KUANTAN - Semua sekolah di Kuantan yang ditutup hari ini akibat jerebu akan dibuka semula seperti biasa mulai esok, kata Pemangku Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail.
Beliau berkata kesemua 120
sekolah menengah dan rendah di daerah itu bagaimanapun diarah supaya tidak
melakukan aktiviti luar dan kokurikulum.
"Semua pelajar dan guru-guru
terlibat akan ke sekolah seperti biasa mulai esok," katanya ketika
dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya, Kementerian Pendidikan
juga telah mengeluarkan garis panduan kepada semua sekolah sebelum ini dalam
menghadapi masalah jerebu.
Semalam, Menteri Besar Pahang
Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan
yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup hari ini.
Adnan berkata keputusan itu
dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan para pelajar ekoran Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di Kuantan yang mencecah paras tidak sihat.
Mengikut laman web Jabatan Alam
Sekitar setakat 12 tengah hari ini, IPU dua kawasan di Kuantan iaitu Balok Baru
dan Indera Mahkota masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, masing-masing 198
dan 171. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan