Isnin, 10 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Pelajar Lepas Tekanan Di Sekolah


Oleh : Ihsan Noorzali

Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, isu disiplin pelajar sekolah kembali mencengkam institusi persekolahan negara.

Masalah itu bukan sekadar mengundang kerisauan malah menimbulkan persoalan apakah tindak tanduk berkenaan ibarat bom jangka.

Usaha proaktif sudah dilakukan termasuk merombak pelaksanaan sistem dan modul namun isu disiplin pelajar masih belum menampakkan penurunan.

Biarpun belum mencapai tahap paling kritikal dan dianggap kes terpencil, pelaksanaan tindakan perlu dibuat segera bagi menjamin masalah berkenaan tidak berpanjangan.

Persoalan paling nyata, mengapa pelajar ini bermasalah? Adakah kerana longgarnya peraturan atau faktor persekitaran ibu bapa, guru dan masyarakat menjadi penyumbang.

Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Dr Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berpendapat masalah disiplin yang melanda pelajar disebabkan isu kekeluargaan dan masyarakat yang semakin renggang.

Ditambah pula dedahan media massa, menjadikan isu ini perlu ditangani segera bagi mengelak pelajar terus bertindak sesuka hati.

“Umum mengetahui, pelajar sekolah khususnya mereka di peringkat menengah adalah golongan yang mempunyai sikap berani tanpa batas.

“Disebabkan gelora perasaan dan keinginan yang meluap-luap untuk menzahirkan kelakuan, menyebabkan masalah disiplin boleh berlaku.

“Apatah lagi pemantauan daripada guru, sekolah, ibu bapa dan masyarakat agak longgar menjadikan golo–ngan ini semakin besar kepala serta mahu menunjukkan ‘kebolehan’ mereka,” katanya.

Menerusi beberapa kajian pernah dilakukan, beliau tidak menolak antara punca disiplin pelajar kerana longgarnya institusi kekeluargaan.

“Keadaan semasa terutama faktor ekonomi menyebabkan ada ibu bapa tidak dapat memantau pergerakan fizikal serta kehendak emosi anak. Kekurangan sokongan itu menyebabkan anak rasa terpinggir.

“Pelajar yang mempunyai kekurangan di rumah, selalunya akan menzahirkan gelodak emosi mereka di sekolah hingga menimbulkan masalah disiplin,” katanya mengakui kebanyakan pelajar ini terasa terkongkong di rumah tapi menjadikan sekolah, guru dan rakan sebagai tempat melepaskan tekanan.

“Sekolah antara lokasi paling menarik perhatian pelajar bagi melepaskan kemarahan disebabkan faktor tarikan seperti rakan sebaya, kurangnya pemantauan pihak sekolah kerana jumlah pelajar ramai serta terhadnya kuasa guru.

“Masalah disiplin ditimbulkan sebagai ‘pemberontakan’. Sebab itu, isu ini tidak akan selesai selagi longgarnya institusi keluarga di rumah.

“Didorong faktor persekitaran seperti media massa, Internet dan rakan sebaya, ia menjadi rumit jika tiada tindakan segera dilakukan,” katanya.

Malah, terjebak dalam isu disiplin ini juga menyebabkan pelajar menjadi semakin lemah dalam aspek pembangunan jati diri serta pencapaian akademik.

Menurutnya, pelajar yang mempunyai jati diri kuat mampu menangani segala godaan daripada melakukan kesalahan.

“Tapi, pelajar yang mempunyai jati diri rendah atau langsung tiada jati diri dengan mudah akan terjebak. Malah pencapaian akademik juga tidak cemerlang.

“Sebab itu, mereka kalah godaan dan mudah pula dieksploitasi serta menjadi mangsa keadaan.

“Keadaan itu seterusnya akan menyebabkan kelangsungan hidup mereka bertambah bermasalah andai kata tidak mendapat pertolongan sewajarnya,” katanya.

Sikap segelintir guru yang menjengkelkan juga boleh menjadi penyebab masalah disiplin di kala–ngan pelajar sukar dirawat.

Menurutnya sebagai guru, mereka seharusnya prihatin mengenai masalah pelajar dan segera mengambil tindakan supaya masalah boleh ditangani di peringkat awal.

“Selalunya pelajar yang bermasalah ini adalah golongan terpencil tapi menonjol di sekolah disebabkan pelanggaran peraturan yang dilakukan.

“Jika sudah jelas gerak geri pelajar berkenaan, guru perlu segera mengambil tindakan dan tidak boleh bersikap lepas tangan.

“Sudahlah pelajar ini bermasalah, guru juga terus menambah masalah dengan menganggap pelajar ini tidak boleh ‘dipulihkan’. Ini memburukkan keadaan,” katanya yang mengakui kaunseling antara mekanisme terbaik boleh digunakan.

“Pelajar bermasalah selalunya membabitkan emosi. Mungkin mereka tiada tempat untuk mengadu.

“Kaunseling boleh digunakan biarpun mungkin pada peringkat awal, pelajar tidak mahu memberikan kerjasama disebabkan ego.

“Tapi percayalah, lama-kelamaan hati mereka akan tersentuh. Selepas itu mereka akan meluahkan segala-galanya dan jika guru bijak menggunakan peluang itu, pelajar boleh berubah,” katanya.

Beliau berpendapat, kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa 18,550 daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara terbabit dengan salah laku disiplin pada 2012 perlu diberi perhatian.

“Walaupun jumlah ini mewakili peratusan kecil, ia boleh menjadi virus yang merebak dan mungkin sukar dikawal suatu hari nanti.

“Sebab itu amat penting semua pihak membantu pelajar bermasalah ini untuk keluar daripada kepompong masalah mereka,” katanya.

Beliau tidak menafikan kudrat guru sangat terbatas untuk membantu ‘memulihkan’ golongan ini.

“Saya faham, guru sekarang memang terbeban dengan segala tugasan namun anggaplah tanggungjawab membantu pelajar ini juga satu pertolongan murni.

“Pada masa sama, ibu bapa juga jangan bersikap lepas tangan kerana itu adalah anak anda.

“Jika semua pihak sanggup memainkan peranannya, saya percaya pelajar ini boleh dibantu kerana mereka juga adalah manusia yang boleh diubah,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan