KUALA LUMPUR - Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta pihak-pihak terlibat mengambil
tindakan drastik dalam mengenal pasti faktor yang menjadi punca penderaan
kanak-kanak bagi menangai masalah itu.
Naib pengerusnya Tan Sri Lee Lam
Thye berkata faktor penyebab penderaan kanak-kanak perlu diberi perhatian
segera memandangkan kanak-kanak kini semakin terdedah kepada penderaan, dan ia
sering dilakukan oleh penjaga mereka sendiri.
Lee berkata statistik terkini
dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan hampir
3,900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan tahun lepas, dan sekurang-kurangnya
1,000 kes penderaan kanak-kanak dilapor sehingga Mac tahun ini.
"Statistik itu sudah pasti
satu perkara yang membimbangkan bukan sahaja kepada kementerian, tetapi juga
kepada masyarakat secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan di sini
hari ini.
Sambil melahirkan kebimbangannya,
Lee turut mencadangkan agar kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
memperkenal dan melaksanakan program pembangunan kesihatan mental berasaskan
komuniti secara menyeluruh.
"Program itu akan membantu
menangani isu tekanan dan masalah berkaitan mental yang lain.
"Ibu bapa atau penjaga yang disabitkan
kesalahan mendera kanak-kanak perlu diwajibkan menghadiri kursus yang dianjur
kerajaan mengenai keibubapaan bagi melengkapkan diri mereka untuk membesarkan
anak-anak dengan penuh kasih sayang dan prihatin, bukannya mendera
mereka," katanya.
Selain itu, Lee berkata majikan
juga mesti membantu pekerja mereka yang menghadapi tekanan di tempat kerja
dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling dengan bantuan pakar psikologi.
Beliau berkata semua peringkat
masyarakat mesti sensitif dengan isu penderaan kanak-kanak dan perlu sentiasa peka, serta memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui kes penderaan kanak-kanak berlaku dalam kalangan
jiran mereka. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan