KUALA LUMPUR: Sekolah yang
terletak dalam kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi
250 boleh ditutup dengan memaklumkannya terlebih dahulu kepada Kementerian
Pendidikan.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri
Abd Ghafar Mahmud dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat
demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena jerebu.
Katanya satu Mesyuarat Khas
Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan di Majlis Keselamatan
Negara di Putrajaya hari ini meminta kementerian mengambil tindakan berdasarkan
Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Menurutnya berdasarkan Pelan
Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi
300.
Bagaimanapun, sekiranya keadaan
jerebu di kawasan tersebut memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau
bacaan IPU dalam lingkungan 250 hingga 300, Jabatan Pelajaran boleh merujuk
Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu
Kebangsaan juga semua sekolah yang telah ditutup dan terletak di kawasan bacaan
IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula.
"Sehubungan dengan keputusan
mesyuarat tersebut, serta demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa
fenomena ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju agar sekolah-sekolah
yang terlibat boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250
dan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada KPM," kata Abd Ghafar. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan