Jumaat, 16 Ogos 2013

ISU BAHASA : Hilang bahasa lenyaplah bangsa


OLEH : DR AMINUDIN MANSOR

BAHASA adalah apa yang dipertuturkan dan dicakapkan oleh seseorang manusia. Lebih luas lagi bahasa menjadi perantara dan komunikasi antara manusia. Bahasa yang digunakan secara meluas akan dapat mengangkat martabat bangsa ke mata dunia. Justeru, bahasa yang maju akan menjadi bahasa ilmu.

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahasa Melayu berkait erat dengan proses pembinaan negara Malaysia dan pembinaan negara bangsa. Sejarah dan asas pembinaan negara berkaitan dengan bahasa mestilah difahami oleh semua rakyat di negara ini.

Isu-isu yang sering diperkatakan mengenai bahasa adalah berkaitan  peningkatan profesionalisme pendidik Bahasa Melayu. Mereka ini adalah pendidik yang tentunya terlatih untuk mengajar Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah dan teknik yang digunakan mestilah berubah, maju dan berkesan. Asasnya merekalah yang bertanggungjawab bagi mendidik kecintaan terhadap bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.

Memanfaatkan teknologi pendidikan yang canggih dan mutakhir dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu sangat penting sesuai dengan perubahan semasa. Guru-guru bahasa Melayu seharusnya berusaha mencipta kaedah dan teknik pengajaran bahasa  yang berkesan dan kemudian menggunakannya dalam P&P.

Justeru, berasaskan pendekatan bersepadu, pendidikan bahasa diharapkan meninggalkan amalan lama dan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa melalui tulisan dan lisan di sekolah. Pelbagai kursus perlu diadakan untuk guru bahasa bagi meningkatkan penggunaan bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.

Pengantar

Kefahaman dan kesedaran untuk meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu haruslah bermula di sekolah. Jika tidak mereka tidak sedar akan peranan bahasa itu dalam kehidupan pada masa akan datang.

Kita tentu tidak mahu akan berlaku "Hilanglah bahasa, lenyaplah bangsa" dalam kalangan pelajar dan rakyat di negara ini. Sia-sia sahaja usaha mendaulatkan bahasa yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu. Kemahiran bahasa seperti mendengar, bertutur, membaca dan menulis mestilah dipraktikkan di sekolah rendah, menengah dan menengah atas juga di universiti.

Bahasa Melayu perlu diberi jiwa baru melalui pendidikan bahasa di sekolah, pertuturan rasmi, dan melalui pembacaan yang akan mengangkat bahasa Melayu sebagai milik semua rakyat. Ini akan dapat memekarkan kepelbagaian budaya dan juga memperkasakan peradaban manusia.

Kempen-kempen dan slogan baharu perlu diwujudkan di media massa bagi menjadikan bahasa Melayu berjiwa Malaysia, hidup dan subur dalam kalangan penggunanya terutama rakyat di negara ini. Sebagai contoh "Bahasaku adalah jiwaku" dan lain-lain lagi. Jika pendatang asing dapat bertutur bahasa Mleayu dengan baik kenapa kita tidak boleh? Jawapannya harus ada pada diri kita.

Ibu bapa juga harus sentiasa memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak supaya menggunakan bahasa Melayu di rumah, sebagai bahasa pertuturan dan bahasa ilmu dengan baik. Galakan dan rangsangan juga perlu dilakukan oleh para guru di sekolah bagi menjadikan bahasa Melayu tidak dilenyapkan oleh bangsanya sendiri.

Memetik kata-kata Johann Wolfgang Von Goethe, oleh sebab setiap orang menggunakan bahasa bagi berbicara, maka setiap orang mengira dia dapat berbicara berkaitan bahasa. Oleh itu, gunakan bahasa Melayu dalam penulisan, pertuturan dengan tepat dan betul.

Berbicara berkaitan bahasa dan berbicara bagi mendaulatkan bahasa  dua hal yang berbeza yang seharusnya difahami oleh semua orang. Oleh itu, bagi mengekalkan status bahasa setiap pengamal bahasa mestilah bertutur dalam bahasa tersebut dan menulisnya dengan baik dan berkesan.

Sementara itu menurut Samuel Johnson, beliau sedih apabila ada bahasa yang lenyap, kerana bahasa adalah berasal daripada bangsa. Lantaran itu, setiap orang yang cinta akan bahasanya mestilah mengamalkan bahasanya melalui pertuturan dan penulisan dengan baik. Di samping itu, pengamal bahasa juga mestilah terus mendaulatkan bahasanya. Peranan badan penulis dan pejuang bahasa juga mesti seiring dalam mendaulatkan dan memartabatkan bahasa.

Pengekalan bahasa daripada peribahasa, kata-kata hikmat daripada sesuatu bahasa itu sangat penting. Menurut Bertrand Rusell, sebuah peribahasa adalah kebijaksanaan seseorang, namun hikmah bagi semua orang.

Kebijaksanaan sesebuah peribahasa itu adalah sejak mula diciptakan melalui renungan dan pemerhatian dalam kehidupan bangsa. Selain itu, kebijaksanaan juga terangkum dalam makna tersurat dan tersirat dalam peribahasa tersebut yang dapat mendidik bangsa seterusnya dalam kehidupan. Kehebatan bahasa Melayu banyak terletak pada peribahasa, pantun, syair, gurindam, seloka dan perbilangan adat serta bentuk bahasa yang beragam.

Usaha mengekalkan dan memartabatkan sesuatu bahasa itu banyak terletak kepada asas-asas pendidikan bahasa di sekolah sama ada di sekolah rendah atau menengah. Melalui pendidikan yang berkesan dan juga melalui P&P yang tersusun bahasa dapat dimanfaatkan kepada generasi muda.

Setiap orang sebagai ahli dalam masyarakat berperanan untuk mengekalkan bahasa khususnya bahasa ibunda. Bahasa yang terus kekal akan menjadi bahasa terpenting diajarkan di sekolah, digunakan dalam masyarakat, dijadikan saluran penyampai ilmu, dipopularkan oleh media massa, dimartabatkan oleh kerajaan dan pemerintah.

Kepupusan sesuatu bahasa dalam era globalisasi banyak bergantung kepada pengamalnya. Jika pengamal bahasa tersebut tidak menggunakan bahasanya dengan baik dan berkesan khususnya dalam media baharu seperti Internet, sudah pasti lama-kelamaan bahasa tersebut akan hilang dan lenyap.

Kekuatan bahasa juga dapat melebarkan sayapnya ke seluruh dunia sebagai bahasa ilmu dan bahasa pertuturan. Bahasa yang baik juga dapat memancarkan sikap penutur dengan penuh budi bahasa dan keindahan kesantunan bahasa. Oleh itu, usaha menyebarkan ilmu bahasa sangat penting dilaksanakan dan usaha ini memainkan peranannya tersendiri yang boleh dilakukan oleh mereka yang meminati bahasa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan