Allahyarham Tan Sri Dr Awang Had Salleh |
Oleh : Noor Farhana Ahmad Norain
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama)
-- Tan Sri Dr Awang Had Salleh yang meninggal dunia Isnin, meninggalkan legasi
yang cukup besar dalam bidang pendidikan negara.
Ketokohannya dalam sektor itu
terserlah apabila pernah dilantik mengemudi lima universiti selain dianugerah
gelaran Doktor Kehormat oleh pelbagai organisasi tempatan dan luar negara.
Beliau pernah menjadi Naib
Canselor (hal ehwal pelajar) Universiti Malaya (UM) dari 1975 hingga 1978,
Pengarah Universiti Teknologi Mara (1978-1980), Naib Canselor Universiti
Kebangsaan Malaysia (1980-1984), Naib Canselor pertama Universiti Utara
Malaysia (UUM)(1984-1989) dan Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) pada 2000.
Dilahirkan pada 26 Jun 1939 di
Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang Had mendapat pendidikan rendah di Alor Setar,
Kedah, dan pendidikan menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, sebelum melanjutkan
pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di UM pada 1962.
Awang Had berkahwin dengan Puan
Sri Salmah Abu Bakar dan dikurniakan tujuh cahaya mata, lima lelaki dan dua
perempuan.
Pada 1951, beliau memperoleh
Sijil Pendidikan daripada Sultan Idris Teachers' Training College (SITC),
Tanjong Malim dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Stanford University,
California (1969-1972) menerusi Fellowship UM-Asia Foundation dan memperoleh Doktor
Falsafah dalam Pendidikan dan Sosiologi.
Sejak 1950-an lagi, Awang Had
telah memulakan profesion perguruan dengan menjadi guru pelatih, guru sekolah
rendah dan sekolah menengah selain menjadi Pegawai Pendidikan di Maktab Bahasa
pada 1964.
Beliau kemudiannya menjadi
pensyarah di Fakulti Pendidikan UM pada 1969 hingga 1974, sebelum dilantik
menjadi dekan fakulti berkenaan dari April 1974 hingga Mei 1975.
Di samping menjadi Naib Canselor
UUM, Awang Had dilantik sebagai Penasihat Khas Kementerian Pendidikan pada 1989
sebelum berhenti dan dilantik menjadi Felo Cemerlang (Distinguished Fellow)
ISIS Malaysia pada 1990.
Pada 1997, beliau menjadi
Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI.
Di sektor swasta, Awang Had
pernah menjadi Pengerusi Anakku Corporation Bhd, Presiden Kolej Ikram,
Pengerusi Fememo Sdn Bhd dan Ketua Majlis Pentadbiran Institut Teknologi
Kreatif Lim Kok Wing.
Selain itu, Allahyarham pernah
menjadi Setiausaha Agung Suruhanjaya Unesco Malaysia, Anggota Lembaga Eksekutif
Unesco di Paris, Pengerusi Pertubuhan Alkohol Malaysia, Ketua dan Perunding
Akademi Filem Pertama Malaysia, Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Majlis
Yayasan Karyawan serta Anggota Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara bagi
penggal 2004/2006.
Sepanjang hayatnya, Awang Had
turut menulis beberapa buku, artikel dan kertas kerja mengenai pendidikan,
bahasa dan kebudayaan. Antara buku yang pernah ditulis adalah "Budi",
"Warna-Warna Pengalaman Seorang Guru" dan "Antara Dua
Dunia".
Sumbangannya dalam bidang
pendidikan diiktiraf apabila diangkat sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada
1990, Tokoh Pujangga Alumni Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris
pada 2002 dan menjadi penerima ketiga Anugerah Tokoh Kepimpinan (Leadership)
Annual Education Minister's Special Award.
Pada 1986, beliau dikurniakan
gelaran Doktor Kehormat dalam undang-undang dari Brock University, Ontario,
Canada diikuti Doktor Kehormat Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
dan Profesor Emeritus dari Universiti Utara Malaysia (UUM), kedua-duanya pada
1994.
Pada 1999, beliau dikurniakan
gelaran Doktor Kehormat Persuratan dari UM.
Kerajaan Persekutuan turut
menganugerahkan Awang Had dengan pingat Johan Mangku Negara pada 1975 dan
Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' pada 1982.
Pada Oktober 2011, beliau dirawat
di Hospital Selayang berikutan strok.
Tokoh pendidikan terkenal itu
menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Putrajaya awal hari ini akibat
komplikasi paru-paru.
Sumber : BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan