselamatan negara. Keselamatan bukan sahaja dari
segi fizikal malah melibatkan jenayah sindiket dadah, pemerdagangan bayi,
jenayah siber dan macam-macam lagi insiden-insiden yang mengancam keselamatan
rakyat.
Wujudnya perlakuan jenayah
membuatkan kita amat memerlukan kehadiran polis. Ini adalah kerana kehidupan
kita di Malaysia adalah berlandaskan undang-undang maka kita perlukan pihak
polis dengan mematuhi undang-undang, prosedur dan peraturan dan tidak boleh
bertindak sesuka hati dalam memperjuangkan keadilan.
Dalam pada itu, integriti adalah
perkara yang sangat penting bagi anggota polis dan perjuangan mereka tidak ada
tandingannya kerana komitmen mereka dalam membantu rakyat sepanjang masa.
Pada 25 Mac lalu, Sambutan Hari
Polis ke 206 bertemakan "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" diiringi
deraian air mata dan diselubungi suasana pilu kerana isu Lahad Datu. Pada masa
yang sama Perdana Menteri mengucapkan takziah dan juga tahniah kepada pasukan
polis, dan menyatakan bahawa seluruh rakyat Malaysia mengimpikan sebuah
perkhidmatan kepolisan yang profesional, berkesan dan terbaik demi menjamin
keamanan dan keselamatan negara.
Profesionalisme dan pengorbanan
pihak polis ini terbukti oleh peristiwa pencerobohan musuh-musuh negara iaitu
pengganas di Lahad Datu. Hari Polis pada tahun ini menyaksikan penampilan khas
wira-wira Komando 69 dari medan tempur di Sabah. Anggota Komando 69 yang berada
di barisan hadapan dalam pertempuran pada 1 Mac dan insiden serangan hendap di
Semporna diterbangkan khas ke majlis berkenaan.
Biarpun masih diselubungi rasa
sayu dan kesedihan dalam kalangan warga di perhimpunan itu berikutan kehilangan
anggota dalam pertempuran menentang pengganas Kiram dari selatan Filipina yang
mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lepas, mereka tetap hadir menyertai
sambutan.
Saya tertarik dengan cadangan
Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi mencadangkan supaya kerajaan negeri dan
Kerajaan Persekutuan membina tugu peringatan kepada wira negara yang terkorban
dalam krisis pencerobohan di Sabah. Ini adalah satu idea yang baik.
Pengorbanan mereka yang bertarung
nyawa untuk mempertahankan negara dalam krisis pencerobohan kumpulan pengganas
Kiram sejak 2 Februari lepas adalah sesuatu yang wajar dijadikan monumen
sejarah.
Penubuhan ESSCO untuk keselamatan
Sabah akan lebih terjamin dan dengan adanya anugerah Posthumous diberikan
kepada balu-balu pahlawan yang gugur semasa Ops Daulat merupakan usaha murni
kerajaan menghargai jasa-jasa perwira negara. Walaupun nyawa tidak dapat dibayar
dengan wang, namun anugerah tersebut akan meringankan beban keluarga.
Polis juga mencatat kejayaan
besar dengan menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang
melibatkan nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM637,000 baru-baru ini
termasuk membongkar modus operandi terbaharu sindiket yang menyorok dadah di
dalam pelapik kasut dengan 850 gram dadah jenis syabu pada lelaki warga
Pakistan.
Kes dadah di sekitar Kedah
terbongkar dengan penahanan suspek warga tempatan berusia 46 tahun. Polis juga
berjaya merampas 335 gram dadah jenis syabu bernilai RM70,000 daripada seorang
wanita warga Indonesia di balai berlepas Terminal Penerbangan Tambang Murah
(LCCT).
Sindiket pemerdagangan bayi
ditumpaskan oleh pihak polis juga merupakan kejayaan besar pihak polis Pulau
Pinang apabila berjaya membongkar sindiket penjualan bayi terbesar di negara
ini dengan nilai RM300,000 dalam Ops Pintas Sayang dengan penahanan 33 suspek.
Syukurlah, pasukan itu turut
berjaya menemukan sembilan bayi iaitu tiga lelaki dan enam perempuan serta
kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga lapan tahun yang telah dijual di
sekitar negeri ini, Kedah dan Perak. Kasihan apabila melihat wajah bayi dan
kanak-kanak yang tidak berdosa ini dijual dengan berleluasa.
Kenaikan gaji polis yang
diumumkan pada 11 Mac 2013 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak memang wajar.
Kenaikan dengan menyelaraskan tangga gaji dan peluang kenaikan pangkat yang
setimpal dengan tempoh perkhidmatan polis dan elaun sampingan seperti elaun
keraian, kenderaan dan logistik mendapat perhatian kerajaan memandangkan tugas
yang membahayakan nyawa. Penyelarasan gaji pegawai kanan PDRM pula dijangka Gred 41 bagi
Inspektor, Asisten Superintendan (ASP) 44, Deputi Superintendan (DSP) 46,
Superintendan 48 dan Asisten Komisioner (ACP) 52.
Semoga kenaikan gaji ini akan
menarik minat ramai anak-anak muda menceburi bidang ini. Berita kenaikan gaji polis
PDRM 2013 diharap dapat menjadi perangsang dan motivasi kepada anggota polis
Diraja Malaysia PDRM. Terima kasih kepada semua anggota polis yang telah
membantu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama, masa dan tenaga
demi mempertahankan negara kita yang tercinta ini. Tabik hormat kepada semua
anggota polis di Malaysia. Selamat Hari Polis Ke-206. Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan
Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan