Di negara kita, sistem
pemerintahan Raja Berperlembagaan mula dilaksanakan sebaik saja negara mencapai
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini adalah hasil cadangan Jawatankuasa
Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu yang merdeka.
Ini bermakna, kedudukan Raja yang
sebelum itu bersifat mutlak telah melalui proses ‘legal-rasional’ seperti yang
termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara berkaitan
kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Pada dasarnya, Yang di-Pertuan
Agong sebagai Ketua Negara berperanan sebagai ‘payung’ atau pelindung kepada
seluruh rakyat Malaysia. Peranan sebagai Ketua Negara ini tidak boleh
dipisahkan daripada persoalan mengenai keselamatan keseluruhan Persekutuan
Malaysia. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Yang di-Pertuan
Agong sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata bagi Malaysia.
Institusi Raja masih relevan
Kedudukan dan peranan ini
membangkitkan ‘memori sentimental’ seperti ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’
yang menggambarkan pertautan erat antara Raja dan rakyat seperti berlaku ketika
keagungan pemerintahan Raja-Raja Melayu dulu. Walaupun Raja yang ada pada hari
ini tertakluk kepada Perlembagaan, institusi Raja masih dilihat penting dalam
sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di negara ini.
Perlembagaan negara memaktubkan
dalam Perkara 32 bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Negara. Namun, kuasa
pentadbiran ini dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan yang diketuai
Perdana Menteri. Kepentingan kedudukan baginda juga dapat dilihat daripada
struktur Parlimen itu sendiri yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang
di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini dinyatakan dengan jelas d
bawah Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 55 Perlembagaan
Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong yang
mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhenti dan menangguh persidangan
Parlimen. Justeru, cadangan pihak tertentu supaya Dewan Negara dibubar atau
ditiadakan seolah-olah menghina, mencabar dan cuba memperkecilkan peranan
baginda.
Oleh itu, sebarang cubaan untuk
menghina atau membangkitkan perasaan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong
adalah dianggap sebagai perbuatan subversif berdasarkan Perkara 149
Perlembagaan Persekutuan. Demikian juga memperlekehkan titah atau ucapan
baginda dalam apa-apa bentuk sekalipun termasuk dalam media sosial adalah satu
kebiadaban dan penghinaan terhadap institusi raja di negara ini.
Selain peranan utama yang
disebutkan, Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah
Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah di tangan baginda atas nasihat Perdana
Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Baginda juga bertanggungjawab
mempertahankan kedudukan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan kaum lain
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Peranan institusi Raja dalam
memayungi agama Islam di negara ini juga membuktikan bahawa institusi Raja di
negara ini adalah bersifat fungsional, bukannya bersifat lambang atau boneka
semata-mata. Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri baginda,
manakala bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak,
Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama bagi negeri berkenaan.
Baginda akan dirujuk dalam apa-apa
perkara berkaitan agama Islam serta baginda berhak untuk menegur dan
membetulkan yang mana perlu serta memberikan cadangan mengenai apa-apa
perkara berkaitan pelaksanaan Islam di negara ini.
Fungsi baginda itu adalah selari
dengan Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Raja-raja adalah
Ketua Agama Islam dalam negeri naungan baginda yang mempunyai kuasa atas hal
ehwal Islam. Segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati
oleh baginda sebagai ketua agama Islam tidak boleh dipersoal atau dipertikai.
Tidak bersifat politik
Oleh sebab pentingnya institusi
Raja ini, maka satu badan yang bertanggungjawab memastikan institusi beraja di
negara ini selari kedudukannya dengan Perlembagaan ditubuhkan. Badan tersebut dikenali
sebagai Majlis Raja-Raja. Antara fungsinya ialah memilih, melantik dan memecat
Yang di-Pertuan Agong. Ahli-ahli Majlis Raja-Raja dikehendaki menerima nasihat
kerajaan.
Perlembagaan mengehendaki ahli
Majlis Raja-Raja diiringi penasihat yang terdiri daripada Menteri Besar dan
Ketua Menteri. Cuma dalam majlis membincangkan hal berhubung dengan institusi
Raja termasuk pemilihan Yang di-Pertuan Agong, maka penasihat terbabit tidak
perlu hadir.
Kesimpulan, institusi raja di
negara ini mempunyai kedaulatan tersendiri mengikut kuasa yang ditetapkan
Perlembagaan. Institusi Raja tidak bersifat politik kerana baginda adalah
lambang perpaduan kepada semua rakyat. Rakyat seharusnya sedar bahawa taat setia
kepada baginda adalah elemen kenegaraan yang sangat penting.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan