Anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan perlu diperluas untuk menjayakan pembangunan pendidikan di Malaysia. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan adalah amat besar. Hal ini kerana pendidikan atau lebih khusus lagi pembelajaran tidak berlaku dalam lingkungan sekolah sahaja apatah lagi di dalam sekolah dan bilik darjah.
Pendidikan dan pembelajaran dalam abad ke-21 ini
berlaku di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, dengan apa cara sekalipun
melalui apa-apa sahaja perantaraan atau media dan alat bantu yang
berbagai-bagai. Justeru, sistem sekolah yang selalunya dikaitkan dengan
kepimpinan dan pengurusan sekolah, kurikulum, pedagogi, jadual waktu dan
pentaksiran yang formal dan one-off sifatnya telah berubah kepada sistem
pembelajaran (learning system) yang lebih luas cakupan maknanya.
Sistem pembelajaran dalam pendidikan abad ke-21
menuntut penglibatan pelbagai pihak di luar lingkungan sekolah tanpa mengetepikan
atau mengurangkan peranan sekolah dan guru. Penglibatan ibu bapa, komuniti dan
sektor swasta menjadi pelengkap, penguat dan pencepat (accelerator) kepada
kemajuan pendidikan sesebuah negara.
Kajian menunjukkan ibu bapa yang mengambil berat
tentang pembelajaran anak di sekolah dan di rumah adalah ibu bapa kepada
anak-anak yang berjaya dalam pendidikan berbanding ibu bapa yang mengambil
berat akan pembelajaran anak di rumah sahaja apatah lagi yang tidak mengambil
berat langsung pembelajaran anak di rumah atau di sekolah. Kajian ini mendapati
ibu bapa yang sering kali datang ke sekolah untuk tujuan yang berkaitan dengan
kemajuan pelajaran anak adalah ibu bapa yang anaknya berjaya.
Hal ini demikian kerana kejayaan anak-anak dalam
pembelajaran memadai dengan motivasi. Jika hanya dengan motivasi, terutama intrinsiks
(dalaman), pun anak-anak boleh berjaya apatah lagi jika ditambah dengan
sokongan moral, spiritual, fizikal dan kewangan orang lain terutama ibu bapa.
Terdapat banyak perbezaan antara pembelajaran di
sekolah dan di rumah. Antaranya, di sekolah pembelajaran terkongkong oleh
jadual waktu, subjek dipelajari, masa, perkara yang hendak dipelajari dan media
pembelajaran. Di rumah pembelajaran boleh berlaku hampir tiada batasan atau
kongkongan seperti dinyatakan. Namun hal tersebut bergantung kepada apa dan
bagaimana sumbangan ibu bapa yang boleh menjamin atau menyokong perkara
tersebut berlaku.
Tidak dinafikan bahawa selama ini telah banyak
sumbangan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta terhadap keberkesanan sekolah.
Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak sumbangan telah diberikan.
Namun, banyak lagi yang boleh diteroka tanpa banyak mengubah peruntukan dalam
perlembagaan PIBG dan Akta Pendidikan 1996. Sedikit sahaja penyesuaian struktur
PIBG perlu dibuat iaitu penubuhan Biro ICT untuk pengutipan data tentang
penglibatan ibu bapa kepada keberkesanan sekolah dan Biro Kumpulan Sokongan Ibu
Bapa (KSIB) atau Parent Support Group dalam PIBG.
Di kebanyakan negara maju KSIB menjadi wadah yang
sangat berkesan membantu sekolah berubah kepada sekolah pada masa hadapan (the
school of future) yang telah wujud pada hari ini. Antara ciri-ciri sekolah
sedemikian ialah tumpuan atau pusat perhatian semua aktiviti adalah
pembelajaran murid manakala tumpuan kepimpinan sekolah adalah kepimpinan
instruksional. Sekolah ini memanfaatkan sepenuhnya ICT dalam pembelajaran dan
pengurusan sekolah. Sekolah pada masa hadapan atau sekolah abad ke-21 juga
memberi penekanan kepada kemenjadian atau outcome murid.
Oleh sebab itulah PPPM 2013-2025 direka bentuk
sedemikian rupa untuk memastikan aspirasi murid dan aspirasi sistem tercapai
melalui sebelas anjakan yang mana satu daripadanya iaitu yang kesembilan adalah
mengenai penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pembelajaran
anak-anak. Dalam tulisan ini saya hanya menyentuh tentang penglibatan ibu bapa.
Penglibatan komuniti dan sektor swasta yang tidak kurang penting dan banyaknya
akan disentuh dalam tulisan yang lain.
Sumber : http : //drjamiladimin.wordpress.com/
Sumber : http : //drjamiladimin.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan