"SEKEPING penutup muka yang
dibuat daripada kertas mahu dijual dengan harga 50 sen sekeping?
"Sangat mahal dan sungguh
tidak munasabah betul," itulah kata-kata seorang bapa bila anaknya yang
berada di sekolah rendah memberitahu beliau tentang penutup muka yang dijual 50
sen sekeping di sebuah kedai.
Menurut bapa itu lagi, biasanya
penutup muka jenis kertas itu dijual antara RM7.00 dan RM9.00 untuk satu kotak
yang mengandungi 100 keping penutup muka, bergantung kepada kualiti.
Menurut satu tinjauan di pekan
Rawang dekat sini, farmasi-farmasi runcit melaporkan peningkatan jualan penutup
muka surgikal dalam kalangan orang ramai.
Bagaimanapun mungkin ada pihak
yang mahu mengaut keuntungan daripada masalah jerebu yang melanda sekarang ini.
"Kami hampir kehabisan stok.
Beberapa hari kebelakangan ini, ramai pelanggan yang bertanyakan pasal penutup
muka.
"Sebelum masalah jerebu
bermula, sukar bagi kami nak jual mahupun sekotak penutup muka tetapi kini kami
dapat jual enam hingga lapan kotak sehari," jelas tuan punya sebuah
farmasi di Bandar Country Homes, Rawang yang ingin dikenali sebagai Lee.
PENUTUP MUKA
Menurut pakar-pakar penjagaan
alam sekitar, perkara terbaik perlu dilakukan ketika jerebu melanda adalah
dengan berada dalam rumah.
"Tetapi bagi mereka yang
perlu berada di luar rumah seperti kanak-kanak sekolah, pekerja ofis dan buruh
pembangunan serta mereka yang memandu dan menggunakan motorsikal, memakai
penutup muka adalah perkara yang digalakkan.
"Sekurang-kurangnya penutup
muka menghalang debu dan habuk asap daripada memasuki sistem pernafasan mereka
yang memakainya," kata Lee.
Kementerian Kesihatan baru-baru
ini menasihati warga Malaysia terutama warga tua, anak kecil dan mereka yang
mempunyai penyakit atau masalah pernafasan seperti lelah (asma) agar mengelak
daripada terlalu lama berada di luar rumah.
Peniaga alat pendingin hawa juga
melaporkan peningkatan dalam jualan alat yang mempunyai pembersih udara
kebelakangan ini.
"Pelanggan mahukan penghawa
dingin yang mempunyai komponen pembersih udara atau 'ioniser' kerana ia
membantu membersihkan udara yang tidak sihat," jelas seorang daripada
pembekal itu.
Sementara itu, pengamal perubatan
Dr Shuhaimi Jamil menjelaskan bahawa lebih ramai pesakit yang mahu rawatan bagi
batuk, masalah pernafasan dan sakit mata dijangka mengunjungi kliniknya dalam
minggu-minggu yang akan datang.
"Daripada pengalaman saya yang
lepas bila jerebu melanda, lebih ramai pesakit yang mahukan ubat bagi melegakan
batuk, sakit mata dan masalah pernafasan," jelas beliau.
APA ITU JEREBU?
Menurut pensyarah, yang juga
warga penjagaan alam sekitar, Amin Iskandar, jerebu muncul disebabkan zarah
halus di udara.
"Dalam konsentrasi tinggi,
zarah-zarah ini akan bertaburan serta menyerap cahaya matahari menyebabkan
jarak penglihatan menjadi kurang hingga berlakunya seolah-olah alam sekeliling
menjadi redup.
"Jerebu bukannya hanya
berlaku di kawasan bandar, malah boleh wujud di kawasan pedalaman,"
katanya.
Zarah-zarah itu datang dari
pelbagai sumber termasuk yang wujud secara semulajadi dan yang 'antropogenik'
(muncul kerana proses tindakbalas).
"Kebanyakan daripada zarah-zarah
ini terbit hasil daripada kegiatan yang dilakukan manusia seperti pembakaran
terbuka bagi tujuan penanaman, pembukaan tanah hutan, penggunaan kenderaan
serta pembakaran bahanapi dalam industri," kata Amin.
PEMBENTUKAN JEREBU
"Pada satu-satu masa dalam
setahun terutama semasa musim Monsun Baratdaya, pergerakan udara secara menegak
akan berkurangan.
"Pengurangan berat udara ini
tidak merangsang pembentukan awan secara aktif lalu menyebabkan cuaca menjadi
kering.
"Terdapat juga beberapa faktor
yang memanjangkan musim panas dan terdapatnya banyak pencemar udara merupakan
suasana sesuai bagi pembentukan jerebu," jelas beliau.
Menurut beliau lagi, zarah-zarah
yang muncul di atmosfera akan terperangkap dalam udara yang tidak bergerak menyebabkan
kumpulan partikel ini menjadi mendap dan membentuk jerebu.
BAGAIMANA HILANGKAN JEREBU?
Zarah-zarah dalam udara boleh
dihilangkan melalui beberapa proses.
Tarikan graviti akan membuat
zarah-zarah yang lebih berat jatuh ke bumi manakala zarah yang lebih ringan
boleh dihilangkan melalui 'rainout' atau kondensasi wap air lalu membentuk
titisan air sehingga membentuk awan.
Zarah-zarah ini juga boleh
dihilangkan melalui proses penyatuan dengan titisan hujan semasa berlakunya
hujan dan dinamakan 'washout'.
Satu cara lagi adalah melaui
mekanisme 'turbulence' di mana zarah jerebu ditiup kuat ke lapisan lebih tinggi
dalam atmosfera.
"Kejadian hujan lebat serta
ribut petir adalah lebih berkesan manakala hujan yang sekejap dan tidak lebat
adalah kurang cekap dalam menghilangkan jerebu," terang beliau lagi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan