BERFIKIR adalah kurniaan ALLAH.
Haiwan yang diberikan otak tidak memiliki akal dan menyebabkan gerak tindaknya
berasaskan naluri. Manusia dikurniakan ALLAH akal yang membolehkan ia berfikir
tentang diri, alam sekitarnya dan apa terjadi pada kehidupan.
Al-Quran menyebut, tidakkah kamu
menggunakan akal (afala ya’ qilun), dan tidakkah kamu berfikir dengan mendalam
(afala yang tafaqqarun) juga tidakkah kamu merenung dan mengkaji (afala ya
tadabbarun). Semua ini membawa natijah fikir.
Tadabbur tidak saja maksudnya
merenung dan berfikir hal-hal yang zahiri tetapi juga zikir mengenai hal-hal
yang batini.
Berfikir mengenai sesuatu
kejadian, ia tidak hanya berkembang dalam penglihatan dan pemerhatian zahir
saja, tetapi hikmah di sebalik kejadian itu perlu dikaitkan dengan ketentuan
ALLAH.
Melihat kejadian hanya sekadar
suatu kejadian ia tidak lebih meraikan fikir tetapi menghubungkan kejadian
dengan ALLAH mengembangkan faktor fikir dan zikir.
Pelajar harus dididik supaya
berfikir zahiri dan batini. Berfikir zahiri asasnya ialah melihat
perkara-perkara yang nyata dan tampak, mengalami peristiwa yang "real" di hadapan
mata atau menemui data dan fakta hasil kajian serta penyelidikan.
Berfikir batini asasnya ialah
menghubungkan apa terjadi dengan ketentuan ALLAH supaya terdapat hikmah di
sebalik kejadian dan menjadi bahan renungan lebih mendalam.
Melihat perkembangan aliran
anarki yang sedang berjalan kini, ada kecenderungan sesetengah pihak tidak mahu
menerima hakikat keagamaan sebagai sandaran dan pedoman. Di Barat, isu
biseksual dalam bentuk LGBT dan seumpamanya dianggap perkara biasa akibat cara
berfikir dan cara hidup manusia.
Al-Quran sebagai faktor zikir
menyatakan kepada kita kisah dan bencana yang diterima oleh Kaum Nabi Lut A.S terhadap murka ALLAH kerana mereka enggan hidup dalam keadaan fitrah lalu
melampaui batas.
Musibah dahsyat diturunkan kepada
mereka termasuk isteri Nabi Lut sendiri kerana sudah terpikat dengan gaya hidup
dimurkai ALLAH. Meneliti budaya LGBT yang sedang berkembang di Barat kini
mengajak kita berfikir mengenai musibah Aids/HIV.
Meneliti kisah kaum Nabi Lut as
mengajak kita melakukan zikir dalam erti kata luas mengenai musibah yang ALLAH
turunkan kepada manusia ingkar.
Menghubungkan fikir dan zikir
dalam isu ini mengajak manusia tentang maksud kejadian ALLAH dan bagaimana
kejadian ALLAH ini harus menjalani hidup supaya tidak melanggar fitrah
kejadian.
Manusia dijadikan supaya sifatnya
manusiawi bukannya haiwani. Al-Quran dan agamalah yang menjadi pedoman terbaik
memandu kehidupan manusia sepanjang zaman.
Justeru para pelajar perlu
melalui proses fikir dan zikir supaya fikrah yang terbina jadi seimbang.
Keseimbangan pemikiran adalah perlu supaya para pelajar menerima makna yang
sebenar tentang apa difikirkan dan dilihatnya.
Berfikir dengan jiwa tadabbur
umpamanya mempedoman para pelajar akan maksud yang tampak dan hikmah ghaib.
Sebagai pelajar Islam tidak ada sesuatu pemikiran yang terhasil terputus
hubungannya dengan Pencipta.
Melihat alam, meneliti perjalanan
cekerawala, silih gantian siang dan malam mempunyai hubungannya dengan
ketentuan ALLAH (sunnatullah).
Asas berfikir sebegini kalau
dapat dikembangkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, para pelajar tidak
saja mendapat manfaat dari apa yang dilihat, dialami dan difikirkan tetapi
pemikiran berkembang terhadap yang ghaib dengan panduan al-Quran.
Al-Quran sebagai sumber pertunjuk
mempunyai ratusan ayat-ayat mengenai sains. Pedoman saintifik ini apabila
dihubungkan Dengan kajian terhadap fenomena tidak hanya berakhir secara zahiri
saja tetapi ada faktor batini dari al-Quran yang telah menyebabkan pemikir dulu
mampu menghasilkan kitab dan ilmu dalam sains, perubatan, matematik, astronomi
yang acuannya adalah Islami.
Melakukan proses integrasi dan
Islamisasi dalam tradisi fikir dan zikir adalah suatu tuntutan kini. Kaedah
berfikir seperti De Bono umpamanya lebih bersifat mekanistik atau cara yang
sifatnya zahiri.
Pemikiran yang Qurani dan Islami
tidak saja menampilkan cara tetapi didukung dengan makna dan maksud yang jauh
lebih murni iaitu mengiktiraf kebesaran ALLAH mengenai apa yang kita renung dan
fikirkan.
Lalu lahir hasil pemikiran dan
proses berfikir sepadu, tidak saja mengambil faktor fikir yang sifatnya
berkembang tetapi juga faktor zikir sekali gus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan