Kewujudan 20 institusi pengajian
tinggi (IPT) awam tempatan dan ratusan lagi IPT swasta secara tidak langsung
memperlihatkan betapa pesatnya pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.
Kerancakan negara menjadi hab
pendidikan serantau, bahkan di peringkat dunia bagaimanapun memberi cabaran
tersendiri kepada institusi berkenaan dalam mendepani persaingan, sekali gus
muncul sebagai yang terbaik.
Namun, dalam hal ini mungkin
timbul juga isu kebolehpercayaan institusi tertentu dalam menyediakan pakej
pendidikan tinggi secara sempurna, iaitu lengkap dengan tenaga pengajar dan
kemudahan berkualiti.
Malah, kita tidak menafikan,
adakala kemampuan dan kewibawaan institusi tertentu terutama yang dikategori
sebagai ‘junior’ mengundang skeptikal sesetengah pihak. Adakah institusi baru
boleh bersaing serta duduk sama tara dengan yang lain.
Naib Canselor Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, setiap IPT
mempunyai cabaran tersendiri dan bagi sebuah institusi baru ia lebih kompleks.
Menurutnya, bagi institusi yang
sudah ‘senior’ tentunya imej dan keupayaannya sudah menonjol, malah mempunyai
pengalaman dalam pengendalian kepakaran dan mampu membina jenama sendiri.
“Bagi universiti baru perlu
memulakan langkah dari bawah, belajar menyesuaikan keadaan dengan pelaksanaan
dilakukan secara berperingkat.
“Zaman universiti senior melalui
semua cabaran awal sudah berlalu. Mereka sudah ada kepakaran melangkaui
standard, berpengalaman serta memperoleh pengiktirafan dari segi kepakaran.
“Kelebihan inilah yang menjadi
antara cabaran utama universiti baru terutama membangunkan jenamanya sendiri
bagi menyaingi kehebatan universiti yang sudah lama bertapak,” katanya.
Perkembangan semasa dan
pencapaian IPT baru sentiasa menjadi perhatian masyarakat, kerana mereka juga
ingin melihat sejauh mana kemampuan seperti diuar-uarkan melalui slogan
tertentu.
Sikap ingin tahu dan keprihatinan
itu pasti tidak boleh dihalang kerana mereka khususnya dalam kalangan ibu bapa
mengharapkan yang terbaik, sekali gus memberikan pulangan sepadan atas
pelaburan sepanjang tempoh pengajian anak masing-masing.
“Biarpun ia suatu tekanan bagi
universiti itu, dilihat dari sudut positif ia tindakan yang baik. Adanya
pemantauan dari pihak luar membolehkan universiti baru memperbaiki kelemahan,”
kata Dr Asma.
Malah katanya, sikap peduli
masyarakat itu dapat membantu institusi baru dari aspek promosi dan
penjenamaan.
“Biasanya nama sesebuah
universiti baru kurang dikenali terutama bagi yang dinaik taraf atau diberi
penjenamaan semula, sedangkan nama institusi lama cukup dikenali ramai seperti
Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia
(UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia.
“Dalam hal ini universiti baru
juga tidak boleh berpeluk tubuh, sebaliknya berusaha agar lebih dikenali
bersama yang lain,” katanya.
Mengambil contoh USIM, beliau
optimis penawaran program adalah setanding dan berkemampuan melahirkan graduan
berdaya saing bagi memenuhi kapasiti industri, walaupun masih boleh dianggap
sebagai universiti baru.
Menurutnya, penubuhan USIM
selaras matlamat melahirkan graduan yang bukan saja mempunyai pencapaian
akademik cemerlang, tetapi disertai kemantapan modal insan Islam yang kukuh.
Katanya, USIM sebuah universiti
baru yang mempunyai objektif melahirkan masyarakat madani berilmu dan mempunyai
jati diri yang mantap.
“Saya tidak menolak persepsi
sesetengah masyarakat di luar sana yang menganggap USIM hanya melahirkan bakal
ustaz atau guru agama. Namun, pada saya tanggapan itu adalah tidak benar.
“USIM menyediakan platform
pengkhususan sama seperti universiti lain. Ini juga adalah antara cabaran
sebagai universiti baru,” katanya.
Menurutnya, institusi baru juga
mempunyai kekuatan tersendiri dalam pengkhususan ditawarkan, sama seperti yang
lain.
“Contohnya USIM mempunyai
kekuatan dalam bidang pembangunan ilmu berteraskan kewangan Islam seperti
muamalat.
“Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia dengan perundangan, UKM menonjol dengan perubatan manakala UTM,
Universiti Tun Hussein Malaysia dan Universiti Teknikal Melaka dalam bidang
kejuruteraan.
“Kekuatan ini secara tidak
langsung menaikkan nama universiti berkenaan di mata masyarakat, sekali gus
memudahkan lagi pemilihan dibuat bakal mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata, penting juga
diketahui sumbangan IPT sebenarnya tetap sama dan tidak boleh dipertikaikan,
walaupun ianya masih baru.
Malah katanya, bersandarkan
keperluan optimum membabitkan keperluan jangka panjang dalam setiap penawaran
program, penubuhan institusi baru juga bagi memenuhi kehendak yang sudah dikaji
dengan teliti.
“Ia berdasarkan keperluan semasa,
selain mengimbangi keperluan jangka panjang sumber tenaga kerja dalam industri.
“Jadi, kekuatan dan kelebihan
institusi baharu diselaraskan dengan peranan masing-masing dan pada masa sama
menyokong kehendak aspirasi pendidikan tinggi negara,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan