Oleh : Ihsan Noorzali
Entah mengapa sejak akhir-akhir
ini, isu disiplin pelajar sekolah kembali mencengkam institusi persekolahan
negara.
Masalah itu bukan sekadar
mengundang kerisauan malah menimbulkan persoalan apakah tindak tanduk berkenaan
ibarat bom jangka.
Usaha proaktif sudah dilakukan
termasuk merombak pelaksanaan sistem dan modul namun isu disiplin pelajar masih
belum menampakkan penurunan.
Biarpun belum mencapai tahap
paling kritikal dan dianggap kes terpencil, pelaksanaan tindakan perlu dibuat
segera bagi menjamin masalah berkenaan tidak berpanjangan.
Persoalan paling nyata, mengapa
pelajar ini bermasalah? Adakah kerana longgarnya peraturan atau faktor
persekitaran ibu bapa, guru dan masyarakat menjadi penyumbang.
Pensyarah Kanan di Jabatan
Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Dr Mohammad Aziz Shah
Mohamed Arip berpendapat masalah disiplin yang melanda pelajar disebabkan isu
kekeluargaan dan masyarakat yang semakin renggang.
Ditambah pula dedahan media
massa, menjadikan isu ini perlu ditangani segera bagi mengelak pelajar terus
bertindak sesuka hati.
“Umum mengetahui, pelajar sekolah
khususnya mereka di peringkat menengah adalah golongan yang mempunyai sikap
berani tanpa batas.
“Disebabkan gelora perasaan dan keinginan
yang meluap-luap untuk menzahirkan kelakuan, menyebabkan masalah disiplin boleh
berlaku.
“Apatah lagi pemantauan daripada
guru, sekolah, ibu bapa dan masyarakat agak longgar menjadikan golo–ngan ini
semakin besar kepala serta mahu menunjukkan ‘kebolehan’ mereka,” katanya.
Menerusi beberapa kajian pernah
dilakukan, beliau tidak menolak antara punca disiplin pelajar kerana longgarnya
institusi kekeluargaan.
“Keadaan semasa terutama faktor
ekonomi menyebabkan ada ibu bapa tidak dapat memantau pergerakan fizikal serta
kehendak emosi anak. Kekurangan sokongan itu menyebabkan anak rasa terpinggir.
“Pelajar yang mempunyai
kekurangan di rumah, selalunya akan menzahirkan gelodak emosi mereka di sekolah
hingga menimbulkan masalah disiplin,” katanya mengakui kebanyakan pelajar ini
terasa terkongkong di rumah tapi menjadikan sekolah, guru dan rakan sebagai
tempat melepaskan tekanan.
“Sekolah antara lokasi paling
menarik perhatian pelajar bagi melepaskan kemarahan disebabkan faktor tarikan
seperti rakan sebaya, kurangnya pemantauan pihak sekolah kerana jumlah pelajar
ramai serta terhadnya kuasa guru.
“Masalah disiplin ditimbulkan
sebagai ‘pemberontakan’. Sebab itu, isu ini tidak akan selesai selagi
longgarnya institusi keluarga di rumah.
“Didorong faktor persekitaran
seperti media massa, Internet dan rakan sebaya, ia menjadi rumit jika tiada
tindakan segera dilakukan,” katanya.
Malah, terjebak dalam isu
disiplin ini juga menyebabkan pelajar menjadi semakin lemah dalam aspek
pembangunan jati diri serta pencapaian akademik.
Menurutnya, pelajar yang
mempunyai jati diri kuat mampu menangani segala godaan daripada melakukan
kesalahan.
“Tapi, pelajar yang mempunyai
jati diri rendah atau langsung tiada jati diri dengan mudah akan terjebak.
Malah pencapaian akademik juga tidak cemerlang.
“Sebab itu, mereka kalah godaan
dan mudah pula dieksploitasi serta menjadi mangsa keadaan.
“Keadaan itu seterusnya akan
menyebabkan kelangsungan hidup mereka bertambah bermasalah andai kata tidak
mendapat pertolongan sewajarnya,” katanya.
Sikap segelintir guru yang
menjengkelkan juga boleh menjadi penyebab masalah disiplin di kala–ngan pelajar
sukar dirawat.
Menurutnya sebagai guru, mereka
seharusnya prihatin mengenai masalah pelajar dan segera mengambil tindakan
supaya masalah boleh ditangani di peringkat awal.
“Selalunya pelajar yang
bermasalah ini adalah golongan terpencil tapi menonjol di sekolah disebabkan
pelanggaran peraturan yang dilakukan.
“Jika sudah jelas gerak geri
pelajar berkenaan, guru perlu segera mengambil tindakan dan tidak boleh
bersikap lepas tangan.
“Sudahlah pelajar ini bermasalah,
guru juga terus menambah masalah dengan menganggap pelajar ini tidak boleh
‘dipulihkan’. Ini memburukkan keadaan,” katanya yang mengakui kaunseling
antara mekanisme terbaik boleh digunakan.
“Pelajar bermasalah selalunya
membabitkan emosi. Mungkin mereka tiada tempat untuk mengadu.
“Kaunseling boleh digunakan
biarpun mungkin pada peringkat awal, pelajar tidak mahu memberikan kerjasama
disebabkan ego.
“Tapi percayalah, lama-kelamaan
hati mereka akan tersentuh. Selepas itu mereka akan meluahkan segala-galanya
dan jika guru bijak menggunakan peluang itu, pelajar boleh berubah,” katanya.
Beliau berpendapat, kenyataan
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri
Muhyiddin Yassin bahawa 18,550 daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan
menengah seluruh negara terbabit dengan salah laku disiplin pada 2012 perlu
diberi perhatian.
“Walaupun jumlah ini mewakili
peratusan kecil, ia boleh menjadi virus yang merebak dan mungkin sukar dikawal
suatu hari nanti.
“Sebab itu amat penting semua pihak
membantu pelajar bermasalah ini untuk keluar daripada kepompong masalah mereka,”
katanya.
Beliau tidak menafikan kudrat
guru sangat terbatas untuk membantu ‘memulihkan’ golongan ini.
“Saya faham, guru sekarang memang
terbeban dengan segala tugasan namun anggaplah tanggungjawab membantu pelajar
ini juga satu pertolongan murni.
“Pada masa sama, ibu bapa juga
jangan bersikap lepas tangan kerana itu adalah anak anda.
“Jika semua pihak sanggup
memainkan peranannya, saya percaya pelajar ini boleh dibantu kerana mereka juga
adalah manusia yang boleh diubah,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan