Khamis, 22 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Ilmu bina masa depan cemerlang


Oleh :  Mohammad Abdullah
 
Penguasaan pengetahuan perlu dimanfaat bangunkan masyarakat

Ketika memberi syarahannya yang bertajuk 'Sahsiah Intelektual Pemimpin Fikir Anjakan Paradigma Pembinaan Budaya Kecemerlangan' kepada kira-kira 2,000 orang mahasiswa baharu jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid meminta agar mereka mempunyai 'ghairah ilmu' dan berusaha untuk menguasainya sebaik mungkin dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan serta dapat membangunkan sahsiah intelektual dan maruah diri.

Katanya, hanya dengan ilmu pengetahuan seseorang itu berupaya untuk membangunkan kapasiti intelektualnya dan menjadikannya berbeza daripada mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan?

Keghairahan menuntut ilmu sememangnya amat ketara dan jelas dalam kalangan masyarakat. Lihat saja permohonan untuk mengikuti pengajian pada peringkat ijazah di semua universiti tahun ini. Di USM saja lebih 25,000 permohonan diterima untuk mengisi hanya 6,000 tempat termasuk untuk mengikuti pengajian secara jauh jauh.

Dapatkan ijazah

Walau pun keghairahan ini lebih tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan segulung ijazah sebagai tanda pengiktirafan terhadap penguasaan ilmu dan mencapai status ekonomi dan sosial yang baik, hakikatnya semua berlumba-lumba untuk mengikuti pengajian setinggi yang mungkin.

Malah beberapa minggu lalu, kegagalan untuk mendapat tempat di universiti dikaitkan dengan isu yang tidak relevan dan mula menuding jari terhadap banyak perkara, termasuk mempertikaikan mereka yang diterima masuk mengikuti pengajian berdasarkan persepsi dan prasangka. Ada yang juga yang sengaja bermain api perkauman dan membuat tuduhan berlakunya perkara di luar meritokrasi dalam membuat pemilihan berasaskan beberapa kejadian yang ditafsirkan sedemikian.

Sedangkan pada masa ini terdapat begitu ramai pelajar lepasan persekolahan termasuk matrikulasi yang mencapai kelulusan yang amat tinggi dan berlumba-lumba untuk mendapat tempat yang terhad. Persaingan ini bukan sekadar dalam kalangan sesuatu kaum secara khusus malah semua kaum termasuk anak Melayu yang mencapai keputusan sangat cemerlang.

Keghairahan menuntut ilmu ini adalah satu petanda betapa inilah antara nikmat kemerdekaan negara hasil perjuangan mereka yang terdahulu yang impikan tegaknya banyak menara ilmu yang dapat membantu melahirkan sumber manusia yang akan memajukan dalam mengikut acuan sendiri. Berdasarkan catatan penubuhan universiti, ternyata yang ingin ditegakkan ialah memastikan agar universiti melahirkan sumber manusia yang dapat menyumbang dalam pembinaan negara bangsa, pengekalan jati diri dalam acuan sendiri dan membangunkan masyarakat saintifik yang berdaya saing dengan pelbagai disiplin ilmunya.

Penguasaan sesuatu bidang ilmu itu perlu disusuli dengan semangat cintakan negara yang utuh dan melihat kepentingan masyarakat mengatasi kepentingan peribadi dalam menjaga kesejahteraan sosial yang ada supaya tercapai hasrat pejuang yang ingin melihat kelangsungan negara pada masa hadapan terjamin dan berada pada landasan yang betul.

Sebaliknya, jika keghairahan ini hanya untuk mendapat kesenangan peribadi dan menuding jari apabila tidak mendapatnya, maka laluan untuk mewujudkan masyarakat yang berpendidikan tinggi dengan set minda yang betul, sayangkan masyarakat dan negara, agak dan perlu diperbetulkan.

Justeru, seruan tokoh akademik seperti Profesor Ibrahim yang sudah lama bergelumang dalam dunia pendidikan harus diambil serius. Pengajian tinggi dan ilmu pengetahuan semestinya menjadi satu mekanisme utama untuk meningkatkan maruah diri, mematangkannya dengan pengalaman melalui interaksi sosial yang berterusan, perdebatan ilmiah, wacana ilmu dan komunikasi yang berkesan dengan melihat kepentingan negara dan masyarakat sebagai suatu asas penting untuk kelangsungan masa hadapan.

Kejayaan peribadi amat penting

Walaupun kejayaan peribadi itu amat penting sebagai asas untuk berbakti kepada masyarakat, kejayaan sebenar ialah apabila ia dapat dikongsi dan dimanfaatkan untuk melakukan perubahan yang diingini masyarakat, menghargai kebebasan, menggunakan imaginasi, kreativiti serta inovasi untuk meningkatkan daya saing dan mempertahankan keharmonian negara.

Kita sudahpun melihat bagaimana orang yang berilmu dan berijazah dengan pemikiran terbuka mempertikaikan sesetengah perkara yang menjadi asas dan teras keharmonian, menggunakan lesen kreatif untuk mempersendakan Jalur gemilang dan lagu Negaraku serta yang buta budaya dengan mempersendakan agama sehingga mengheret kepada perdebatan dan keributan dalam masyarakat.

Hakikatnya, ilmu pengetahuan, jati diri, kemerdekaan dan cinta akan negara, etika, moral dan agama adalah asas untuk diintegrasikan sebagai teras kelestarian masa hadapan.


* Penulis ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan