Rabu, 5 Jun 2013

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Bahana salah guna Facebook


Oleh : RISWANDI RAZAK

MEDIA sosial adalah medium terpenting dalam menyampaikan maklumat peribadi kerana ianya mudah dan percuma, hanya perlu melengkapkan 'password', anda boleh terus menggunakannya.

Sejak mula popular di sekitar pertengahan 2008, Facebook dilihat sebagai laman web terpenting dalam perhubungan sosial terutama untuk mencari rakan-rakan yang telah lama terputus hubungan.

Namun, media sosial ini juga mempunyai elemen negatif yang mampu memberi kesan buruk kepada keharmonian negara.

Sebagai contoh, yang terbaru penahanan seorang wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dalam akaun Facebooknya, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata. wanita berumur 32 tahun itu ditahan di Taman Nirwana, Ampang dan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Jika dilihat dari sudut pengguna Facebook, kenyataan terbuka tanpa tapisan sememangnya mudah ditulis dan diluahkan dalam laman sosial ini.

Malah, ada di antara pemilik akaun Facebook, sering memberi kenyataan sensitif tanpa menyedari perbuatan itu, akan mengundang padah, khususnya dalam isu yang melibatkan keharmonian negara.

Kes ini juga telah membuka mata bahawa, masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu menghormati sensitiviti masyarakat dan Perlembagaan Negara.

Sedangkan, Yang di-Pertuan Agong adalah simbol ketua negara yang perlu dihormati dan termaktub di dalam perlembagaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen berunsur menghina terutama melibatkan institusi diraja Malaysia.

Siasatan kes ini turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penahanan ini dibuat susulan beberapa laporan polis dibuat selepas komen yang dilihat menghina itu tersiar di laman Facebook dan Twitter susulan titah Seri Paduka melalui televisyen sempena hari keputeraan Tuanku, Sabtu lalu.

Persoalannya, apakah langkah yang wajar dilakukan khususnya oleh kerajaan untuk pastikan semua rakyat di negara ini menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-raja.

Adakah wajar untuk laman sosial disekat bagi membendung kenyataan negatif sebegini berulang?

Beberapa NGO di Selangor menggesa agar langkah drastik ini diambil dan mencadangkan Malaysia mengikut langkah Iran dan China yang menyekat akses ke laman sosial.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan itu perlu difikirkan kerana ada pengguna yang menggunakan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah, menghina agama dan kaum serta mencaci-maki pemimpin negara.

Gesaan ini turut disokong oleh Perkasa dan Majlis Belia Selangor.

Namun, adakah ini satu-satunya cara untuk kita menyelesaikan masalah ini?

Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Normah Mustaffa berkata, laman sosial Facebook tidak boleh disalahkan sehingga perlu disekat penggunaannya.

Beliau berkata, Facebook adalah medium penting yang membantu pengaliran berita dan memudahkan penyampaian maklumat.

“Isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi di negara ini tidak seharusnya berlaku jika individu terbabit faham akan sejarah negara kita ini,” katanya.

SKMM menerusi Ketua Komunikasi Strategiknya, Sheikh Raffie Abdul Rahman memberitahu, suruhanjaya itu akan mengkaji kaedah terlebih dahulu terbaik untuk memantau penggunaan laman media sosial di negara ini dalam membendung budaya fitnah.

Beliau berkata, SKMM tidak boleh terburu-buru melaksanakan penguatkuasaan kerana banyak perkara yang perlu dipertimbangkan mengikut kesesuaian.

"Kami memandang serius perbuatan biadab di laman sosial seperti Facebook tetapi SKMM tidak boleh sewenang-wenangnya menyekat laman tersebut," katanya.

Bayangkan. hanya kerana dua, tiga atau empat perkataan dalam Facebook, anda boleh didakwa atas Akta Hasutan 1948 dan boleh dikenakan hukuman penjara.

Oleh itu, kesemua pengguna Facebook perlu amalkan etika dan budi bahasa dalam segala tulisan yang dibuat, walaupun hanya dua perkataan.

Adalah lebih baik, memberi komen atau ulasan yang membina dan mampu menyumbang kepada perkembangan positif negara.

Bagi kes wanita yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, langkah yang difikirkan wajar adalah perlu ada pendekatan khusus untuk memastikan generasi muda tahu akan Perlembagaan Negara dan fungsi Institusi Raja-raja.

Usaha ini wajar dilaksanakan sejak bangku sekolah lagi, penekanan rasa hormat kepada pemimpin dan ketua negara perlu ada dan ini termasuk rasa hormat kepada lagu Negaraku dan bendera Jalur Gemilang.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan