Tidak ada satu perkara yang lebih
dibenci oleh rakyat hari ini selain daripada rasuah. Rasuah menjadi modal
bualan dan isu panas dalam pilihan raya. Persepsi bahawa pemimpin dan penjawat
awam mengamalkan rasuah berleluasa di negara ini. Walaupun banyak tuduhan
terhadap mereka itu tidak berasas dan berniat jahat tetapi di fikiran
sebahagian besar rakyat, semuanya dianggap sahih.
Perang membasmi rasuah tidak boleh
dibuat separuh jalan. Atau sekadar melepaskan batok di tangga. Ini merupakan
jihad pemimpin dan rakyat. Sebarang usaha untuk memerangi rasuah mesti
dilakukan tanpa memilih bulu dan was-was.
Saya cenderung untuk melihat ke
Indonesia dalam konteks memerangi rasuah. Memang benar satu masa dulu rasuah di
negara itu menjadi kronik. Seorang wartawan terkenal Indonesia Mokhtar Lubis
menganggarkan ‘kebocoran’ akibat rasuah di Indonesia sejak tahun 1980-an
mencecah 30 peratus. Malah Indonesia dianggap salah sebuah negara paling korup
di dunia. Bagaimanapun sejak kebelakangan, hal ini ternyata sudah berubah.
Kebencian rakyat terhadap rasuah memuncak di Indonesia, sebahagiannya kerana
keterbukaan media dan gerakan massa yang menyokong usaha membanteras rasuah.
Ambil sahaja contoh usaha
mendirikan ibu pejabat baharu Komisi Pemberantasan Korupsi atau KPK. Apabila
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) keberatan membiayainya, rakyat Indonesia bangun
mengumpulkan dana bagi mendirikan ibu pejabat baru itu. Persatuan Penjaja Jalanan
Indonesia (PPKLI) misalnya menggesa 54 juta ahlinya menderma Rp1,000 (35 sen)
seorang untuk tujuan itu.
Sumbangan basmi rasuah
“Koin untuk KPK” menjadi gerakan
massa yang hebat. Rakyat kecil Indonesia menganggap mereka perlu menyumbang
kepada usaha membasmi rasuah. Rakyat menunjukkan kuasa sebenar mereka.
Sumbangan mencurah-curah masuk. Tidak cukup dengan itu, ada juga gerakan untuk
mengumpulkan sejuta batu bata bagi membantu mendirikan ibu pejabat KPK.
Gerakan massa yang unik ini
dikenal sebagai ‘Koalisi Masyarakat Sipil Koin untuk KPK’ dan ‘Gerakan Rakyat
Peduli KPK.’ Mesejnya jelas, KPK mendapat sokongan rakyat. Perkataan ‘peduli’
itu maksudnya mengambil endah, mengambil tahu atau ‘concern’. Tidak cukup
dengan itu, anak-anak muda Indonesia memakai kemeja-T yang jelas menunjukkan
kebencian terhadap rasuah. “Sang Koruptor – Apa Agama Kamu?” dan “Jalan Pantas
Ke Neraka – Jadi Koruptor” adalah antara yang paling popular.
\
Sejak kebelakangan ini banyak
pimpinan politik Indonesia yang dibawa ke muka pengadilan. Siasatan KPK tidak
memandang bulu mendapat pujian orang ramai. Banyak kes berprofil tinggi yang
sebenarnya disiasat oleh KPK.
KPK siasat banyak kes
Imej baharu KPK memang cukup baik
di kalangan rakyat Indonesia. Sejak agensi itu beroperasi sebagai KPK pada
tahun 2003 ia telah menyiasat banyak kes. Daripada segi statistik, kejayaan KPK
dalam pendakwaan kes yang membabitkan perolehan kerajaan dan belanjawan adalah
100 peratus. Beberapa tokoh terkenal Indonesia – lelaki dan perempuan – telah
disiasat, diadili dan dijatuhi hukuman setimpal. Salah seorang tokoh berprofil
tinggi yang disiasat dan di dakwa ialah bekas Menteri Sukan, Andi Mallarangeng.
Perlu diingat, KPK mempunyai
rekod yang kurang baik sebelum itu. Ada beberapa kes yang membabitkan pegawai
tertingginya. Malah dalam satu kes, terdapat pegawai tertinggi yang
bersekongkol bagi menjatuhkan nama baik pengerusi KPK sendiri, Antasari Azhar.
Tetapi KPK kini berjaya memulihkan imej itu.
Sokongan massa tidak sahaja
dilihat dalam usaha mengumpulkan koin tetapi juga peranan yang dimainkan oleh
media dan penulis bebas. Salah sebuah koleksi rencana yang terbit dua tahun
yang lalu ialah Korupsi Yang Memiskinkan yang disunting oleh Maria
Hartiningsih. Buku ini mengandungi rencana yang menyentuh pelbagai isu.
Sasarannya ialah bagi memperingatkan rakyat Indonesia bahawa rasuah ‘mensabotaj
hak rakyat untuk hidup sejahtera.’ Secara terus terang penulis-penulisnya
membongkar keburukan yang berlaku akibat rasuah dan bagaimana hak rakyat
dinafikan oleh penerima rasuah.
Buku ini juga membawa mesej yang
jelas: Rasuah dan kemiskinan adalah dua muka pada kepingan siling yang sama.
Kedua-duanya merupakan musuh terbesar yang harus diperangi. Tanpa ditangani
dengan berani dan cekap, rakyat akan terus tinggal miskin kerana peruntukan
untuk mereka ‘dirampok’ oleh pengkhianat.
Hanya dengan komitmen untuk
membanteras rasuah, barulah keadilan sosial akan berlaku dan ketidakseimbangan
ekonomi dapat ditangani.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) telah diberikan taring secukupnya untuk memerangi rasuah. SPRM
harus menjalankan tugasnya secara profesional. Banyak cadangan telah
dikemukakan bagi memperbaiki tadbir urus dan pendekatannya. Ini masa yang
terbaik untuk SPRM membuktikan bahawa ia sebenarnya badan bebas dan
berintegriti. Perasuah, siapapun mereka – jerung atau bilis – ialah musuh
rakyat nombor satu.
SPRM – bertindaklah! Rakyat akan
menyokong.
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan