HARI ketiga Aidilfitri saya
berpeluang mengunjungi sebuah penjara kerana menziarahi seseorang. Peraturan
yang telah ditetapkan oleh pihak penjara menggambarkan bahawa bukan mudah
hendak bertemu dengan seseorang yang telah dimasukkan ke dalam penjara. Sehari
suntuk berada di sana sudah cukup untuk menyatakan bahawa penjara bukanlah satu
tempat yang diinginkan oleh sesiapa pun.
Lantas saya teringat satu rencana
yang ditulis oleh Shaharom TM Sulaiman di Mastika Ogos 2013 bertajuk Mahakarya
Sang Pertapa dari penjara.
Menurut Shaharom, penulis yang
dimasukkan ke dalam penjara mampu menghasilkan karya yang dikagumi dan
bergagasan besar menggoncang sejarah sepanjang zaman.
Penulis yang disenaraikan
Shaharom ialah Adolf Hitler, Pradmoedya Ananta Teor, Mohammad Hatta, Tan
Malaka, Sayyid Quthb, Nawal El Saadawi, Ayatullah Muhammad Baqir Sadr, Mumia
Abu Jamal, Marthin Luther King Jr. dan Viktor Frankl.
Bagaimana pula dengan penulis
Malaysia? Apakah mereka sanggup berjuang hingga dipenjarakan dan kemudian mampu
pula menghasilkan karya yang membawa pemikiran besar? Sedangkan penjara itu
adalah tempat yang tidak mahu dihuni oleh sesiapa pun kerana orang yang
bersalah sahaja yang akan dimasukkan ke dalam penjara.
Namun begitu, sejarah tidak
menafikan terdapat sebilangan penulis kita yang sanggup berjuang waima hingga
dihumban ke penjara. Antara penulis yang mempunyai prinsip perjuangan yang
besar dan sanggup dipenjarakan ialah Allahyarham A. Samad Ismail seorang tokoh
wartawan, sasterawan dan pejuang bahasa.
Beliau pernah ditahan ketika
zaman penjajahan British (1951-1953) dan zaman selepas merdeka ketika di bawah
Perdana Menteri Tun Huseein Onn (1976-1981).
Penahanan ini tidak pernah
mematahkan semangat A. Samad untuk berjuang dalam bidang penulisan. Malah tinta
dari pena beliau sentiasa mengalir sama ada sebagai wartawan atau sasterawan.
Antara karya beliau yang diingati ialah Kail Panjang Sejengkal, Patah Sayap
Terbang Jua, Menimba Yang Jernih dan Tembok Tidak Tinggi.
Malah, sumbangan A. Samad telah
diiktiraf oleh kerajaan dengan mengurniakan Hadiah Pejuang Sastera dan Tokoh
Wartawan Negara.
Begitu juga dengan Allahyarham
Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Beliau pernah dipenjarakan sebanyak dua kali
iaitu pada tahun 1948 -1953 dan 1965-1966. Pengalaman pahit ini tidak pernah
mematahkan semangat Pak Sako untuk terus menulis khususnya menghasilkan novel
yang menyemarakkan semangat nasionalisme anak watan.
Novel terkenal beliau ialah
Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang menggambarkan pandangan dan
cita-citanya sebagai patriot bangsa dan sasterawan sejati. Jasa Pak Sako
terhadap kesusasteraan Melayu turut dihargai apabila mengurniakan Hadiah
Pejuang Sastera dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya.
Malah, Utusan Melayu (M) Berhad
melalui anak syarikatnya Utusan Publications & Distributions turut
menghargai jasa Pak Sako dengan mewujudkan Hadiah Sako bagi sayembara menulis
novel sejak tahun 1992. Antara pemenang Hadiah Sako ini ialah Sasterawan Negara
Abdullah Hussain, Azizi Haji Abdullah, Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, Ramlee
Awang Murshid, Aminah Mokhtar, Dzul Karnain Ithnain, Wan Hashim Wan Teh, Rahman
Haji Yusof, Mohd Khaidir Ahmad dan Ali Jusoh.
Di samping itu, tidak dilupa juga
penulis Allahyarham Abdullah Thani atau lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam.
Nama pena lain beliau yang terkenal ialah Ruhi Hayat. Beliau juga pernah
dipenjarakan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1941-1942, 1948-1954, dan
1963.
Meskipun Ahmad Boestamam dikenali
sebagai aktivis politik yang disegani, sumbangan beliau dalam sastera tidak
dapat dinafikan. Beliau menulis novel dan sajak di samping penterjemah.
Antara novel yang dihasilkan
ialah Pacar Merah Malaya, Gelap Menjelang Terang, Kabus Pagi, Geliga, Api Dan
Air Mata, Rumah Kaca Di Gegar Gempa dan Merintis Jalan Ke Puncak. Biarpun
politik Ahmad Boestaman berhaluan kiri, pada tahun 1976 kerajaan Sarawak telah
menganugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk.
Turut menarik untuk diperkatakan
di sini ialah penulis Said Zahari. Beliau merupakan bekas pengarang Utusan
Melayu ketika tercetusnya mogok di Utusan Melayu kerana menentang penguasaan
UMNO terhadap akhbar ini.
Selepas peristiwa mogok, Said
Zahari telah dibuang dari jawatan Pengarang Utusan Melayu dan digantikan dengan
Melan Abdullah.
Selepas dipecat Said Zahari
dipenjarakan selama 17 tahun iaitu pada tahun 1963-1979 di Singapura.
Ketika di dalam penjara, Said
Zahari menghasilkan buku Sajak dari Penjara. Selepas dibebaskan, beliau telah
menulis dua buah buku memoir bertajuk Meniti Laut Gelora dan Dalam Ribuan Mimpi
Gelisah.
Kedua-dua buku memoir ini
diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributions. Apa yang menariknya
buku memoir Dalam Ribuan Mimpi Gelisah telah memenangi Hadiah Sastera Perdana
Malaysia tahun 2006/2007 bagi kategori memoir / biografi. Sudah pastilah buku
yang dihasilkan ini adalah daripada pengalaman Said Zahari ketika dipenjarakan
selama 17 tahun.
Berdasarkan keterangan di atas,
rencana yang diutarakan oleh Shaharom TM Sulaiman mungkin ada benarnya. Namun,
benarkah pada zaman ini masih ada lagi
penulis yang sanggup masuk penjara kerana memegang prinsip perjuangannya dan
menghasilkan karya? Seperti kata Shaharom, penjara memang sebuah tempat yang
cukup menyeksakan tetapi juga sebuah tempat kondusif bagi seorang penulis
kerana di dalam penjara, manusia akan terpaksa berani menyendiri, berada dalam
kesepian dan keterasingan dan hal-hal sebegini adalah hal yang harus terjadi
dalam penulisan.
Kesimpulannya, penjara adalah
tempat yang ditakuti oleh sesiapa pun kerana di dalamnya tinggal manusia yang
telah dijatuhkan hukuman kerana kesalahan yang telah dilakukannya. Tetapi
sekiranya penulis berjiwa besar dan sanggup berjuang kerana mempertahankan
prinsip yang betul, penjara hanya memagar jasad tetapi pengaruhnya tetap bebas.
Buktinya penjara tidak mampu memenjarakan kebebasan berkarya
penulis seperti Said Zahari atau Pramoedya. Malah penjara semacam tidak
berbekas untuk menyekat mereka daripada menulis sesuatu yang benar.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan