Khamis, 13 Jun 2013

ISU SOSIAL : Melayu belum cukup mantap hadapi persaingan


Oleh : Profesor Dr. Sidek Baba
    
Cabaran keilmuan, pendidikan faktor penting hasilkan modal insan berkualiti

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pernah mengungkapkan bahawa 'Melayu mudah lupa'. Amat menarik sekiranya isu itu dipolemikkan dalam perspektif yang berbeza supaya pembetulan dapat dilakukan. Kedudukan Melayu dalam Perlembagaan dan makna Melayu dalam Islam adalah amat istimewa, tetapi keupayaan Melayu menterjemahkan kedudukannya dalam negara menerima kritikan yang banyak dalam kalangan orang Melayu dan juga bukan Melayu.

Orang Melayu sudah dijajah lebih 400 tahun. Kemerdekaan yang dicapai melepasi setengah abad menghasilkan natijah yang baik dan belum mampu membangunkan orang Melayu secara menyeluruh. Petanda orang Melayu mampu menerima perubahan adalah jelas, tetapi persaingan yang ada kini dalam semua bidang belum cukup meletakkan orang Melayu yang dapat berdiri seimbang dengan orang bukan Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

Sebagai bangsa yang ingin bangun dan maju sudah tentu banyak cabaran yang perlu dilaluinya. Cabaran keilmuan dan pendidikan adalah faktor yang amat penting bagi menghasilkan modal insan berkualiti. Apakah sistem pendidikan kita memberi ruang yang holistik ke arah pembangunan modal insan yang berdaya maju dan memiliki kualiti diri yang boleh dijadikan teladan.

Pelbagai cabaran bangunkan Melayu

Cabaran kepemimpinan dan kepengikutan adalah suatu aspek utama bakal menentukan keupayaan orang Melayu menjadi kelompok teras yang dihormati dan disegani. Apakah persekitaran politik kita memberi ruang kepada yang terbaik memimpin dalam suasana wujudnya kritik membina untuk kebaikan bersama.

Cabaran agama juga menjadi faktor yang amat relevan dalam proses membangun watak Melayu yang dinamik dan mampu mengikut zaman. Apakah pendidikan agama dan perjalanan dakwah memberikan dinamika ilmu dan kesuburan dakwah yang tidak saja dalam batas syarah dan fikrah, tetapi menyubur dalam model dan alternatif terkini. Apakah personaliti dan institusi yang membabitkan dirinya dengan Islam menampakkan daya profesional yang tinggi dalam mengurus perubahan atau masih bertahan dalam tembok tradisi yang enggan melakukan islah kerana dibimbangi ia bakal merosakkan ‘keaslian’ agama itu sendiri.

Cabaran yang amat mendesak yang didepani oleh orang Melayu kini ialah cabaran persekitaran yang mendukung faham sekular dan liberal berdepan dengan cita rasa keagamaan yang masih berpaut dalam skop tradisi yang sifatnya membatasi. Wujud konflik yang tajam, di satu pihak ingin memajukan generasi muda dengan asakan budaya popular Barat menerusi media cetak dan elektronik yang tidak terkawal dengan mendorong mereka ke arah jalur hedonistik atau berfoya-foya dengan aktiviti pesta yang mengakibatkan ketirisan watak Melayunya dan juga kualiti agamanya.

Melayu paling ramai di pusat serenti

Ia berakhir dengan bertambah ramai generasi muda Melayu berada di pusat serenti, dikatakan lebih satu juta terbabit dengan penagihan dadah, jenayah juvana yang meningkat secara luar biasa, kerosakan moral dan masalah sosial yang semakin parah, aktif dalam kegiatan mat rempit yang sukar dibendung dan yang amat penting ialah hilang upaya berfikir secara serius menerusi gelagat santai dan timbul kecenderungan budaya siber yang parah serta membabitkan generasi yang masih mentah dengan cabaran.

Ia tidak bermakna tidak ada orang Melayu yang berkualiti di Malaysia. Banyak bukti orang Melayu telah berjaya dalam bidang perubatan, penyelidikan, bisnes, bidang pembuatan, pengurusan, teknologi dan sebagainya. Bagaimanapun, lonjakannya belum sampai ke satu tahap yang mana ekuiti Melayu mampu melepasi ikatan 18.9 peratus (2004) seperti sekarang. Lonjakan ini akan hanya boleh berlaku sekiranya faktor keilmuan dan pendidikan diambil kira, faktor kualiti kepemimpinan dan kepengikutan dijadikan fokus, faktor agama yang mendukung islah dijadikan pertimbangan dan faktor pembudayaan yang perlu diteliti.

Bukan tidak ada peruntukan dan dasar yang ingin mendukung keperkasaan Melayu, tetapi ternyata wujud ketirisan pada pelbagai peringkat. Globalisasi yang menghimpit bangsa Melayu menyebabkan ruang tanpa sempadan wujud. Dinamik sistem komunikasi dan telekomunikasi menyebabkan cara berfikir manusia berubah. Bangsa Melayu tidak akan terus bertahan dengan mengambil anggapan dan sikap ada peruntukan dasar yang sifatnya ‘istimewa’ semata-mata. Orang Melayu berhadapan dengan realiti baru yang amat terbuka dan mencabar. Apakah minda Melayu terutama dalam kalangan generasi muda mempunyai keinsafan yang tinggi terhadap upaya bangsanya atau sedang dilalaikan dengan hal yang remeh-temeh serta mengalami ketirisan nilai dan etika yang amat parah.

Penulis ialah profesor pendidikan di UIAM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan