SEKURANG-KURANGNYA ada dua
peristiwa penting berkaitan bidang pendidikan yang berlaku dalam Mei ini.
Pertama adalah penggabungan semula Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Pengajian Tinggi. Penggabungan ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak semasa penyenaraian anggota Kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum
ke-13 lalu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi
tanggungjawab untuk menerajui kementerian itu dan dibantu oleh Datuk Seri Idris
Jusoh sebagai Menteri Pendidikan II. Turut dilantik dua orang Timbalan Menteri
iaitu Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan.
Peristiwa kedua adalah penamaan
semula kementerian baharu dikenali kini Kementerian Pendidikan. Nama baharu ini
telah diumumkan Muhyiddin semasa menghadiri mesyuarat di Phuket, Thailand. Ini
bermakna nama asal kementerian itu digunakan semula sama seperti sebelum Pilihan
Raya Umum ke-11 tahun 2004.
Secara umumnya kedua-dua
peristiwa ini mendapat reaksi positif daripada khalayak ramai khususnya
golongan pendidik. Penggabungan kedua-dua kementerian itu dijangka meningkatkan
lagi kualiti pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.
Penggabungan ini turut memberi
impak besar kepada pembuat dasar bagi merangka satu sistem pendidikan yang
mantap dan menyeluruh bagi kedua-dua peringkat pendidikan itu. Sementara itu,
pertukaran nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan dilihat
sangat sesuai dengan masa dan ketikanya.
Perkataan Ministry
of Education itu lebih hampir terjemahannya
kepada Pendidikan
jika dibandingkan dengan Pelajaran.
Jika diteliti kata kerjanya to educate adalah bermaksud mendidikdan
bukannya hanya sekadar mengajar.
Ini bermakna peranan pendidikan
tidak dilihat semata-mata berkaitan penyampaian ilmu pengetahuan tetapi
sebenarnya lebih luas daripada itu. Pendidikan bermaksud usaha ke arah
pembinaan modal insan iaitu manusia yang berilmu pengetahuan serta mempunyai
kemahiran insaniah, berkeperibadian tinggi dan akhlak yang terpuji.
Dengan kata lain pendidikan
adalah berkaitan usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Melalui pembangunan insan ini diharapkan suatu hari nanti
mereka dapat memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat,
agama dan negara.
Penggabungan Kementerian
Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi turut melibatkan lebih setengah juta
tenaga pengajar profesional dan terlatih yang terdiri daripada guru sekolah
rendah dan menengah serta pensyarah Politeknik, Kolej Komuniti dan universiti
awam. Ini menjadikan Kementerian Pendidikan sebagai kementerian terbesar dan
paling berpengaruh dalam konteks pengurusan dan pembangunan negara.
Beberapa orang rakan bertanya
kepada penulis, apakah manfaat penggabungan dan penamaan semula Kementerian
Pendidikan ini? Jawapannya, banyak sekali yang boleh dilakukan. Bagi tujuan
perbincangan ringkas ini penulis akan mengemukakan tiga pendapat peribadi.
Pertama, kedudukan Bahasa Melayu
dapat dimartabatkan lagi. Jika mengambil contoh dasar Memartabatkan Bahasa
Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang sedang dilaksanakan
di peringkat sekolah maka seharusnya diperluaskan hingga ke peringkat pengajian
tinggi.
Sejak perpecahan kementerian itu
hampir 10 tahun lalu didapati Bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam
pengajaran di universiti terutama fakulti tertentu. Akibatnya penguasaan dan
penggunaan Bahasa Melayu aras tinggi mula terjejas sedangkan sebelum itu ia
digunakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran di fakulti penting
seperti Perubatan, Farmasi, Undang-Undang, Kejuruteraan, Ekonomi atau
Perakaunan.
Itu belum dikira lagi Institusi
Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di mana ada yang hampir tiada langsung
penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengajaran dan pembelajarannya.
Memartabatkan Bahasa Melayu
adalah sama seperti mempertahankan maruah bangsa dan negara. Sekiranya perkara
ini tidak diberi penekanan maka usaha keras pejuang bahasa sejak dahulu
memartabat dan mendaulatkan Bahasa Melayu akan menjadi sia-sia.
Pandangan ini bukanlah bermakna
kita mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris tetap dianggap
sebagai bahasa penting yang perlu dipelajari dan dikuasai sepenuhnya oleh semua
murid dan siswa.
Kedua, melonggarkan syarat
penempatan guru sama ada ingin berkhidmat di sekolah rendah atau menengah.
Ketika ini guru yang bergraduat daripada Institusi Pendidikan Guru (IPG) akan
ditempatkan mengajar di sekolah rendah sementara keluaran daripada universiti
akan berkhidmat di sekolah menengah.
Ini disebabkan latihan di IPG
adalah dalam bidang pengajian sekolah rendah. Sebaliknya bakal guru di
universiti mengikuti pengajian yang berkaitan pendidikan menengah. Pembahagian
ini juga dibuat atas persetujuan bersama kedua-dua kementerian semasa
perpisahan kementerian itu dahulu.
Implikasinya ada guru lulusan IPG
misalnya mempunyai bakat besar dalam bidang sukan atau olahraga yang sesuai
ditempatkan di sekolah menengah tidak dapat digerakkan. Demikian juga mungkin
terdapat guru sekolah menengah sangat berminat dan berkemahiran mengajar murid
pra sekolah atau sekolah rendah tidak boleh dipindahkan kerana syarat itu.
Ketiga adalah membenarkan
pergerakan guru atau pensyarah ke institusi yang memerlukan perkhidmatan dan
kepakaran mereka. Misalnya pensyarah Bahasa Inggeris yang berkhidmat di
universiti akan dapat mempraktikkan kaedah pengajarannya sekiranya digerakkan
ke sekolah. Melalui pertukaran tempat bertugas ini akan memberi impak baik
terhadap pembelajaran murid.
Demikian juga guru yang memiliki
ijazah sarjana atau Ph.D. seharusnya diberi peluang untuk berkhidmat di
universiti. Pengalaman mengajar dalam jangka masa yang panjang di sekolah akan
memberi kelebihan kepada mereka sekiranya diterima berkhidmat sebagai pensyarah
IPT.
Sesungguhnya penggabungan dan
penamaan semula Kementerian Pendidikan dijangka memberi manfaat yang besar
kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.
PENULIS ialah Pengerusi
Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNiSZA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan