Isnin, 1 Julai 2013

ISU BAHASA : Kuasa politik, ekonomi mendokong kepentingan sesuatu bahasa


Oleh :  Zin Mahmud

PADA tahun-tahun 1970-an, ada seorang pemimpin Asia yang mendidik anaknya supaya belajar bahasa Rusia. Ini kerana beliau yang terkenal bijak menjangkakan bahawa Soviet Union bukan saja terus menjadi kuasa besar tetapi bertambah kepentingannya pada masa akan datang termasuk bagi benua Asia.

Jika Soviet Union bertambah kuat, malahan dapat menyaingi Amerika Syarikat, maka tentulah bahasanya juga menjadi penting dan terpaksa dipelajari oleh banyak orang asing, termasuk di kalangan tokoh-tokoh Asia.

Maka tidak hairanlah Pusat Kebudayaan Soviet pernah dibuka di Jalan Tun Razak pada tahun-tahun 70-an. Kedudukannya hanya beberapa langkah daripada Pusat Kebudayaan Lincoln di Jalan Ampang, iaitu pusat bagi mengembangkan maklumat dan pengetahuan mengenai Amerika Syarikat.

Penulis sendiri pernah cuba belajar bahasa Rusia di pusat itu tetapi hanya mampu membaca ejaan bahasa itu yang menggunakan tulisan Cyrillic.

Pada satu ketika sememangnya Soviet Union dilihat sebagai kuasa yang sedang menguasai banyak bahagian dunia. Maka bahasa Rusia yang merupakan bahasa rasmi negara itu bukan saja menjadi penting di seluruh republik-republik di dalamnya seperti Kazakhstan, Ukraine dan seumpamanya tetapi juga negara-negara komunis yang berada di bawah pengaruh Moscow seperti yang berada di Eropah Timur dan juga Mongolia, China, Korea Utara dan Vietnam Utara,

Malah republik-republik bukan Rusia berasal Islam yang mempunyai bahasa sendiri turut mengambil Cyrillic sebagai tulisannya bagi menggantikan tulisan Arab. Mereka tidaklah mengambil tulisan rumi seperti mana Turki, Indonesia dan bahasa Melayu.

Siapa sangka ketika itu bahawa Soviet Union akan tumbang dan republik-republik di dalam gabungannya mengisytiharkan kemerdekaan.

Tanpa Soviet Union, Rusia tidak lagi dianggap penting di luar daripada Persekutuan Rusia. Sebaliknya negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah yang terlepas daripada cengkaman Moscow kini lebih berminat menguasai bahasa Inggeris daripada Rusia.

Malah negara-negara yang menggunakan tulisan Cyrillic seperti Kazakhstan bagi bahasa mereka sedang merancang untuk menukar tulisannya kepada rumi. Itulah yang akan dilakukan oleh Kazakhstan dalam masa lima tahun akan datang.

Itulah nasib bahasa Rusia dan tulisannya, Cyrillic apabila Soviet Union kalah kepada Amerika Syarikat dalam Perang Dingin. Atas keunggulan Amerika, bahasa Inggeris menjadi bahasa global dan kini semua bangsa mahu menguasainya.

Maka anak pemimpin Asia yang menguasai bahasa Rusia itu mendapati bahasa itu sudah hilang kepentingannya. Bahasa Inggeris sememangnya sudah dikuasai oleh negara itu.

Tetapi kuasa yang menggantikan Soviet Union untuk mencabar Amerika Syarikat adalah China. Maka Mandarin juga meningkat kepentingannya.

Justeru tidak hairanlah bahawa republik kecil Asia itu sudah sekian lama menekankan kepentingan Mandarin. Kesedaran kepentingan Mandarin turut sampai ke Australia, sebuah negara yang dikuasai keturunan Inggeris tetapi mahu dianggap sebagai sebuah negara Asia.

Malah ada pemimpin utama Australia keturunan Inggeris yang menguasai Mandarin bagi memudahkan hubungan mereka dengan China. Keunggulan ekonomi membawa kekuatan bahasa.

Bagi orang Malaysia, tidak ada siapa yang berminat untuk mempelajari bahasa Rusia ketika Soviet Union berada di kemuncaknya pada tahun-tahun 1970-an.

Kalau ada tawaran daripada kerajaan Soviet kepada pelajar Malaysia untuk menuntut di universiti di sana, tentulah dipandang curiga khususnya di Universiti Lumumba di Moscow, kerana ia mendidik para pelajar antarabangsa untuk menjadi profesional komunis.

Tetapi kini, suatu yang dahulu tidak dijangka, sudah banyak orang Malaysia yang pandai berbahasa Rusia. Ini kerana sejak Soviet Union tumbang, banyak anak-anak Malaysia yang dihantar ke sana untuk mempelajari perubatan.

Maka untuk itu, penguasaan bahasa Rusia tentulah menjadi penting. Tetapi di Eropah, bahasa Rusia mempunyai kepentingannya tersendiri.

Ini kerana di atas runtuhan komunis Soviet, maka muncul jutawan-jutawan kapitalis Rusia yang banyak berbelanja dan melabur di Eropah. Dari Jerman, Austria, Switzerland hinggalah ke Greece, jutawan-jutawan ini membuat pelaburan dan berbelanja hinggakan bahasa mereka juga dipandang penting.

Justeru pada keseluruhannya, politik dan ekonomi yang menyebabkan sesuatu bahasa itu meningkatkan kepentingannya.

Tetapi bagaimana pula dengan kepentingan bahasa Melayu?

Apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua, maka ternyata kuasa-kuasa Barat tidak boleh kembali menjajah seperti sebelum Jepun menawan Asia.

Setiap negara yang merdeka dari penjajahan Barat mahukan bahasa sendiri sebagai bahasa rasmi.

Indonesia yang bebas daripada penjajahan Belanda mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasanya dengan nama Bahasa Indonesia.

Dengan kuasa politik menguasai sebuah negara besar dan penduduk banyak, tentulah bahasa Melayu dalam bentuk Bahasa Indonesia menjadi penting dan dipandang mempunyai masa depan cerah.

Maka begitu juga dengan Malaya yang merdeka pada tahun 1957. Dengan memiliki bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia juga dipercayai pada masa itu akan turut menjadi penting pada masa depan.

Ia menjadi lebih penting apabila Malaysia ditubuhkan dengan bahasa Melayu dikenali sebagai Bahasa Malaysia dengan turut dianggap sebagai bahasa rasmi di Sarawak, Sabah dan Singapura.

Bahasa Melayu wajar menjadi kuat apabila Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia bersatu. Maka penyelarasan ejaan yang dilakukan oleh Tun Razak dan Suharto adalah langkah awal untuk itu.

Tetapi sayangnya Indonesia tidak muncul sebagai kuasa ekonomi yang besar baik pada zaman Sukarno mahupun Suharto. Andai kata ekonomi Indonesia maju, maka kepentingan Bahasa Indonesia meningkat.

Jika kedua-dua Malaysia dan Indonesia maju, maka akan majulah juga bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan