Jumaat, 7 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Pulihara ekosistem marin elak jejas kehidupan


Oleh : Rosmidzatul Azila Mat Yamin
 
“Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur” (Surah an-Nahl ayat 14).

Ayat ini sudah cukup memberi penjelasan kepada kita mengenai nikmat lautan yang tidak ternilai dalam memenuhi tuntutan hidup manusia di atas muka bumi.

Namun, sejauh manakah kita memahami dan menghayati bait ayat yang disampaikan kepada kita baik dari segi kepentingan kitaran semula jadi yang berlaku dalam persekitaran mahupun peranan kita sebagai satu-satunya makhluk yang berakal di atas muka bumi?

Segala yang tersurat dan tersirat dalam setiap ciptaan Allah perlu dikaji dan dirungkai supaya kita lebih menghargai nikmat alam dan mensyukuri setiap apa yang dibekalkan kepada kita.

Umpamanya, simbiosis unik yang berlaku dalam ekosistem marin yang terbentang luas itu sendiri seharusnya menyedarkan kita mengenai kebesaran dan kekuasaan Yang Maha Esa, selain mampu mendorong hati kita untuk menjadi insan yang patuh dan mensyukuri setiap nikmat kurniaan-Nya.

Keunikan ekosistem marin bukan saja digambarkan dari sudut keindahan fizikalnya semata-mata, malah juga dapat dilihat daripada jutaan bio pelbagai yang ada di dalamnya yang membentuk suatu rantaian lengkap makanan.

Dalam konteks ini, kitaran makanan dimulai oleh plankton tumbuhan yang menggunakan cahaya matahari ketika proses fotosintesis bagi menghasilkan makanan sendiri.

Rantaian makanan

Plankton haiwan pula akan memakan tumbuhan atau plankton haiwan lain. Seterusnya ikan, kerang-kerangan dan burung laut memakan plankton yang kemudian makhluk ini dimakan pula oleh haiwan lebih besar seperti anjing laut dan paus.

Begitu unik dan takjubnya kesinambungan hidupan dalam ekosistem marin yang setiap satu saling berhubung kait antara satu sama lain. Rantaian makanan ini penting untuk difahami dan dipelihara kerana kita (manusia) berada di aras terakhir rantai makanan.

Misalnya, kita memperoleh sumber bahan mentah seperti ikan yang menjadi sumber protein utama serta menghasilkan pelbagai produk daripada sumber laut untuk melengkapkan keperluan asas kita.

Justeru, jika berlaku kepincangan ke atas rantaian makanan ini maka kehidupan manusia juga akan turut terjejas.

Kelangsungan hayat bumi

Justeru, amat penting bagi kita untuk memahami setiap proses yang berlaku bukan saja dalam ekosistem marin bahkan juga dalam persekitaran fizikal yang lain agar kelangsungan hayat bumi dapat diteruskan.

Dalam menjaga khazanah lautan, peranan setiap individu adalah penting terutama bagi memastikan laut tidak dicemari dengan sewenang-wenangnya. Mungkin segelintir daripada kita berpendapat bahawa keluasan lautan amat besar dan tidak mungkin ia akan tercemar teruk.

Sebenarnya telahan itu tidak benar sama sekali. Air sungai yang mengalir akhirnya akan menghanyutkan segala bahan cemar ke dalam laut.

Pencemaran ini seterusnya akan membunuh atau menyingkirkan hidupan laut,  baik yang tinggal berhampiran muara sungai mahupun di pantai.

Situasi ini pastinya akan merencatkan kitaran makanan bagi hidupan laut, dan manusia tidak terkecuali menerima impak daripada kepincangan yang berlaku.

Oleh yang demikian, dalam memacu kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan melindungi ekosistem marin, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama menggembleng usaha bagi memastikan khazanah lautan ini dijaga dan dilindungi.

Melihat kepada sumbangan penting yang dimainkan oleh ekosistem marin, maka usaha pemuliharaan perlu menjadi keutamaan dan tiada kompromi kepada sebarang bentuk pencabulan ke atasnya.

Pengisytiharan Hari Laut Sedunia pada 8 Jun setiap tahun adalah satu langkah positif dalam usaha memacu dan memantapkan pemahaman serta kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan biologi pelbagai marin serta keseluruhan ekosistemnya.

Penulis ialah pegawai penyelidik, Pusat Kajian Sains dan dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan