Prof Dr Zong Yu menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya |
Malah tidak keterlaluan jika
membandingkan keazaman beliau dengan mereka yang gagal menguasai Bahasa Melayu
di negara ini sebagai memalukan.
Pengarah Pusat Pengajian
Melayu-China yang berpangkalan di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing
memulakan pengajaran Bahasa Melayu di sana dalam keadaan yang begitu daif tanpa
sebarang bantuan malahan buku.
Bagi Zong Yu yang dianugerahi
Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya mempelajari Bahasa
Indonesia di Peking University pada tahun 1956 dan mula menerima pelajar Bahasa
Melayu angkatan pertama pada tahun 1962.
Dalam keadaan yang sukar
antaranya kekurangan buku dan tenaga pengajar, Zong Yu sendirian mengkaji dan
menyusun bahan pengajaran.
Kini, usaha dan baktinya
mengembangkan pengajian Melayu di negara tersebut telah mencecah tempoh 51
tahun dan pada usia 74 tahun beliau masih terus bersemangat dan gigih
meningkatkan usaha itu.
Dalam wawancara yang dihadiri
Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan, DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH dan Wartawan
Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau berkongsi pandangan mengenai
keperluan menguasai Bahasa Melayu oleh semua kaum di negara ini.
MINGGUAN : Bagaimana Prof. boleh
terlibat dalam pengajaran bahasa Melayu di negara China?
WU ZONG YU : Saya merupakan
perintis program bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Beijing
yang bermula pada tahun 1961 ketika saya berusia 23 tahun. Pada peringkat
awalnya saya diberitahu akan hadir beberapa tenaga pengajar dari Malaya untuk
membantu selain dibekalkan buku yang mencukupi. Namun itu tidak berlaku malah
saya diberi tugas untuk menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di universiti
berkenaan yang juga pertama di negara China. Saya mengajar pelajar saya dan
pada masa yang sama juga belajar bersendirian untuk memperbaiki Bahasa Melayu.
Saya mesti berdikari untuk mengajar Bahasa Melayu dan semangat inilah yang
telah menggembirakan saya sehingga sekarang.
Sehingga lebih 30 tahun iaitu
sekitar 1996 menanti barulah tenaga pengajar dari Malaysia sampai. Walaupun
Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1974 namun masih
tidak terdapat sebarang bantuan dalam pengajaran Bahasa Melayu di China. Buku pertama
yang saya terima bertajuk, Sarah pengarang kecil yang juga bersaiz kecil.
Peringkat awalnya sangat sukar dan terlalu teruk kerana kami tidak disediakan
sebarang buku malah hanya saya seorang yang menjadi tenaga pengajar untuk 16
pelajar pertama kursus berkenaan.
Saya umpama meraba-raba dalam
kegelapan kerana keadaan serba kekurangan ini. Dalam keadaan yang amat susah
kerana kekurangan buku dan tenaga pengajar, saya bertindak sendirian dalam
menyusun bahan pengajaran dan mengkaji sendiri segala ilmu tentang Bahasa
Melayu walaupun saya belajar pengajian Bahasa Indonesia sebelumnya. Terlalu
banyak ranjau yang saya terpaksa tempuhi dan akhirnya setelah menamatkan kursus
yang pertama dua orang pelajarnya telah diambil untuk menjadi pembantu saya.
Saya juga begitu ingin untuk
berbual dengan mereka yang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tetapi tidak ada.
Ini kerana saya sendiri pun tidak pasti apakah yang saya tutur dan ajarkan pada
anak murid itu betul atau tidak kerana tidak pernah berbual atau berbincang apa
yang betul dan salah. Malah saya juga hingga ke tahap menyimpan bungkusan
plastik gula-gula yang tertera tulisan Melayu kerana begitu ingin melihat dan
membaca dalam Bahasa Melayu. Mungkin bagi orang lain ia tidak mempunyai makna
tetapi bagi saya ia sangat berharga. Saya tidak akan meletak jawatan mahupun
bersara sekarang kerana ia telah menjadi darah daging saya serta tidak mahu
mengalah dengan dakwaan bahawa Bahasa Melayu tidak boleh berkembang di China.
Tetapi satu perkara yang membuatkan saya berbangga adalah saya mendapat begitu
banyak sokongan daripada saudara-saudara Melayu saya di Malaysia untuk
meneruskan usaha ini.
MINGGUAN : Bagaimana Prof. melihat
keadaan segelintir orang bukan Melayu di negara ini yang tidak ada kesungguhan
untuk menguasai Bahasa Melayu?
WU ZONG YU : Bagi saya paling
utama adalah tidak perlu dipolitikkan isu Bahasa Melayu ini kerana ia tidak
akan membawa sebarang keuntungan. Tetapi jika wujud perasaan perkauman yang
menebal dan tidak mahu bersatu dengan bangsa lain ia akan menimbulkan kesukaran.
Yang penting kita mesti menggalakkan perpaduan sesama pelbagai bangsa di dalam
negara.
Kita juga tidak perlu mengungkit
perkara-perkara yang lepas dan apa yang telah dilalui oleh generasi lama perlu
dibiarkan. Yang penting sesama generasi muda mereka perlu bersatu padu sesama
semua kaum dan perlu menguasai Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa rasmi di
negara ini. Kita perlu mewujudkan pelbagai program dan wacana yang mampu
membuatkan generasi muda pelbagai kaum untuk berinteraksi sesama mereka.
MINGGUAN : Bagaimana Prof. melihat
terutama generasi muda supaya mengeratkan perpaduan melalui penggunaan bahasa
kebangsaan?
WU ZONG YU : Saya melihat generasi
muda ini umpama kertas putih yang suci. Mereka berkelakuan baik ketika kecil
dan kesilapan generasi tua yang mengakibatkan kertas putih ini bertukar kotor.
Jika kita lihat keadaan ketika kanak-kanak masih di tadika yang mana tidak ada
satu perasaan perkauman. Saya terfikir alangkah bagusnya jika semangat tanpa
perkauman itu kekal sehingga mereka dewasa.
Oleh itu adalah sangat penting
untuk kita mengekalkan perasaan harmoni antara semua kaum terutama melalui
bahasa. Bagi saya mungkin kertas putih akan diwarnai pelbagai warna apabila
semakin dewasa tetapi tidak ada salahnya kerana yang penting ia perlu umpama
lukisan yang diwarnai pelbagai warna menarik dan bukan seperti contengan hodoh
yang tidak memberi sebarang makna. Bagi saya itulah ibaratnya sebuah perpaduan
walaupun berbeza bangsa dan kaum tetapi warnanya tetap menarik jika ia mendapat
sentuhan yang betul.
MINGGUAN : Pada pandangan Prof.
bagaimana untuk melukis gambaran yang cantik yang Prof. gambarkan umpama warna
perpaduan pelbagai kaum?
WU ZONG YU : Semangat ini perlu
kekal walaupun setelah tamatnya tadika dan para belia khususnya perlu diberi
peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang boleh mewujudkan
perpaduan sesama kaum. Paling penting tidak perlu ada sebarang niat untuk
mempolitikkan isu bahasa dan kaum kerana ia sangat berbahaya dan boleh
mencetuskan perasaan tidak selesa antara kaum. Kita perlu melakukan sesuatu
dari sudut perpaduan negara. Saya melihat dari sudut diri saya sendiri. Saya
berasal dari negara China dan saya kagum melihat perpaduan kaum di negara ini
namun saya tidak akan mencampuri urusan politik di negara ini.
Namun saya melihat lebih kepada
hubungan akrab antara dua negara ini yang boleh dikembang dan menjadi rapat.
Walaupun saya orang Cina tetapi saya berbangga dapat belajar, mengguna dan
kemudian mengajar Bahasa Melayu kepada orang Cina di negara saya. Malah usaha
saya ini mendapat sokongan dan pujian dari saudara-saudara Melayu di sini dan
saya tidak akan berhenti untuk terus mengajar kerana ia sudah sebati dengan
diri saya. Tetapi pada masa yang sama saya juga perlu mendorong untuk
mewujudkan perpaduan antara kaum di negara ini bukan kerana saya orang Cina
tetapi ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan bukan sahaja di negara ini
tetapi di semua negara yang mempunyai pelbagai kaum di dalamnya. Saya menyimpan
hasrat supaya penduduk Malaysia bersatu padu di bawah slogan 1Malaysia.
MINGGUAN : Mungkin Prof. melihat
ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan antara kaum?
WU ZONG YU : Saya melihat Bahasa
Melayu adalah medium penting dalam mengeratkan hubungan antara kaum di negara
ini. Namun kita perlu mengkaji kenapa hubungan antara kaum yang bermula mesra
ketika kecil dan tadika tidak mampu diteruskan di peringkat sekolah dan dewasa.
Saya juga melihat kenapa penduduk di negara ini masih tinggal berasingan
berasaskan kaum. Contohnya orang Cina di kawasan tertentu manakala orang Melayu
dan India pula di kawasan lain. Alangkah bagusnya jika semangat kejiranan
pelbagai kaum ini menjadi amalan menyeluruh di negara ini. Memang ia sudah
berlaku tetapi usaha perlu dijalankan untuk mengukuh persaudaraan berasaskan
semangat kejiranan yang tinggi antara pelbagai kaum.
Ini adalah antara perkara yang
kita boleh bincangkan secara ilmiah dan bagaimana cara kita boleh
selesaikannya. Jika di waktu kecil mereka boleh tenggelam dalam satu persahabatan erat, kenapa ia tidak boleh
diteruskan sehingga mereka dewasa. Saya tertarik dengan keadaan yang saya lihat
di Kelantan ketika berkunjung ke negeri itu lebih kurang 20 tahun lepas. Ada
sebuah kampung berhampiran Sungai Kelantan yang saya tidak ingat namanya dan
mereka mempunyai semangat perpaduan antara kaum yang sangat tinggi dan saling
hormat menghormati antara satu sama lain.
Saya lihat ada beberapa buah
rumah yang dihuni orang Cina tetapi mereka hidup berjiran dengan semangat
perpaduan yang tinggi dengan jiran mereka yang majoritinya orang Melayu.
Penduduk Cina ini begitu menghormati terutama dari sudut pemakanan dan tahu
yang mana halal dan haram. Perkara sebeginilah yang perlu ditekankan supaya
semua orang boleh menghormati antara satu sama lain supaya keharmonian dan
perpaduan akan menjadi lebih kukuh dan ikhlas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan