Apabila Universiti Sains Malaysia
(USM) ditubuhkan pada 1969, kepemimpinan universiti pada masa itu memilih
konsep desasiswa untuk asrama yang menempatkan mahasiswanya. Desasiswa bermakna
menetapkan nilai hidup desa dalam kalangan mahasiswa berteraskan konsep saling
memahami, tinggal bersama dan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti.
Menariknya ketika itu ialah
mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kaum ditempatkan dalam satu bilik
asrama. Mahasiswa tahun pertama diwajibkan untuk tinggal bersama dengan rakan
daripada kaum lain, malah agama yang berbeza. Tidak ada masalah yang timbul,
malah banyak cerita menarik yang boleh dicungkil ketika itu. Misalnya ada kisah
pelajar Cina dan India yang mengejutkan rakan sebilik Islamnya untuk bangun
solat Subuh. Ada rakan yang membawa rakannya ke kampung halaman ketika cuti.
Penulis sendiri mempunyai rakan sebilik beragama Buddha dan kami sering
bertukar fikiran, bertekak dan berdebat mengenai agama dan budaya, tetapi kami
saling menghormati.
Malah, pada 1980-an, ada program
Rancangan Bersama Desa yang menempatkan tidak lebih 20 orang mahasiswa untuk
tinggal selama kira-kira 60 hari sepanjang cuti antara tahun pengajian bagi
melakukan aktiviti di kawasan luar dan pinggir bandar termasuk menyelesaikan
masalah bersama masyarakat.
Hubungan rapat tanpa masalah
Pelajar pelbagai kaum itu tinggal
bersama keluarga angkat. Malah, ada pelajar dari kaum lain secara sukarela
menukar nama untuk menyesuaikan dirinya dengan keluarga angkat. Mereka ikut
sama ke kebun dan sawah, kenduri kendara, malah sertai apa juga aktiviti
sepanjang tempoh masa itu. Hubungan rapat terjalin tanpa masalah walaupun
ketika itu politik mengkafir sedang membara.
Malangnya apabila universiti
berkembang, bilangan mahasiswa bertambah dan usaha itu makin diabaikan. Kita
tunduk kepada tekanan untuk memberikan kebebasan kepada mahasiswa memilih
termasuk rakan sebilik mereka selama berada di kampus. Mahasiswa memilih untuk
bergaul dalam kelompok sendiri termasuk dalam dewan kuliah. Atas alasan
menghormati agama dan budaya juga maka percampuran mahasiswa di asrama kemudian
tidak lagi ditekankan.
Tekanan sesetengah pihak yang
sensitif dan ekstrem juga mengehadkan usaha seperti ini. Kita melihat aspek
kebebasan untuk memilih rakan sebilik, pertentangan pendapat kononnya tidak
perlu bercampur pelbagai kaum dan sebagainya akhirnya menjadikan usaha
mewujudkan perpaduan melalui desasiswa atau asrama tidak lagi menjadi perhatian
utama. Malah untuk pelajar kita tinggal bersama-sama pelajar antarabangsa dalam
satu bilik pun agak payah dilakukan atas pandangan yang menganggap bertentangan
dengan adat, agama dan budaya dengan kebimbangan mengancam akidah.
Cari kaedah berkesan
Sampai masanya untuk kita mencari
kaedah yang berkesan dalam mendekatkan anak muda kita untuk seawal mungkin
hidup bersama-sama bagi lebih memahami dan sedia bertoleransi dalam
berinteraksi dengan lebih akrab. Asrama perlu menjadi tempat terbaik untuk
melatih anak kita hidup bersama-sama dan bergaul apatah lagi merancang dan
menjalankan aktiviti yang boleh mendekatkan lagi antara satu sama lain.
Malah aktiviti sosial melalui
kegiatan persatuan dan pertubuhan perlu diperkemaskan termasuk untuk
mendekatkan anak-anak muda dengan masyarakat. Aktiviti sukarela termasuk projek
yang membabitkan masyarakat juga perlu diperkukuhkan. Usaha yang lebih lestari
yang berteraskan nilai sejagat perlu difikir dan dilaksanakan.
Antaranya ialah kemungkinan untuk
industri dan peniaga mengambil mahasiswa pelbagai kaum sebagai ‘anak angkat’
seawal mereka mendaftar masuk ke universiti. Strategi serampang dua mata yang
membolehkan mahasiswa menghayati budaya keusahawanan dan perniagaan serta pada
masa yang sama lebih memahami denyut nadi masyarakat terutama di bandar dan
pinggir bandar wajar dipertimbangkan.
Proses perpaduan yang disepadukan
melalui pendidikan tidak formal tentunya berupaya untuk lebih mendekatkan
anak-anak muda kita dengan kehidupan sebenar. Membiarkan mereka membuat pilihan
semata-mata atas nama kebebasan tentunya tidak akan banyak membantu proses
sosialisasi yang diinginkan negara. Masa depan negara banyak bergantung kepada
perpaduan dan kesatuan rakyat. Justeru, usaha mendidik seawal mungkin sebagai
sebahagian daripada proses sosialisasi perlu dilakukan secara berterusan.
Penulis ialah Timbalan
Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan