Jumaat, 12 Julai 2013

ISU SOSIAL : Banjir idola kemarau teladan


Oleh : Ahmad Fahmi Bin Mohd Samsudin  
  
Umat Islam ketika ini melalui dasawarsa kedua abad 21 dengan mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi. Peperangan saudara, pergolakan politik, konflik umat Islam minoriti, bencana alam sehinggalah kepada ancaman budaya dan serangan hedonisme yang menyebabkan keruntuhan moral generasi muda secara massa, ditambah pula dengan serangan pemikiran yang menggesa agar umat Islam berfikiran secara liberal ala Barat.

Generasi hari ini memerlukan persiapan yang rapi untuk menghadapi cabaran luar yang semakin ruwet dan mencabar. Sekiranya persiapan ini tidak diatur dengan baik dan kemas, maka generasi muda akan kehilangan panduan dan seterusnya hanyut dibawa arus cabaran yang mengganas. Natijahnya segala bentuk kemungkaran dan keruntuhan moral akan menyelaputi diri mereka sepertimana yang disebutkan al-Quran sebagai Zurriyatan du’afa (zuriat yang lemah), generasi lesu dan tidak berwawasan.

“Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat (generasi) yang lemah.” (Surah an-Nisa : ayat 9)

Sebaliknya jika kehidupan mereka diasaskan kepada kehidupan beragama yang kukuh, nescaya  akan terbinalah “generasi” sepertimana yang diungkapkan oleh Profesor Dr Yusuf al-Qaradhawi sebagai golongan al-jil al-nasr  (generasi kemenangan). Generasi ini dibina oleh kekuatan roh dan jasad, lalu menjadi binaan yang tidak boleh dirungkaikan. Mereka merupakan barisan pemuda yang mempunyai kekukuhan iman sambil mendapat petunjuk daripada Ilahi.

Sejujurnya, generasi muda yang baru mengenali dunia sudah dihidangkan dengan pelbagai masalah dunia yang menyebabkan mereka turut terpalit dengan fitnah dunia dan menyebabkan mereka juga menjadi tua sebelum waktunya. Sewajarnya, dalam usia muda ini, generasi muda diberikan ruang dan peluang, masa, tenaga dan pendedahan yang baik, yang seterusnya akan menghasilkan benih-benih generasi muda yang baik kelak.

Malah,cabaran globalisasi dunia tanpa sempadan dan persaingan abad ini sangat pantas dan banyak membawa perubahan nilai kepada diri manusia. Sekali lagi, generasi muda terhakis dengan cepatnya oleh nilai-nilai negatif yang diimport melalui rancangan hiburan dan sukan. Kebanjiran fenomena rancangan realiti TV, budaya parody, K-Pop dan konsert pesta-pestaan yang berbentuk permisif penuh berserakan. Situasi cultural schizophrenia menurut seorang sarjana, Daryush Shayegan, merupakan keadaan mental distortion yang mampu memusnahkan tamadun. Hal ini secara tidak langsung boleh mengancam masa depan ummah. Suasana ini berlaku ketika mana generasi muda kehilangan paradigmanya dan keliru antara Barat dan Moden lantas dimensi moden yang dipegang diambil daripada acuan Barat.

Lantaran itu, budaya popular (popular culture) yang kini seolah-olah menjadi budaya massa (mass culture) turut mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran kalangan generasi muda Islam. Budaya ini yang lebih mementingkan gaya dan imej daripada nilai dan makna secara tidak disedari semakin diterima umum oleh masyarakat yang semakin keliru. Kesannya, mereka tidak lagi dapat membezakan antara populariti dan substance, antara imej dan nilai, antara yang palsu dan yang benar. Keadaan ini berlaku apabila wabak ketidakpekaan terhadap nilai hidup dan sebenarnya berleluasa.

Tatkala dunia Islam memerlukan ramai generasi muda yang boleh memimpin umat, telah muncul kecenderungan mereka untuk menjadi selebriti dan bintang pujaan. Inilah yang dirisaukan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang mengungkapkan bahawa hari ini kita melalui situasi 'banjir idola, kemarau teladan'. Barangkali tepat telahan beliau. Jika hari ini kita tanyakan kepada generasi muda, siapakah idola mereka dalam banyak-banyak 'idola' yang dilahirkan? Barangkali hanya ada satu dalam seribu. Fikir-fikirkanlah.

Lantaran itu, penekanan betapa pentingnya budaya ilmu wajib dibugarkan. Hal ini kerana kesan daripada budaya hedonisme yang menggasak hebat menyebabkan generasi muda sudah hilang upaya dan minat terhadap penghayatan budaya ilmu. Lebih parah, kita hari ini berhadapan dengan ketidakyakinan dengan budaya kita sendiri. Sebagai contoh, ramai yang tidak lagi berbangga dengan adat dan tradisi budaya kita yang telah terbukti berjaya membentuk umat Melayu di Malaysia menjadi umat yang kental dengan agamanya, setelah lebih 500 tahun dijajah, terbukti Islam masih kukuh di dalam sanubari umat Melayu.

Tambahan pula, nilai-nilai budaya ini semakin dikikis dan digantikan pula dengan nilai Barat yang sememangnya sudah hilang panduan agama dan tidak mampu membentuk manusia yang baik. Dalam erti kata yang lain, Siddiq Fadzil (2009) sekali lagi dengan tepat menyebutkan bahawa umat yang bermartabat adalah masyarakat yang religious dan berbudaya ilmu. Andainya iman tidak diperkuat, malah sebaliknya dilemahkan dengan budaya hedonistik dan hiburan berunsur maksiat melampau-lampau; andainya kekuatan keintelektualan umat dilumpuhkan dengan menumpulkan daya kritisnya; maka cakap-cakap besar dan gagasan-gagasan ambitious pemartaban bangsa pada hakikatnya tidak akan lebih daripada sekadar lipur lara, sandiwara dan slogan-slogan.

Justeru, generasi muda yang dilahirkan haruslah mempunyai kualiti diri yang cemerlang, cerdas dan berkeperibadian mulia, lantas bangsanya akan menempa kemajuan dan kemakmuran. Hal ini bukanlah satu andaian kosong yang tidak punyai nilai dan makna. Berbekalkan semangat inilah, keyakinan bahawa usaha untuk melakukan islah (pembaikan) dalam masyarakat harus dimulakan dengan membina keperibadian individu dalam masyarakat itu terlebih dahulu. Sebuah masyarakat yang tidak mempunyai individu yang terdidik jiwa dan mindanya tidak akan mampu untuk membawa apa-apa perubahan ke arah kebaikan. Sebuah masyarakat yang melahirkan individu yang lemah, hanya akan menghasilkan sebuah masyarakat yang lemah. Sebaliknya, masyarakat yang terdiri daripada individu yang berkualiti akan mampu melakukan islah dalam ertikata yang sebenar. Inilah sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT dalam firmannya:

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum melainkan mereka merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad’u : ayat 11)

Cita-cita ini hanya akan tercapai sekiranya generasi muda ditanam sifat-sifat yang mulia dan terpuji serta dibangunkan potensi minda, jiwa dan jasmani secara menyeluruh. Yang paling utama, mereka harus mempunyai kekuatan keimanan dan idealisme yang tinggi. Ciri-ciri inilah yang merupakan benteng dan kekuatan utama generasi muda untuk menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Sekiranya tidak ada usaha untuk membimbing dan membentuk generasi abad 21 yang benar-benar mantap keperibadian dan sahsiahnya, maka perancangan yang diatur akan terpinggir dan sekali gus terbengkalai. Sebagai generasi Islam yang mempunyai tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara, maka nilai-nilai Islami harus benar-benar menjiwai kehidupan ini. Selaras dengan tanggungjawab ini, maka generasi muda perlu bijak mengatur agenda- agenda yang berencana dan memberi keutamaan.

Setiap pemuda pemudi Islam harus membulatkan iltizam perjuangan untuk membina keunggulan keperibadian dan kepemimpinan ummah. Abad ini dan mendatang adalah abad generasi muda. Sebagai umat yang mempunyai keyakinan akidah, pemuda Islam akan mara dengan penuh yakin untuk mengimarahkan muka bumi Allah SWT ini dan sekali gus melaksanakan tanggungjawab istikhlaf, iaitu tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Justeru, tanggungjawab membina insan yang seimbang dari segi akal, rohani, jasmani dan emosi merupakan keutamaan yang harus diberi perhatian serius. Tanggungjawab mendidik manusia ini tidak harus dijadikan tanggungjawab musim-musiman yang hanya dilaksanakan ketika wujudnya tekanan sosial yang memaksa. Sebaliknya, pelaksanaan tanggungjawab ini mesti lahir dari kesedaran mendalam dan semangat yang jitu. Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, generasi muda Islam sewajarnya mengimpikan erti kemenangan yang tulen. Namun kemenangan itu tidak akan datang dengan sendirinya tanpa mengetahui syarat-syaratnya. Generasi muda Islam perlu akur bahawa kemenangan dan kecemerlangan adalah datang daripada Allah SWT. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan memberikan kemenangan kepada mereka yang tidak menolong-Nya. Justeru, dalam upaya kita untuk membina generasi cemerlang yang penuh dengan kemenangan, pemuda Islam hendaklah benar-benar menjadi mukmin yang sejati.

Penulis ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sumber : http : //www.harakahdaily,net/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan