Tan Sri Dr Ali Hamsa |
KUALA LUMPUR : Penjawat
awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan,
pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata semua ketua
jabatan diminta memantau dan mengambil tindakan atau melaporkan kepada JPA
sekiranya masih terdapat penjawat awam yang masih berpolitik terutamanya di
media sosial.
Katanya tempoh berpolitik sudah
tamat sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 diketahui, dan kini
tibalah masa untuk penjawat awam menjadi tonggak pentadbiran negara ke arah
menjayakan agenda transformasi negara.
"Sekarang, masa kakitangan
awam untuk bergerak ke hadapan dan meneruskan usaha-usaha agenda transformasi
nasional dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas menutup
Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia
(Puspanita) 2013 di sini.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam yang meminta
rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik berlebihan
kerana menyebabkan masa terbuang untuk negara maju ke hadapan.
Ketua Setiausaha Negara berkata
penjawat awam kini perlu berfikir ke hadapan, iaitu lebih produktif dalam
mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber terhad, lebih cepat dalam membuat
keputusan dan tepat dalam merangka dasar atau program demi kepentingan rakyat.
Katanya, penjawat awam juga perlu
mempunyai integriti, kreatif and inovatif dalam menggunakan pelbagai pendekatan
untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk
menggunakan saluran media sosial dalam menyampaikan maklumat mengenai
dasar-dasar awam kerajaan.
Ditanya mengenai perkembangan
rancangan mewujudkan Sistem Saraan Transformatif (SST) bagi menggantikan Sistem
Saraan Malaysia, Ali berkata proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim
perkhidmatan pada tahap pertama dijangka selesai menjelang akhir November ini.
"Pada bulan Julai pula, kita
akan menyelesaikan enam skim perkhidmatan dan bakinya akan diselesaikan
kemudian. Ini merupakan satu proses yang berterusan yang akan turut meliputi
kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak," jelas beliau.
-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan