Oleh : Ruhaiza Rusmin
Mencipta kreativiti bukan mudah, apatah lagi jika ia
dihasilkan mahasiswa muda yang cetek pengetahuan dalam aspek penyelidikan.
Meskipun hasil diketengahkan itu inovasi baru, masih belum
mampu memancing perhatian ramai pihak untuk mempercayai kemampuan mereka.
Apatah lagi dengan usia masih setahun jagung, selain
tiadanya pangkat akademik, hasil pencipta muda ini seolah-olah tidak bernilai.
Penolakan serta diskriminasi ini boleh merencatkan idea dan
semangat mereka sekali gus menggugat impian negara melahirkan pencipta muda
berkaliber pada masa depan.
Justeru di manakah nilai mereka andai kata terus diragui
kemampuannya? Dan, benarkah ciptaan yang dihasilkan itu tidak mempunyai nilai
komersial atau hanya syok sendiri.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM), Dr Khairi Abdul Rahim berkata, sikap prejudis serta
kurang percaya terhadap kemampuan pencipta muda perlu diubah segera.
Beliau berkata, meskipun hanya bertaraf pencipta muda, tidak
bermakna rekaan itu tidak mempunyai nilai.
“Untuk menjadi pencipta inovasi tidak memerlukan kriteria
khusus, ini soal kreativiti yang sangat subjektif.
“Yang penting kemahuan untuk mencipta. Pangkat profesor atau
doktor soal kedua,” katanya.
Biarpun keyakinan masyarakat lebih tinggi kepada mereka yang
memiliki kelulusan berjela, beliau optimis hasil pencipta muda tidak kurang
hebatnya.
“Biarpun kelayakan dan pengalaman sentiasa diambil kira,
tidak bermakna mereka yang tidak mempunyai kriteria itu tidak berkemampuan.
“Beri peluang kepada mereka dan usah berat sebelah,”
katanya.
Malah, stigma tidak benar yang dilemparkan dianggap berbahaya
kerana boleh membunuh keinginan pencipta muda secara senyap dan perlahan.
“Mereka terdiri daripada mahasiswa yang mempunyai banyak
komitmen. Justeru, kesanggupan mengetepikan waktu untuk berkongsi idea wajar
dihargai.
“Amat malang jika ada pihak kurang menghargai kesungguhan
ditunjukkan golongan ini, malah tidak mahu mengiktiraf,” katanya.
Pencipta muda meskipun sering dipersoalkan kemampuan mereka,
akuinya masih mampu memberikan hasil ciptaan memberangsangkan.
Menurutnya, biarpun tanpa penyelidikan saintifik, rekaan itu
masih boleh dibangunkan dalam jangka panjang.
“Inovasi, penciptaan dan penghasilan produk baru sentiasa
berlaku dan sering berubah dengan cepat.
“Ciptaan itu juga tidak selamanya berada pada tahap sama.
Penambahbaikan dan kenaikan taraf melalui ujian serta penyelidikan diadakan
daripada semasa ke semasa.
“Jangan prejudis dengan kemampuan pencipta muda,” katanya
menambah penyelidikan berterusan penting bagi menghasilkan kualiti bermanfaat
kepada sejagat.
“Biarpun mereka masih belum mempunyai kelayakan kukuh, kita
tidak boleh memperkecilkan mereka.
“Dari segi penyelidikan saintifik mungkin mereka tiada
kelebihan itu, tapi inovasi mereka perlu dihargai.
“Untuk membudayakan inovasi dan penjanaan idea terutama di
kalangan generasi muda, penting ada keberanian untuk mencuba,” katanya.
Beliau tidak menafikan permintaan hari ini lebih menjurus
kepada pengkomersialan, namun penerangan perlu diberikan bagi memupuk pemahaman
mengenai budaya inovasi.
“Keuntungan dalam penghasilan ciptaan baru adalah matlamat
utama pelabur, justeru tidak hairan jika tumpuan lebih besar diberikan kepada
pencipta berpengalaman.
“Bagaimanapun tanpa yang baru, tiada yang lama. Sekiranya
ada sokongan padu, tidak mustahil mereka boleh pergi lebih jauh,” katanya.
Budaya inovasi di kalangan generasi muda perlu wajar
disuburkan berterusan, apatah lagi pelbagai pilihan sudah tersedia.
“Dulu, budaya inovasi sangat asing kerana fokus mahasiswa
hanya pada bidang pekerjaan berteraskan pencapaian akademik.
“Hari ini, budaya inovasi adalah ledakan baru kepada dunia
pendidikan tinggi. Ia bukan lagi hak ekslusif golongan tertentu.
“Inovasi bukan saja boleh menghasilkan nilai tambah dalam
resume, malah pengiktirafan kepada mahasiswa,” katanya.
Sumber : http : //www,hmetro,com,my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan