Sejak pelancaran Koridor Raya
Multimedia (MSC) pada Ogos 1996 negara mengalami ledakan penggunaan internet
secara drastik. MSC berjaya menggalakkan penggunaan dan pembangunan teknologi
maklumat (ICT) secara meluas dalam semua sektor dan menjadikan kita sebagai
masyarakat bermaklumat.
Pelbagai bentuk jenayah siber
dilakukan oleh ‘penggodam’ atau penjenayah siber. Antaranya ialah, pencerobohan
terhadap hak individu, pencurian maklumat, penggodaman terhadap maklumat dan
data komputer, penyebaran virus komputer, melakukan fitnah dan penipuan,
menyebar pemikiran keganasan, perjudian siber dan penyebaran pornografi. Selain
itu, berlaku jenayah kecurian sejumlah besar wang secara maya dan bentuk jenayah
komersial yang lain melalui internet.
Oleh sebab jenayah siber
dilakukan melalui talian bersifat maya yang melangkaui sempadan keselamatan
fizikal dan sempadan negara, maka pengawalan dan penguatkuasaan terhadap
jenayah ini tidak terhad kepada bidang kuasa mana-mana negara. Justeru, dari
segi hubungan antarabangsa wujud penguatkuasaan Akta Jenayah Komputer melalui
Interpol.
Namun, beberapa isu timbul dalam
penguatkuasaan antarabangsa ini. Antaranya ialah hanya sebilangan negara
komited untuk menjalin kerjasama erat dalam isu jenayah siber ini.
Selain itu, sistem keadilan
jenayah siber antarabangsa ini tidak selari dengan kemajuan pantas teknologi
internet. Apapun, negara kita sentiasa komited untuk memperkukuh hubungan
antarabangsa bagi menangani jenayah siber ini.
Malaysia sendiri mempunyai
beberapa akta berkaitan undang-undang siber yang diluluskan oleh Parlimen,
iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia 1998, Akta Tandatangan Digital 1997 (Akta 562), Akta Jenayah
Komputer 1997 (akta 563) dan Akta Teleperubatan 1997 (Akta 564).
Akta Komunikasi dan Multimedia
adalah bagi menggantikan dua akta terdahulu, iaitu Akta Telekomunikasi 1950 dan
Akta Penyiaran 1998. Akta Komunikasi dan Multimedia boleh dianggap sebagai
teras kepada semua undang-undang siber di negara ini. Akta ini merangkumi
dokumen dasar untuk MSC dan usaha Malaysia untuk membangun masa depan digital.
Secara dasarnya, objektif utama
akta ini bertujuan mewujudkan suatu kerangka pelesenan dan regulatori bagi
industri komunikasi dan multimedia serta mewujudkan kuasa dan fungsi untuk
sebuah suruhanjaya komunikasi multi-media. Justeru, akta ini memperuntukkan
penubuhan sebuah suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia yang diberi kuasa untuk menyelia aktiviti ko-munikasi dan
multimedia di Malaysia.
Satu lagi akta tidak kurang
pentingnya ialah Akta jenayah Komputer 1997 yang diwujudkan bagi mengadakan
peruntukan bagi kesalahan berhubung kesalahan penggunaan komputer. Bahagian II
akta ini menyenaraikan beberapa kesalahan berkaitan dengan penyalahgunaan
komputer.
Kesalahan terbabit termasuklah
capaian tanpa kuasa kepada bahan komputer (Seksyen 3); capaian tanpa kuasa
dengan niat untuk melakukan atau memudahkan berlakunya kesalahan lanjut
(Seksyen 4); pengubahan tanpa kuasa kandungan mana-mana komputer (Seksyen 5);
Komunikasi Salah (Seksyen 6); Bersubahat atau percubaan melakukan kesalahan
(seksyen 7) dan anggapan - memperoleh capaian tanpa kuasa kepada program, data
atau maklumat.
Seksyen 10 (1), (2) dan (3) akta
itu memberikan kuasa kepada majistret untuk mengeluarkan waran tangkap kepada
pegawai polis berpangkat inspektor ke atas untuk menggeledah, menyita dan
menahan apa-apa keterangan serta berhak mendapat capaian kepada mana-mana
komputer yang disyaki digunakan bagi melakukan kesalahan, mengehendaki
mana-mana orang disyaki bagi memberikannya bantuan munasabah dan menghendaki
maklumat dikeluarkan dalam bentuk boleh dibawa pergi, dilihat dan dibaca.
Isunya ialah sejauh mana semua
akta berkaitan dengan kesalahan siber itu dikuatkuasakan bagi menangani
pelbagai kesalahan jenayah siber yang semakin berkembang di negara kita. Apakah
kita sudah cukup memiliki anggota penguatkuasaan, kepakaran dan kemudahan
logistik serta hubungan dan kerjasama rapat antara agensi yang memiliki bidang
kuasa penguasaan?
Selain itu, kelemahan kuasa
undang-undang seperti kuasa merampas harta bersifat intangible (yang tidak
nampak) seperti data komputer serta kandungan perjanjian berkaitan ekstradisi
dan kelemahan kerjasama antarabangsa secara konkrit berkaitan dengan jenayah
siber harus diatasi secara berkesan.
Semua isu penguatkuasaan itu
harus diteliti dan disemak serta diberi perhatian serius supaya penguatkuasaan
terhadap undang-undang berkaitan kesalahan siber menjadi lebih berkesan.
Jika perlu satu jawatankuasa
pemantau diwujudkan bagi meneliti kelemahan dan isu berkaitan pelaksanaan dan
penguatkuasaan semua undang-udang berkaitan jenayah siber. Jawatankuasa ini
boleh memberi cadangan bagi memperbaiki dan memperkukuh sama ada dari segi
undang-undang itu sendiri ataupun dari aspek penguatkuasaan oleh agensi
terbabit.
Ahli-ahli yang dilantik mestilah
mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang terbabit.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan