SHAH ALAM : Matlamat
pendidikan bukan sekadar melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan
berperanan 'memanusiakan manusia'.
Bagi mencapai matlamat ini,
pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas kerana cinta diyakini mampu
memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling memberi.
Seperti mutiara kata daripada cendekiawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan
kekuatan'.
Itu antara intipati Forum
Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) yang
diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam tadi.
Pedagogi merujuk kepada kaedah
pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran baharu yang berasaskan
cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan masyarakat yang
seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.
Forum malam tadi menampilkan tiga
panelis iaitu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik,
yang juga aktivis masyarakat, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr
Harlina Siraj yang juga pendakwah bebas dan penulis buku best seller 'Aku
Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang juga penceramah bebas manakala
moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.
Gabungan mantap panelis
berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan perbincangan seputar
pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab daripada hadirin.
Panelis turut menekankan,
pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah penindasan sesama manusia,
meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap cintakan ilmu pengetahuan.
Ustaz Hasrizal menekankan, sikap
ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran
akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.
"Apabila kita hilang sifat
kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan cinta adalah untuk memanusia
kembali manusia.
"Pedagogi pendidikan cinta
bergantung kepada bagaimana kita memandang manusia lain di sekeliling,"
katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful Islam.
Dr Harlina pula menegaskan,
pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A' yang diperoleh dalam
peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah,
jasmaniah dan insaniah.
Pendidik pula katanya, harus
mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar, bukan sekadar untuk memberitahu.
"Guru yang bagus ialah guru
yang mampu mencetuskan inspirasi kepada pelajar-pelajarnya.
"Guru yang bersemangat
mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan sebenarnya dia lebih banyak
belajar sewaktu dia mengajar," katanya.
Dr Maszlee pula berpandangan,
pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan sehingga melahirkan pelajar yang
meminta-minta pekerjaan.
"Sistem pendidikan sekarang
yang dirosakkan oleh politik dan komersil melemahkan pelajar sehingga
melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan, bukan mencipta peluang
pekerjaan," katanya.
Sumber : http : //bmharakahdaily.net/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan