CADANGAN mewujudkan Kolej
Tingkatan Enam (KTE) saban tahun dilontarkan oleh pelbagai pihak yang
menujukkan betapa satu tranformasi pendidikan di peringkat pra-universiti wajar
diberi perhatian. Namun belum ada kesudahan sehingga saat ini.
Tidak ramai mengetahui bahawa
KTE telah pun wujud dan berusia 22 tahun pada 30 Jun 2013 lalu. Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika itu telah menubuhkan KTE dengan memilih
calon-calon mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) 1990.
Tujuan utama penubuhan kolej
ini untuk membolehkan pelajar bumiputera yang mencapai kelulusan cemerlang di
dalam peperiksaan SPM mengikuti program STPM dan seterusnya melanjutkan
pelajaran ke universiti tempatan di dalam bidang Perakaunan, Ekonomi,
Pengurusan Perniagaan dan Undang-Undang.
Kumpulan pertama memulakan
pengajian bermula 30 Jun 1991 bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah
Menengah Sains Muar, Muar (SMS Muar) (aliran ekonomi dan undang-undang) dan
Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Air Keroh, Melaka (aliran perakaunan dan
pengurusan perniagaan).
Pemilihan mereka diselaraskan
oleh Unit Pusat Universiti (UPU) dengan menggunakan kriteria sama seperti
pengambilan calon ke program lain bagi lepasan SPM. Pengambilan kumpulan kedua
dan ketiga telah diteruskan selepas itu sehinggalah ia dihentikan pada tahun
1994.
Kajian Pengesanan lepasan
kolej ini pada 2012, khasnya kepada kumpulan pertama dan kedua, menunjukkan
rata-rata mereka kini telah berjaya cemerlang dalam bidang masing-masing
termasuk menjadi Penolong Peguamcara Perbendaharaan Kementerian Kewangan,
Pengarah di Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pegawai Tadbir dan Diplomatik,
peguam, pensyarah, guru dan pegawai kerajaan.
Dua nama besar dalam industri
hiburan tanah air iaitu Julia Juhasu dan Hazil Izham Ismail merupakan bekas
pelajar kolej ini. Julia Juhasu merupakan Penerbit Eksekutif, Suhan Movie and
Trading. Nama beliau amat terkenal dalam penerbitan drama seperti Ku Milikmu,
Nigina mahupun rancangan Pilih Kasih keluaran Suhan Movie yang ditunjangi oleh
penerbit, Rosyam Noor. Manakala Hazil Izham Ismail merupakan Penyelaras
Penerbit Filem dan merupakan suami kepada pelakon Nadia Mustafa.
Bekas pelajar kumpulan
pertama, Nor Azrina Jaafar yang kini merupakan Pegawai di MIMOS adalah balu
kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd. Noor, wartawan Bernama TV yang meninggal
di Somalia pada 3 September 2011.
Kebanyakan bekas pelajar kolej
ini telah memiliki pendidikan tertinggi termasuk mempunyai ijazah kedoktoran
dan sarjana serta memiliki tauliah peguambela dan peguamcara. Kajian juga
mendapati lebih 26 orang daripada kumpulan pertama dan kedua terlibat dalam
profesion guru dan pensyarah berbanding kerjaya lain.
Tegasnya di sini, jasa dan
sumbangan KTE dalam melahirkan modal insan yang berjaya sudah terserlah melalui
testimoni kerjaya bekas pelajar kolej ini.
Dengan penggabungan
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Kementerian
Pendidikan dilihat kena pada masanya terutama dalam memperkasakan pendidikan
pra-universiti khususnya pengajian tingkatan enam.
Kita perlu membuat tranformasi
dengan memastikan pengajian tingkatan enam tidak lagi berada dalam lingkungan
sekolah, sebaliknya perlu berdiri sebagai feeder kepada institusi pengajian
tinggi seperti juga program matrikulasi.
Dalam mengambil langkah luar
kotak, KTE boleh dijalankan di universiti awam. Iniasitif ini juga boleh
diambil oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pernah menjadi
Maktab Perguruan sebelum dinaik taraf kepada universiti bagi bergabung dengan
institusi perguruan seluruh negara untuk meningkatkan taraf pendidikan
peringkat ini.
Sudah tiba masanya KTE
dihidupkan semula dengan pendekatan yang menguntungkan pendidikan negara.
Tanjung Malim, Perak
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan