Kemungkinan persoalan-persoalan
lain yang timbul ialah sama ada:
i. ‘pisang goreng’ atau ‘goreng pisang’
ii. ‘sos tomato’ atau ‘tomato sos’
Kesemua persoalan di atas
berkaitan dengan Peraturan D-M (Hukum D-M). D-M bermaksud diterangkan (D) dan
menerangkan (M). Dalam peraturan atau hukum ini, unsur yang diterangkan itu
merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan
merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua. Hal ini bermaksud,
perkara yang menjadi fokus utama disebut terlebih dahulu manakala unsur yang
berfungsi menerangkan fokus utama hadir pada kedudukan kedua.
Contohnya, perkataan ‘kereta
lembu’. Unsur yang diterangkan ialah ‘kereta’ kerana menjadi inti atau fokus utama. Manakala ‘lembu’ hanyalah
berfungsi menerangkan tentang ‘kereta’. Hal ini demikian kerana perkara yang
hendak difokuskan dalam perkataan ini ialah ‘kereta’ dan bukannya ‘lembu’.
Berdasarkan definisi dinyatakan
maka penggunaan perkataan yang tepat bagi ketiga-tiga persoalan di atas ialah:
i. ‘pendingin hawa’ (kerana yang difokuskan
ialah alat untuk mendinginkan hawa)
ii. ‘pisang goreng’ (kerana yang difokuskan
ialah pisang yang digoreng)
iii. ‘sos tomato’ (kerana yang difokuskan ialah
bahan cecair atau pekat digunakan untuk
menyedapkan makanan serta diperbuat daripada tomato)
Namun, perkataan ‘goreng pisang’
dan ‘tomato sos’ masih boleh digunakan tetapi membawa maksud berbeza.
Contohnya:
i. ‘goreng pisang’ (menunjukkan perbuatan
menggoreng pisang)
ii. ‘tomato sos’ (menunjukkan sejenis tomato
yang digunakan untuk membuat sos)
Penggunaan bahasa Melayu yang
melanggar Peraturan D-M ini terjadi salah satunya disebabkan pengaruh bahasa
Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, unsur menerangkan hadir pada kedudukan pertama
manakala unsur diterangkan hadir pada kedudukan kedua. Contohnya:
i. ‘school bus’
ii. ‘football player’
iii. ‘English teacher’
iv. ‘boarding school’
v. ‘pretty woman’
Beberapa pelanggaran Hukum D-M
dapat dilihat di beberapa tempat, khususnya pada papan-papan tanda serta dalam
beberapa penggunaan bahasa harian. Sebagai contohnya:
i. Nik Ali Noordin Syarikat Pembinaan
(sepatutnya Syarikat Pembinaan Nik Ali Noordin)
ii. Wan Amiruddin dan Norazian
Restoran(sepatutnya Restoran Wan Amiruddin dan Norazian)
iii. Lain-lain hal (sepatutnya hal-hal lain)
Bagaimanakah pula dengan
perkataan-perkataan di bawah? Yang mana satukah tepat dari segi Peraturan D-M?
i. ‘ayam telur’ atau ‘telur ayam’?
ii. ‘biru laut’ atau ‘laut biru’?
iii. ‘delima merah’ atau ‘merah delima’?
iv. ‘daging lembu’ atau ‘lembu daging’?
v. ‘anak baju’ atau ‘baju anak’?
Kedua-dua pilihan dalam kesemua
contoh di atas boleh digunakan tetapi bergantung kepada unsur inti yang hendak
diterangkan. Sebagai contohnya ‘ayam telur’ merujuk sejenis ayam yang menghasilkan telur manakala
‘telur ayam’ merujuk telur yang dihasilkan oleh ayam. Begitulah juga dengan
contoh-contoh lain tersebut.
Namun demikian, terdapat beberapa
kekecualian Peraturan D-M, iaitu sesuatu yang berfungsi untuk menerangkan (M)
mendahului sesuatu unsur yang diterangkan (D). Hal ini demikian berlaku akibat
kebiasaan dalam penggunaan, nama-nama jawatan, gelaran dan penjodoh bilangan.
Sebagai contohnya:
i. perdana(M) menteri(D)
ii. ibu(M) pejabat(D)
iii. Haji(M) Ahmad Shahru(D)
iv. naib(M) presiden(D)
v. lima ekor(M) kambing(D)
Sebagai penutup bicara, dapatlah
disimpulkan bahawa kita semua perlu menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan
betul. Kita tidak boleh memandang mudah dalam aspek penggunaan bahasa Melayu
kerana kadangkala akan menimbulkan salah faham dalam berkomunikasi.
Akhir kata “Cintailah Bahasa
Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan