SHAH ALAM - Sistem pendidikan di negara Islam dilihat telah ‘dirosakkan’ oleh dua perkara iaitu akibat daripada politik dan nilai komersial.
Pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik berkata, dua faktor itu yang
mana akhirnya menjadikan para pelajar mangsa.
"Permainan politik di negara
Islam, yang mana terdapat banyaknya kelompongan dan ketirisan seperti gejala
rasuah dalam pendidikan sedikit sebanyak telah menjejaskan sistem pendidikan di
negara islam tersebut.
"Manakala sistem pendidikan
yang terlalu berorientasikan nilai komersial sehingga mengetepikan nilai
kemanusiaan juga telah menjejaskan sistem pendidikan tersebut," katanya
ketika menjadi panel Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach
For The Needs (TFTN) di Kompleks Karangkraf, di sini, malam semalam.
Forum itu turut menampilkan
penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil dan Pakar
Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj manakala moderatornya,
Pengarah Eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.
Mengulas mengenai sistem
pendidikan yang sedia ada, Dr Maszlee turut mendakwa ia melatih dan
menghasilkan pelajar yang menjadi hamba kepada kehendak pasaran.
"Sistem pendidikan sedia ada
melatih pelajar ke arah menjadikan mereka hamba pasaran.
"Universiti menjadi kilang
untuk menghasilkan robot bagi mendapatkan hasilnya," katanya
Menyentuh perkara yang sama Dr
Harlina Siraj juga, mengatakan bahawa cara mendidik yang terbaik ialah dengan
mengajar sepenuh hati, jujur dan sabar.
Dalam pada itu beliau turut
menekankan objekif pendidikan mestilah berpaksikan kepada nilai-nilai tersebut untuk
menghasilkan perubahan atas seseorang pelajar tersebut.
Menyentuh perkara ini, Dr Harlina
turut menggariskan lima perubahan yang perlu diberi penekanan atas seseorang
pelajar meliputi aspek akidah, akhlak, aqliah, insaniah dan jasmani.
"Bagi saya penekanan kepada
lima aspek ini penting, seandainya kita serius untuk melahirkan pelajar yang
berjaya," katanya.
Menurut Dr Maszlee lagi, peranan
pendidik yang bukan sahaja terletak pada bahu guru semata-mata sebaliknya
terletak pada setiap bahu masyarakat Islam.
Sementara itu beliau turut mengulas
mengenai pentingnya elemen kasih sayang dalam sistem pendidikan sedia ada
sekiranya serius untuk melahirkan masyarakat terbaik pada masa akan datang.
"Segalanya bermula dengan
kasih sayang. Cinta itu membawa makna yang luas. Dengan adanya elemen kasih
sayang, saya percaya pelajar kita akan jatuh cinta kepada ilmu," katanya.
Manakala menurut Dr Harlina, ilmu
perlu diterap supaya masyarakat pentingkan ilmu.
"Perasaan dahagakan ilmu itu
perlu diterap oleh setiap ibu bapa kepada anak masing-masing.
"Jangan jadikan menuntut
ilmu sebagai satu bebanan," katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan