CERDAS fikir memberi makna
disiplin akliah yang tinggi membolehkan penjanaan ilmu terjadi dan mampu
membentuk pola fikir yang sihat dan sifatnya menyumbang. Ia sangat penting
membangunkan fikrah. Cerdas fikir adalah suatu proses.
Binaan fikrah adalah suatu
matlamat. Tanpa binaan fikrah berfikir menjadi kosong dan lompang.
Cerdas hati memberi makna
ketangkasan hati menerima pedoman ilmu dan maklumat supaya sifat diri memiliki
kekuatan rohaniah yang tinggi- berasaskan fikrah dan ilmu yang sifatnya
menerangi menjadikan hati tangkas dan hidup, bukan sifatnya mati rasa atau menghadapi
kematu rohaniah - menyebabkan sikap tertutup terjadi dan jalan taksub mengambil
tempat.
Apabila kekuatan fikir bertaut
dengan kekuatan hati, ia disebut oleh Pendeta Zaaba sebagai cernaan akal-budi.
Ia penting supaya tautan ilmu yang memberi suluh serasi dengan hati dan
membentuk amal yang baik. Hati yang dititipkan dengan kekuatan amanah, adil,
bijaksana, telus dan tulus ialah hati yang sentiasa terhubung dengan ALLAH.
Jiwa tadabbur yang tinggi
menyebabkan lahirnya petunjuk dan menjadikan manusia memiliki kekuatan amal
yang tinggi.
Cerdas emosi menggambarkan emosi
matang dan tidak mudah terpengaruh dengan natijah yang membawa keburukan. Emosi
melulu umpamanya, merangsang rasa dan nafsu dan sekiranya ia tidak memiliki
kualiti disiplin tinggi mudah memesongkan.
Cerdas emosi sangat penting bagi
membantu kedewasaan berfikir dan kematangan beramal - menjadi pra-syarat
penting menghasilkan sahsiah berkualiti tinggi.
Kehidupan kita sebagai orang
Islam tidak berdepan dengan faktor homogenous iaitu sama dan serupa. Faktor
kepelbagaian yang fitrah kewujudan manusia menuntut kebijaksanaan yang tinggi
untuk memahami dan menyantuninya.
Para dai’ dan murabbi, pendakwah
dan pendidik memerlukan kesabaran, ketabahan dan kebijaksanaan tinggi untuk
menyantuni mad’u atau sasaran. Situasi zaman Nabi telah meletakkan status iman
dan taqwa di kalangan penganut Islam sebagai tidak semua sama. Hal yang sama
berlaku di kalangan para sahabat dan tabie at tabieen.
Tetapi peningkatannya berlaku.
Lebih-lebih lagi zaman mutaakhhirin (akhir zaman) begini tentu cabaran
penghayatan jauh lebih mencabar dan menuntut kecerdasan akliah, rohaniah dan
amaliah terpadu supaya usaha dakwah dan tarbiah sentiasa diserapi kesabaran dan
kebijaksanaan yang tinggi.
Terlihat pada hari ini ialah
keterampilan golongan mustaqjiluun atau gopoh yang tidak mendalami teks apalagi
memahami konteks atau waqi’.
Lalu lahir kalimah-kalimah
seperti taghut (perosak), kafir, firaun, hisbussyaitan dan kalimah-kalimah
negatif yang lain mempertajam hubungan sesama Islam, menghilangkan ukhuwah,
merasakan diri sentiasa benar dan orang lain salah dan akhirnya menjadi
anai-anai yang merosakkan binaan diri, keluarga, masyarakat dan ummah.
Cerdas fikir menuntut umpamanya
warga umat menerima sesuatu perkhabaran dengan rasa teliti dan rapi. Upaya
menapis dan menyaring perlu ada supaya terjadi ketelitian hatta menerima berita
daripada golongan yang fasiq sekalipun. Ia adalah anjuran al-Quran.
Kecerdasan berfikir menghubungkan
maklumat, data, fakta dan ilmu terhubung dengan ALLAH dan sumber-Nya al-Quran.
Bila musuh Islam menyediakan
Facebook, blog, Website lantas kita gunakan itu sebagai saluran fitnah,
maki-hamun, mehnah, tukang sampuk yang tidak memikir dosa pahala dan akhirnya
memakan diri saudara seagama.
Tautan kecerdasan fikir dan hati
terlalu amat penting supaya kualiti rabbaniah kita dengan ALLAH menjadikan
pembangunan akal-budi sesuatu yang amat rapat dan erat.
Bila akliah disalut ilmu daripada
ALLAH dan terhubung dengan binaan hati berasaskan iman dan takwa, ia memberi
pencerahan kepada amal.
Akal yang terkandung ilmu yang
benar dan hati yang sentiasa hidup dengan binaan takwa bakal membangun niat dan
diterjemah dengan amal soleh serta akhlak karimah.
Ia menghasilkan perbuatan yang diredai
ALLAH.
Perkara ini yang sedang hilang
daripada warga umat menyebabkan orang yang dikatakan berfikir menjadi sombong
dan tidak memiliki jiwa ketundukan tinggi.
Orang yang dikatakan mempunyai
kecerdasan hati tapi disalut dengan nasfsul amarah bissuk hingga
akhirnya menghasilkan amal yang tampak zahirnya menyerupai ibadah tetapi pada
hakikatnya adalah amal toleh yang tidak membangun kualiti peribadi contoh yang
boleh djadikan sumber ikutan.
Ia menyebabkan kekacauan dan
kecelaruan yang parah dalam kalangan warga umat dan menghambat kemajuan dan
perubahan yang Islami.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan