KUALA LUMPUR - Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman hari ini.
Katanya kajian yang dijalankan
kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat
menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.
Menurutnya rata-rata penjawat
awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala
bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat
lebih 20 tahun telah memiliki rumah.
"Golongan 45 peratus ini
terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos
sara hidup," katanya kepada Bernama.
Beliau turut meluahkan
kebimbangan akan implikasi masalah itu jika tidak ditangani segera.
"Antaranya ialah jika mereka
membeli rumah pada usia lanjut, ini bermakna mereka akan mengambil masa lebih
panjang untuk membayar balik pinjaman.
"Kesannya mereka akan
menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang sepatutnya digunakan untuk hari
tua untuk membayar balik pinjaman itu. Kehidupan mereka selepas bersara akan
terus dibelenggu hutang," katanya.
Malah katanya, mereka juga tidak
mampu memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA
yang mencecah RM250,000 adalah di luar kemampuan penjawat awam.
Justeru katanya, Cuepacs menggesa
kerajaan mengkaji isu itu dan mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara
menyediakan rumah kos sederhana untuk penjawat awam.
"Seboleh-bolehnya biarlah ia
berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap kerajaan dapat kaji isu ini secara
serius," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan