Selasa, 23 Julai 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Wajib lulus TITAS demi perpaduan


Oleh : NURUL ANUAR KARI

PASCA Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), agak sukar untuk orang Melayu menegur isu-isu yang berkaitan dengan orang Cina tanpa dituduh sebagai 'rasis' mahupun mahu 'membalas dendam', apatah lagi jika keputusan dibuat kerajaan yang tidak digemari orang Cina.

Antara keputusan yang terpalit sama adalah mewajibkan Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mempunyai bilangan pelajar Cina lebih ramai daripada IPT awam.

Contoh jelas dalam komen diterbitkan akhbar China Press bertarikh 14 Julai lalu secara sinis menyatakan keputusan itu demi 'kepentingan kaum' ahli politik kelas kedua, kononnya perlu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dahulu sebelum TITAS  boleh diwajibkan di IPT.

Sebenarnya, komen itu menggambarkan situasi masyarakat Cina kini yang terlalu lama hidup dalam kepompong kaum sendiri sehinggakan anak muda mereka tidak mahu atau tidak peduli untuk mempelajari budaya mahupun sejarah etnik lain di negara ini, termasuk bahasa Kebangsaan.

Golongan penentang ini menuduh TITAS  hanya 'mengagungkan' tamadun Islam ke tahap yang boleh mengislamkan anak-anak muda mereka, sedangkan pelajar didedahkan kepada kepelbagaian tamadun Melayu, Cina, India serta etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

Subjek ini kritikal untuk generasi muda mengenali antara satu sama lain dan membentuk perpaduan terutamanya bagi bekas murid sekolah vernakular yang 'terpisah' daripada masyarakat majmuk.

Mereka akan terus terasing jika ke sekolah tinggi swasta dan IPT swasta dengan hanya bergaul sesama bangsa sendiri, mahupun universiti luar negara khususnya di negara-negara yang mendedahkan mereka kepada bahasa dan kehidupan kaum sendiri sahaja.

Apabila dewasa, golongan muda ini sudah tidak mahu ambil pusing tentang kewujudan kepelbagaian etnik mahupun agama di negara ini dan hasilnya, lahirlah anak muda yang mudah mempermainkan agama dan bangsa lain mahupun mempersenda negaranya sendiri.

Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu bertegas dalam pelaksanaan TITAS jika mahu membentuk perpaduan antara generasi muda negara ini dengan menunjukkan usaha itu demi menyatukan kembali pelajar yang hidup terasing daripada kepelbagaian etnik dan agama lain ketika mereka di peringkat sekolah dahulu.

Profesor Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr. Zainal Kling menegaskan TITAS  bukannya sesuatu yang baharu kerana telah berpuluh tahun dilaksanakan di IPTA sebagai syarat wajib lulus setiap pelajar.

"Ini bukannya penindasan atau dendam, bukan sahaja pelajar Cina tetapi semua pelajar juga diwajibkan lulus TITAS. Jika sebab dendam, baik ditutup sahaja IPTS dan sekolah vernakular.

"Kerajaan perlu jelaskan kepada mereka TITAS  sudah lama diamalkan tanpa masalah di IPTA sebagai sebahagian daripada proses menjadi orang Malaysia sepenuhnya, memahami fahaman orang lain dan bukannya untuk tindas atau ubah agama mereka," katanya.

Beliau menjelaskan, disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda 'kosong' tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini.

Tambahnya, sampai masa untuk diisikan 'kekosongan' itu di IPTS kerana objektifnya adalah meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat.

"Penentangan TITAS  ini melibatkan elemen cauvinisme Cina yang menentang apa sahaja melibatkan Islam, menolak bila adanya usaha integrasi melibatkan Melayu dan Islam.

"Kementerian perlu bertegas, jika tidak terima arahan ambil sahaja tindakan ke atas IPT terbabit kerana menghalang usaha perpaduan. Ini hal kemasyarakatan antara kita, sepatutnya tahu dan hormati (perbezaan), sebab tidak tahu maka ramai sangat yang langgar (adab)," ujarnya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong pula melihat TITAS sebagai cara formal mendidik persamaan dan perbezaan antara rakyat Malaysia kerana secara tidak formal langsung tiada usaha ke arah itu.

"TITAS di IPTS adalah untuk atasi masalah warganegara kita kurang tahu sejarah peradaban negara sendiri. Matlamat akhir usaha ini adalah memupuk persefahaman, perpaduan lebih erat dan membentuk jati diri kebangsaan yang setara untuk semua.

"Lihat sahaja sekarang, mereka yang dari sekolah swasta sebagai warganegara mengaku patriotik tetapi bahasa Melayu tidak fasih, sejarah tidak tahu, asas-asas negara juga terabai seperti kes pasangan yang menghina bulan Ramadan itu," jelasnya.

Beliau berpendapat, selain sikap individu itu sendiri, cubaan 'ringan-ringan' mempersenda Islam turut disumbang kekurangan pengetahuan antara budaya yang amat penting bagi masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Menurutnya lagi, usaha kerajaan mewajibkan TITAS  adalah untuk menyelaraskan acuan anak muda IPTA dan IPTS agar ada elemen sains sosial untuk membina kemanusiaan dalam setiap pelajar.

"Ini demi keseimbangan sosial, intelek dan kerohanian, aspek kemanusiaan bangsa kerana kita tidak mahu lahirkan profesional berjaya yang tiada nilai-nilai murni mahupun jati diri bangsa Malaysia.

"Kementerian perlu bertegas kekalkan TITAS sebagai subjek wajib lulus kerana nawaitunya jelas bukan untuk Melayukan atau Islamkan anak-anak bukan Melayu, mereka yang menentang itu juga sebenarnya tahu fakta ini," katanya.

Beliau turut mengutuk perbuatan menuduh apa sahaja keputusan yang tidak mengikut kehendak orang Cina dilabel sebagai balas dendam khususnya kalangan kumpulan yang mahu menolak Melayu sebagai bangsa dominan walaupun hak bukan Melayu tidak diabaikan, menolak bahasa Melayu dan banyak lagi.

Jelasnya, golongan itu mahukan Malaysia versi baharu dengan mengangkat kebebasan (mutlak), hak individu (amalan, bersuara), sama rata dan mengutamakan bahasa Inggeris atas alasan globalisasi.

"Mereka ini akan menggunakan orang Melayu sendiri untuk perjuangan semua itu dan walaupun tahu ia bertentangan dengan Perlembagaan, mereka akan sengaja mengada-adakan alasan.

"Jika Melayu terikut-ikut rentak mereka dan mahu berbincang, maka akan dialih daripada isu sebenar. Kerajaan perlu bertegas kali ini, biarlah apa pun akan terjadi kerana selama ini sudah terlalu banyak diberi konsesi tanpa mendapat apa pun daripada mereka," ujarnya.

Kok Seong juga menyatakan kekecewaan terhadap para pemimpin Cina khususnya dalam kerajaan yang mahu TITAS dijadikan subjek elektif sedangkan mereka sepatutnya menyokong usaha itu dan menjelaskan objektif serta kelebihannya kepada orang Cina.

"Asal tidak ikut kehendak orang Cina dituduh balas dendam, seorang pemimpin MCA pula jadi 'tukang sapu' sedangkan beliau sepatutnya menyokong usaha ini yang mempunyai agenda lebih besar untuk masa depan negara," tegasnya.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan