Umat Islam ketika ini melalui
dasawarsa kedua abad 21 dengan mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi.
Peperangan saudara, pergolakan politik, konflik umat Islam minoriti, bencana
alam sehinggalah kepada ancaman budaya dan serangan hedonisme yang menyebabkan
keruntuhan moral generasi muda secara massa, ditambah pula dengan serangan
pemikiran yang menggesa agar umat Islam berfikiran secara liberal ala Barat.
Generasi hari ini memerlukan
persiapan yang rapi untuk menghadapi cabaran luar yang semakin ruwet dan
mencabar. Sekiranya persiapan ini tidak diatur dengan baik dan kemas, maka
generasi muda akan kehilangan panduan dan seterusnya hanyut dibawa arus cabaran
yang mengganas. Natijahnya segala bentuk kemungkaran dan keruntuhan moral akan
menyelaputi diri mereka sepertimana yang disebutkan al-Quran sebagai Zurriyatan
du’afa (zuriat yang lemah), generasi lesu dan tidak berwawasan.
“Dan mereka seharusnya takut
kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat (generasi) yang
lemah.” (Surah an-Nisa : ayat 9)
Sebaliknya jika kehidupan mereka
diasaskan kepada kehidupan beragama yang kukuh, nescaya akan terbinalah “generasi” sepertimana yang
diungkapkan oleh Profesor Dr Yusuf al-Qaradhawi sebagai golongan al-jil al-nasr (generasi kemenangan). Generasi ini dibina
oleh kekuatan roh dan jasad, lalu menjadi binaan yang tidak boleh dirungkaikan.
Mereka merupakan barisan pemuda yang mempunyai kekukuhan iman sambil mendapat
petunjuk daripada Ilahi.
Sejujurnya, generasi muda yang
baru mengenali dunia sudah dihidangkan dengan pelbagai masalah dunia yang
menyebabkan mereka turut terpalit dengan fitnah dunia dan menyebabkan mereka
juga menjadi tua sebelum waktunya. Sewajarnya, dalam usia muda ini, generasi
muda diberikan ruang dan peluang, masa, tenaga dan pendedahan yang baik, yang
seterusnya akan menghasilkan benih-benih generasi muda yang baik kelak.
Malah,cabaran globalisasi dunia
tanpa sempadan dan persaingan abad ini sangat pantas dan banyak membawa
perubahan nilai kepada diri manusia. Sekali lagi, generasi muda terhakis dengan
cepatnya oleh nilai-nilai negatif yang diimport melalui rancangan hiburan dan
sukan. Kebanjiran fenomena rancangan realiti TV, budaya parody, K-Pop dan
konsert pesta-pestaan yang berbentuk permisif penuh berserakan. Situasi cultural
schizophrenia menurut seorang sarjana, Daryush Shayegan, merupakan keadaan
mental distortion yang mampu memusnahkan tamadun. Hal ini secara tidak langsung
boleh mengancam masa depan ummah. Suasana ini berlaku ketika mana generasi muda
kehilangan paradigmanya dan keliru antara Barat dan Moden lantas dimensi moden
yang dipegang diambil daripada acuan Barat.
Lantaran itu, budaya popular
(popular culture) yang kini seolah-olah menjadi budaya massa (mass culture)
turut mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran kalangan generasi muda Islam.
Budaya ini yang lebih mementingkan gaya dan imej daripada nilai dan makna
secara tidak disedari semakin diterima umum oleh masyarakat yang semakin
keliru. Kesannya, mereka tidak lagi dapat membezakan antara populariti dan
substance, antara imej dan nilai, antara yang palsu dan yang benar. Keadaan ini
berlaku apabila wabak ketidakpekaan terhadap nilai hidup dan sebenarnya
berleluasa.
Tatkala dunia Islam memerlukan
ramai generasi muda yang boleh memimpin umat, telah muncul kecenderungan mereka
untuk menjadi selebriti dan bintang pujaan. Inilah yang dirisaukan oleh Dato’
Dr Siddiq Fadzil yang mengungkapkan bahawa hari ini kita melalui situasi
'banjir idola, kemarau teladan'. Barangkali tepat telahan beliau. Jika hari ini
kita tanyakan kepada generasi muda, siapakah idola mereka dalam banyak-banyak
'idola' yang dilahirkan? Barangkali hanya ada satu dalam seribu.
Fikir-fikirkanlah.
Lantaran itu, penekanan betapa
pentingnya budaya ilmu wajib dibugarkan. Hal ini kerana kesan daripada budaya
hedonisme yang menggasak hebat menyebabkan generasi muda sudah hilang upaya dan
minat terhadap penghayatan budaya ilmu. Lebih parah, kita hari ini berhadapan
dengan ketidakyakinan dengan budaya kita sendiri. Sebagai contoh, ramai yang
tidak lagi berbangga dengan adat dan tradisi budaya kita yang telah terbukti
berjaya membentuk umat Melayu di Malaysia menjadi umat yang kental dengan
agamanya, setelah lebih 500 tahun dijajah, terbukti Islam masih kukuh di dalam
sanubari umat Melayu.
Tambahan pula, nilai-nilai budaya
ini semakin dikikis dan digantikan pula dengan nilai Barat yang sememangnya
sudah hilang panduan agama dan tidak mampu membentuk manusia yang baik. Dalam
erti kata yang lain, Siddiq Fadzil (2009) sekali lagi dengan tepat menyebutkan
bahawa umat yang bermartabat adalah masyarakat yang religious dan berbudaya
ilmu. Andainya iman tidak diperkuat, malah sebaliknya dilemahkan dengan budaya
hedonistik dan hiburan berunsur maksiat melampau-lampau; andainya kekuatan
keintelektualan umat dilumpuhkan dengan menumpulkan daya kritisnya; maka
cakap-cakap besar dan gagasan-gagasan ambitious pemartaban bangsa pada
hakikatnya tidak akan lebih daripada sekadar lipur lara, sandiwara dan
slogan-slogan.
Justeru, generasi muda yang
dilahirkan haruslah mempunyai kualiti diri yang cemerlang, cerdas dan
berkeperibadian mulia, lantas bangsanya akan menempa kemajuan dan kemakmuran.
Hal ini bukanlah satu andaian kosong yang tidak punyai nilai dan makna.
Berbekalkan semangat inilah, keyakinan bahawa usaha untuk melakukan islah
(pembaikan) dalam masyarakat harus dimulakan dengan membina keperibadian
individu dalam masyarakat itu terlebih dahulu. Sebuah masyarakat yang tidak
mempunyai individu yang terdidik jiwa dan mindanya tidak akan mampu untuk
membawa apa-apa perubahan ke arah kebaikan. Sebuah masyarakat yang melahirkan
individu yang lemah, hanya akan menghasilkan sebuah masyarakat yang lemah.
Sebaliknya, masyarakat yang terdiri daripada individu yang berkualiti akan
mampu melakukan islah dalam ertikata yang sebenar. Inilah sebagaimana yang
digambarkan oleh Allah SWT dalam firmannya:
“Sesungguhnya Allah tidak merubah
keadaan sesuatu kaum melainkan mereka merubah apa yang ada pada diri mereka
sendiri.” (Surah ar-Rad’u : ayat 11)
Cita-cita ini hanya akan tercapai
sekiranya generasi muda ditanam sifat-sifat yang mulia dan terpuji serta
dibangunkan potensi minda, jiwa dan jasmani secara menyeluruh. Yang paling
utama, mereka harus mempunyai kekuatan keimanan dan idealisme yang tinggi.
Ciri-ciri inilah yang merupakan benteng dan kekuatan utama generasi muda untuk
menghadapi pelbagai cabaran semasa.
Sekiranya tidak ada usaha untuk
membimbing dan membentuk generasi abad 21 yang benar-benar mantap keperibadian
dan sahsiahnya, maka perancangan yang diatur akan terpinggir dan sekali gus
terbengkalai. Sebagai generasi Islam yang mempunyai tanggungjawab terhadap
agama, bangsa dan negara, maka nilai-nilai Islami harus benar-benar menjiwai
kehidupan ini. Selaras dengan tanggungjawab ini, maka generasi muda perlu bijak
mengatur agenda- agenda yang berencana dan memberi keutamaan.
Setiap pemuda pemudi Islam harus
membulatkan iltizam perjuangan untuk membina keunggulan keperibadian dan
kepemimpinan ummah. Abad ini dan mendatang adalah abad generasi muda. Sebagai
umat yang mempunyai keyakinan akidah, pemuda Islam akan mara dengan penuh yakin
untuk mengimarahkan muka bumi Allah SWT ini dan sekali gus melaksanakan
tanggungjawab istikhlaf, iaitu tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai khalifah
Allah SWT di muka bumi ini.
Justeru, tanggungjawab membina
insan yang seimbang dari segi akal, rohani, jasmani dan emosi merupakan
keutamaan yang harus diberi perhatian serius. Tanggungjawab mendidik manusia
ini tidak harus dijadikan tanggungjawab musim-musiman yang hanya dilaksanakan
ketika wujudnya tekanan sosial yang memaksa. Sebaliknya, pelaksanaan
tanggungjawab ini mesti lahir dari kesedaran mendalam dan semangat yang jitu.
Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, generasi muda Islam sewajarnya
mengimpikan erti kemenangan yang tulen. Namun kemenangan itu tidak akan datang
dengan sendirinya tanpa mengetahui syarat-syaratnya. Generasi muda Islam perlu
akur bahawa kemenangan dan kecemerlangan adalah datang daripada Allah SWT.
Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan memberikan kemenangan kepada mereka yang
tidak menolong-Nya. Justeru, dalam upaya kita untuk membina generasi cemerlang
yang penuh dengan kemenangan, pemuda Islam hendaklah benar-benar menjadi mukmin
yang sejati.
Penulis ialah Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sumber : http : //www.harakahdaily,net/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan