AGAK menyedihkan pada ketika negara menghampiri ulang tahun kemerdekaan ke-56, masih ada suara-suara
sumbang mempersoalkan status pribumi orang Melayu di bumi yang pernah dikenali
sebagai Tanah Melayu ini, sedangkan bukti forensik genetik sudah didedahkan.
Tidak terkecuali usaha
memperkecilkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dalam peruntukan
Perlembagaan negara apabila tulisan dan bahasa bukan Melayu, khususnya bahasa
Inggeris diutamakan dalam semua aspek harian termasuk nama jalan, nama
bangunan, nama kawasan perumahan, iklan dan banyak lagi.
Tentu sekali semua skrip drama
ini dimainkan demi agenda tertentu pihak terbabit khususnya apabila mereka
melihat beberapa negara lain berjaya 'menjajah' bangsa Melayu yang lemah selepas
dihimpit keganasan dan penindasan.
Namun, darjat dan keagungan silam
orang Melayu masih dapat diselamatkan dan diangkat kembali ke zaman
kegemilangan Nusantara melalui bahasanya yang menjadi lingua franca Asia
Tenggara satu masa dahulu.
Jika hanya orang Melayu,
bilangannya tidaklah begitu ramai tetapi mereka yang bertutur bahasa Melayu
sebenarnya kini melangkaui 300 juta orang di seluruh dunia dan semakin
bertambah setiap hari.
Selain Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Sarawak, bahasa ini atau dialeknya turut digunakan penduduk di
Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Afrika serta
kelompok kecil di beberapa negara lain.
Pada zaman kegemilangan kerajaan
Melaka, bahasa Melayu juga pernah sampai ke seluruh ceruk rantau termasuk di
China, India, tanah Arab malahan dikatakan sampai ke tamadun di Barat.
Sungguhpun dunia kini mengangkat
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama berbanding bahasa Perancis,
Mandarin dan Sepanyol yang digunakan lebih ramai penduduk dunia, tidak bermakna
bahasa-bahasa lain sudah tiada nilainya.
Lihat sahaja semangat orang Jepun
yang begitu berbangga dengan bahasanya sehinggakan diutamakan dalam semua
urusan harian mahupun kerja, melanggar norma dunia yang 'mewajibkan' bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua.
Kebanggaan bangsa Jepun terhadap
bahasanya dan kemajuan tamadun negara itu akhirnya memaksa dunia menerima
bahasa mereka sebagai antara bahasa penting dunia sehinggakan tulisan Jepun
diletakkan di papan penyata lapangan terbang mahupun pusat komersial dan kawasan
tumpuan umum di negara-negara besar.
Sejajar Dasar Pandang ke Timur,
cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengangkat bahasa Melayu
bersama bahasa Indonesia selaku bahasa pengantar utama dunia khususnya di
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diberi sokongan sepenuhnya.
Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) serta Pusat Bahasa Indonesia, di samping golongan penulis, ahli
akademik universiti dan pencinta bahasa, inisiatif ini mampu mengangkat kembali
bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama dunia.
Pada masa sama, tamadun, budaya,
kesenian, tulisan dan ciri-ciri unik bangsa Melayu dan bangsa-bangsa yang
menggunakan bahasa Melayu dapat diangkat sama dan lebih mudah diselami
masyarakat antarabangsa.
Walaupun kini bahasa Melayu-Indonesia
merupakan bahasa pertuturan yang kelima paling banyak digunakan di dunia, ia
dilayan umpama bahasa kuno yang jarang digunakan kerana jarang sekali diberi
penghargaan sewajarnya.
Lebih malang, taraf bahasa Melayu
diberi gambaran 'bahasa pelik suku kaum hulu' oleh pihak tertentu khususnya
dalam media dan dunia perfileman Barat.
Tafsiran salah itu diburukkan
lagi apabila wujud golongan tertentu, khususnya orang muda di negara-negara
yang menggunakan bahasa Melayu sendiri memperlekeh, menghina dan mempermainkan
bahasa kebangsaan mereka, termasuklah di Malaysia.
Walaupun bilangan golongan
menghina bahasa ini tidak ramai, ia amat memalukan sedangkan ramai pelajar
asing di United Kingdom, China, Rusia, Amerika Syarikat dan universiti di
negara-negara lain begitu teruja belajar dan bertutur menggunakan bahasa
Melayu.
Penggunaan tulisan rumi
memudahkan orang luar yang sudah mahir dengan bahasa Inggeris mendalami bahasa
Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga mereka dan menjadi bukti kukuh bahasa
Melayu mudah dikembangkan ke seluruh dunia.
Untuk bergerak ke hadapan dalam
membentuk bangsa Malaysia, usaha mengangkat bahasa kebangsaan negara ke
peringkat antarabangsa perlu didukung dan disokong semua tanpa diselit agenda
peribadi mahupun fahaman sempit perbezaan kaum dan agama di negara ini.
Usaha mengangkat bahasa Melayu
ini juga mungkin menjadi antara pemangkin mengembalikan kebanggaan, identiti
dan jati diri golongan muda di negara ini daripada terus menyalin budaya luar
khususnya yang melanggar norma dan batasan agama.
Bahasa merupakan antara ciri
kehidupan yang menjadi identiti bangsa dan rakyat sesebuah negara. Sempena
bulan kemerdekaan negara, bersamalah kembalikan kebanggaan kepada ciri-ciri
unik kita semua yang menjadi identiti sebuah negara bangsa yang berjaya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan