Aplikasi ilmu penting hadapi
cabaran masyarakat, negara pada masa depan
Ketika bertitah secara spontan
dalam satu majlis meraikan Hari Keputeraan Ke-70, Raja Perlis, Tuanku Syed
Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menzahirkan kebimbangan baginda terhadap
tekanan yang dilalui oleh anak-anak sekarang ini dalam memenuhi harapan semua
pihak untuk melihat mereka berjaya dalam akademik.
“Walau pun kita tahu pencapaian
akademik penting, namun perlu juga difikirkan bagaimana untuk menjadikannya
sebagai satu proses yang menyeronokkan,” titah baginda dalam majlis yang turut
dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri
Pelajaran.
Seruan itu tentunya berkait rapat
dengan pelbagai cabaran yang dihadapi rakyat, masyarakat dan negara pada masa
ini dan masa hadapan sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan kepelbagaian
dan kerencaman bahasa, budaya, adat dan keturunan seperti di Malaysia, yang
pada masa sama ingin meningkatkan daya saing negara dalam bidang ekonomi dan
industri serta mengekalkan jiwa dan jati diri mengikut acuan sendiri.
Ia harus bermula dengan proses
pembelajaran dari sekolah hinggalah ke universiti dan bagaimana aplikasi ilmu
dalam kehidupan mahu pun kerjaya dapat dilakukan. Ia juga harus bermula dengan
proses pendidikan dengan melihat semula infrastruktur bilik darjah,
persekitaran bilik darjah, persekitaran sekolah, malah guru-guru yang mengajar
dan segala-galanya secara terperinci untuk memulakan misi ini tanpa perlu
menyentuh dasar dan apa-apa juga perancangan yang dibuat, dikaji dan digubal
selama ini.
Kembali kepada asas
Kita perlu kembali kepada asas
dan isu fundamental untuk melihatnya secara jujur mengenai proses penyampaian
dan persekitaran yang ada. Sejauh manakah bezanya dengan bilik darjah yang
pernah kita lalui 10 tahun lalu, 20 tahun lalu malah mungkin lebih jauh ke
belakang?
Adakah perubahan berlaku atau
dilakukan selari dengan pelbagai perubahan persekitaran yang terjadi selama
ini, kemajuan infra dan infostruktur yang canggih dengan konsep langit terbuka,
kemudahan internet dan tablet yang pantas sebagai pengganti alat tulis, buku
teks dan bahan rujukan? Atau kita masih pada tahap dan persekitaran yang sama
dengan hanya manusia (guru, pensyarah dan pengurus) yang berbeza dan pelajar
yang silih berganti?
Bagaimanakah sikap cintakan
kepada ilmu pengetahuan, minat untuk meneroka dan berfikir serta melihat ilmu
dalam konteks kecintaan yang mendalam dan menjadi asas kepada reka cipta,
inovasi dan pengetahuan baru dibangunkan secara segar selaras dengan sifat
ingin tahu anak-anak kita atau hanya masih sama seperti dahulu, membaca buku
teks, menghafal segala fakta dan guru sentiasa betul lalu meluahkannya di
kertas peperiksaan saban tahun?
Atau kita masih berlegar di
sekitar masalah, daripada pelajar, ibu bapa, sekolah, guru, pendidik dan
pensyarah yang bermasalah, termasuk tekanan mental, perasaan atau apa juga yang
dianggap sebagai masalah yang berterusan sebagai kekangan kepada apa juga yang
ingin dilakukan?
Habiskan silibus
Adakah kita masih lagi melihat
ilmu sebagai usaha menghabiskan silibus, mencapai keputusan sebanyak mungkin A
dalam setiap subjek, menghafal dan meluahkan semula dalam ujian dan peperiksaan
termasuklah sehingga berada di universiti?
Ini samalah dengan usaha mendidik
mengenai kepentingan mempunyai keprihatinan terhadap persekitaran, sama ada
amalan budi bahasa, kesopanan dan kesusilaan, hormat menghormati malah juga
integriti melalui buku teks dan pelajaran sekolah seperti sivik yang kerap kali
menjadi bahan jenaka yang jarang dianggap serius.
Kita perlu kembali kepada hal
fundamental ini dan melakukan penambahbaikan secara berterusan dan realistik.
Semua pihak berkepentingan perlu melihat dengan jujur ke mana kita ingin bawa
proses dan sistem pendidikan yang ada. Sistem kita boleh sahaja menjadi antara
yang terbaik tetapi yang lebih penting ialah bagaimana ia dihayati, dilaksana,
dirasai malah berupaya untuk kembali kepada roh ilmu yang bertunjangkan kalbu,
fitrah manusia dan alamnya serta menjadi mekanisme dalam kesejahteraan sosial,
kelangsungan alam dan manusia seluruhnya.
Tentunya proses pendidikan,
pembelajaran pengajaran dan penguasaan ilmu seharusnya berasaskan kecintaan
mendalam terhadap ilmu, memahami konsep penerokaan ilmu dan bersemangat
menggali segala khazanah ilmu untuk dihayati dengan penuh keseronokan dan
kebebasan.
Sekolah, kolej dan universiti
pula mesti menjadi khazanah yang ingin diterokai, didatangi dan dicintai. Kasih
sayang kepada ilmu itulah menjadi puncak keseronokan belajar apatah lagi
mengajar.
Penulis ialah Timbalan
Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan