KUALA LUMPUR : Malaysia, Indonesia dan Singapura telah membincangkan cara yang lebih ke hadapan secara praktikal bagi mengurangkan risiko jerebu yang telah menjejaskan ketiga-tiga buah negara sejak beberapa minggu lalu.
Perbincangan itu dijalankan dalam
mesyuarat tiga hala secara tidak rasmi yang diusahakan Malaysia di luar
Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-46 di Bandar Seri Begawan di Brunei
pada Sabtu.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah
Aman menghadiri mesyuarat itu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan
Singapura Dr RM Marty M.Natalegawa dan K.Shanmugam.
Menurut satu kenyataan
Sekretariat Kebangsaan Malaysia-Asean, Kementerian Luar di sini hari ini,
antara cara yang praktikal bagi mengurangkan risiko jerebu itu yang
dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk pengesahan dan pengoperasian segera
Perjanjian Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
"Ketiga-tiga menteri
mengadakan perbincangan yang konstruktif, berterus terang tanpa berselindung
mengenai masalah yang disebabkan jerebu baru-baru ini yang menjejaskan
sebahagian besar semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura," kata
kenyataan itu.
Semasa mesyuarat itu, ketiga-tiga
menteri menyebut mengenai keadaan yang semakin baik di kawasan-kawasan yang
terjejas di Sumatera di mana ia berkurangan daripada 16,500 hektar kepada 4,081
hektar.
Mereka juga mengakui bahawa
setakat 28 Jun 2013, bilangan kawasan tompokan panas berkurangan kepada tujuh
daripada 261 berikutan operasi pembenihan awan dan pengeboman air yang
dijalankan kerajaan Indonesia selain keadaan cuaca yang baik.
"Ketiga-tiga menteri juga
bersetuju bahawa perbincangan lanjut berhubung isu jerebu akan diadakan pada
AMM ke-46. Dalam semangat perpaduan Asean, mereka juga bersetuju bahawa anggota
keluarga Asean yang lain akan diberi maklumat terkini bagi mengikuti
perkembangan isu itu yang menyelubungi ketiga-tiga negara berkenaan,"
menurut kenyataan itu.
Anifah mengetuai delegasi
Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Asean ke-46 di Bandar Seri Begawan mulai
29 Jun hingga 2 Julai. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan