KUALA LUMPUR - Isu kegagalan pelajar cemerlang tempatan memasuki institusi pengajian awam (IPTA) tempatan yang berlaku hampir setiap tahun, perlu diselesaikan kerajaan secara efektif supaya tidak berulang.
Ketua Kluster Pendidikan dan
Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa
berkata, penyelesaian itu perlu jika negara serius untuk mencapai hasrat
menjadi pusat kecemerlangan pengajian tinggi peringkat antarabangsa menjelang
tahun 2020.
"Macam mana kita nak
menerima lebih ramai pelajar antarabangsa, kalau pelajar cemerlang kita pun
tidak mendapat tempat," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari
ini.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas isu 18,000 pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di
IPTA walaupun memenuhi syarat.
Pada 15 Julai, Timbalan Menteri
Pendidikan II P.Kamalanathan berkata daripada 68,702 pelajar yang memohon
program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014, hanya 41,573 mendapat
tawaran di IPTA.
Sehari kemudian, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak dalam twitnya menasihatkan pelajar yang gagal supaya
tidak kecewa kerana kerajaan akan membincangkan perkara berkenaan di Kabinet
bagi mencari penyelesaian terbaik.
Dalam hal ini, Zakaria berkata kerajaan perlu menimbang mekanisme tertentu
menyediakan tempat secukupnya, antara lain dengan memperuntukkan bantuan
kewangan kepada pelajar bagi memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS)
tempatan.
"Kita kena maklum, selain
IPTA ini dah mantap, faktor lain yang menyebabkan pelajar berlumba memasuki
IPTA adalah kerana ianya murah berbanding IPTS, tetapi kalau nak serap semua
memang tidak boleh.
"Justeru kita harap mereka
ini dapat dibantu kerajaan atau mana-mana pihak. Gunakan IPTS yang ada, kita
ada 20 IPTA, jumlah IPTS lebih banyak daripada itu.
"Kalau kita mengharap kepada
IPTA sahaja memang tidak cukup. Tambahan jika ianya kursus-kursus
kritikal," katanya.
Naib Cansellor Universiti
Pendidikan Sultan Idris itu turut menarik perhatian bahawa kerajaan Korea
selama ini telah mengamalkan sistem sedemikian, tanpa masalah.
Sementara itu, Zakaria turut
berharap operator IPTS seluruh negara dapat memainkan peranan masing-masing
membantu kerajaan mencapai sasaran 200,000 pelajar asing belajar di IPT
tempatan menjelang 2020.
Tetap positif mengenai peluang
18,000 pelajar itu mendapat tempat di IPT tempatan, ahli majlis Persatuan
Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia
(PKIBM), Prof Emeritus Datuk Abu Azam Md Yassin berkata, jumlah IPTS tempatan mencukupi bagi menampung mereka.
Beliau berkata, negara mempunyai
dua kali ganda jumlah IPTS bertaraf universiti kolej berbanding IPTA, termasuk
yang menawarkan kursus-kursus kritikal.
"Jadi saya tidak rasa ada
masalah untuk menampung mereka dalam apa jua kursus termasuk kursus-kursus
kritikal. Lagi pun, kebanyakan IPTS tempatan kekurangan pelajar," katanya.
Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej
Teknologi Darulnaim itu berkata sama seperti IPTA, IPTS juga mendapat tauliah
dan dipantau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), justeru kualiti pendidikan di
IPTS adalah dijamin.
"Cuma IPTA tempatan
tempatnya terhad, sebab itu kerajaan mewujudkan IPTS dengan peranan bagi
menampung jumlah pelajar yang ramai dalam negara," katanya.
Abu Azam turut menyambut baik
cadangan Kementerian Pendidikan untuk meminta Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan satu skim bagi membantu meringankan beban
pelajar membayar yuran di IPTS.
Sementara itu, pengerusi
Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia(Page) Datin Noor Azimah Abdul
Rahim mahu sistem penilaian peperiksaan dilihat semula berikutan terlalu ramai
pelajar mendapat keputusan cemerlang.
"Ianya bagus, cuma terlalu
ramai. Kita kena tengok balik sebab kita takut kalau terlalu ramai nanti keputusan
mereka tidak ada nilai pula.
"Mungkin perlu kaji balik
sebab dulu susah hendak cemerlang. Sekarang ini kita tidak tahu sama ada
pelajar kita terlampau ramai yang pandai atau penanda aras penilaian
menurun," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan